UNIVERSITI ISLAM PAHANG SULTAN AHMAD SHAH

KUANTAN, 3 OKTOBER 2024 : Golongan anak muda terutamanya para pelajar diminta menerapkan peradaban Islam ke dalam penggunaan media sosial supaya seiring dengan teknologi dan perkembangan semasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, YB. Dato’ Sri Shafik Fauzan Sharif berkata, hal ini penting kerana kebanyakan pengguna teknologi khususnya media sosial adalah terdiri daripada golongan muda.

Jelasnya, situasi terkini yang semakin tular di kalangan masyarakat adalah sikap yang jauh tersimpang dari peradaban Islam.

“Jika kita lihat apa yang berlaku di media sosial seolah-olah terdapat segelintirnya tidak ada peradaban, tidak ada adab, maki, hamun, bahasa, mengeji, cerca berleluasa. Adakah layak kita menggelarkan diri kita beradab?,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Seminar Peradaban Islam dan Ketamadunan Malaysia (SPIKEM) bertemakan Transformasi Keyakinan Masyarakat Ke Arah Maslahah Ummah di Auditorium Tuanku Canselor, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) di Kuantan, hari ini.

SPIKEM disertai 450 pelajar tingkatan enam dan siswa siswi dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sekitar Kuantan yang dianjur kerjasama UnIPSAS dan YADIM. -PAHANGMEDIA

Kredit : -PAHANGMEDIA
Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang

Loading...