UNIVERSITI ISLAM PAHANG SULTAN AHMAD SHAH

23 OGOS 2022 (KUANTAN) – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dengan kerjasama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah menganjurkan Muzakarah Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah Negeri Pahang dengan tema “Memperkasa Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah Negeri Pahang” pada 23 dan 24 Ogos 2022 bersamaan 25 dan 26 Muharam 1444H bertempat di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan, Pahang.

Muzakarah ini telah dirasmikan oleh YAM. Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Pro Canselor II UnIPSAS merangkap Timbalan Yang Dipertua MUIP.

Objektif muzakarah adalah untuk menyatakan pendirian ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah Negeri Pahang berkaitan dengan penghayatan ajaran Islam sekaligus menonjolkan peranan dan kesatuan ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah Negeri Pahang dalam mempertahankan ajaran Islam daripada sebarang penyelewengan dan salah faham.

Kertas kerja yang dibentangkan sepanjang sesi muzakarah berfokuskan kepada bidang akidah, syariah dan tasawuf. Pembentang kertas kerja ini terdiri daripada YBrs. Prof. Dr. Asmadi bin Mohamed Naim, Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UnISHAMS), YM. Engku Ahmad Fadzil bin Engku Ali, Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang dan YBhg. Tuan Guru Syeikh Abd Raof bin Nurin, Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang.

Antara intipati utama yang ditekankan oleh YAM. Tengku Panglima Raja dalam ucapan perasmian adalah umat Islam hendaklah sedar bahawa sumber rujukan ilmu Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar adalah berpandukan kepada empat sumber yang utama iaitu Al-Quran, Sunnah, Ijma` Ulama` Dan Qiyas.

Umat Islam hendaklah memahami dan berpegang dengan pegangan akidah Imam Abu Hassan Al-Asha’ari dan Abu Mansur Al-Maturidi dan dari segi syariatnya berpegang dengan Mazhab Imam Syafie manakala dari segi tasawufnya berpegang dengan pandangan Imam Junaid Al-Baghdadi dan Imam Al-Ghazali.

YAM. Tengku Panglima Raja turut memberi nasihat kepada para ulama dan umat Islam agar mengutamakan prinsip keseimbangan, kestabilan, keadilan dan pertengahan pada setiap aspek dalam kehidupan agar umat Islam akan saling bersatu padu dan harmoni. Beliau memberi sokongan yang padu terhadap penganjuran Muzakarah Ahli Sunnah Wal Jamaah Negeri Pahang dan memilih UnIPSAS sebagai penganjur program dengan kerjasama MUIP.

MUIP sebagai sebuah institusi agama negeri Pahang juga giat berusaha membuat penambahbaikan dari segi strategi, dasar dan polisi pentadbiran agama Islam bagi memperkasakan hal ehwal agama Islam di Pahang secara menyeluruh. Selain itu, MUIP turut merancang untuk menubuhkan institut ilmu yang bakal dibina di Bandar KOTASAS, Kuantan.

Sejajar dengan objektif muzakarah yang bersidang selama dua hari ini, institut ilmu ini dilihat akan menjadi sebuah pusat yang menyatupadukan Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada pelbagai latar belakang dalam negara mahupun luar negara agar dapat selalu berkunjung dan berhimpun bagi tujuan bermuzakarah dan bergiat secara aktif dalam menyumbangkan ilmu dan dakwah mereka kepada pihak pemerintah serta masyarakat awam.

Muzakarah turut dihadiri oleh SS. Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Osman, Mufti Negeri Pahang, YAA. Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Md. Yunos, Ketua Hakim Syarie Pahang serta 30 ahli panel muzakarah yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Perundingan Syarak Negeri Pahang, ahli akademik, guru-guru Pondok Negeri Pahang dan wakil institusi agama Negeri Pahang.

Loading...