UNIVERSITI ISLAM PAHANG SULTAN AHMAD SHAH

ACEH, 3 – 8 September 2024 – Pelajar-pelajar Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) telah mengambil bahagian dalam Program Pengabdian Kepada Masyarakat (PKM) yang diadakan di Gampong Ie Seum, Aceh, Indonesia.

Program antarabangsa ini dianjurkan bersama oleh Universiti Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry, Aceh, dengan kerjasama Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Inisiatif ini bertujuan untuk melibatkan pelajar secara langsung dalam menyumbang idea, tenaga, dan aspirasi mereka kepada masyarakat setempat, dengan tumpuan khusus kepada pemberdayaan komuniti.

Sepanjang tempoh seminggu program ini, pelajar-pelajar UnIPSAS bersama peserta dari institusi pengajian tinggi lain telah mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti khidmat masyarakat, termasuk kerja-kerja amal serta kempen kesedaran sosial. Para peserta juga berpeluang menjadi sebahagian daripada keluarga angkat penduduk Gampong Ie Seum, mempereratkan hubungan serta mendalami budaya tempatan. Usaha sama ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi Malaysia dan Indonesia, malah turut memupuk kesedaran tentang tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar di peringkat antarabangsa.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan taraf ekonomi penduduk Gampong Ie Seum, program ini turut merangkumi usaha untuk mempromosikan kolam air panas setempat sebagai destinasi pelancongan.

Dengan memperkenalkan kolam air panas ini kepada pelancong domestik dan antarabangsa, program ini diharap dapat merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan melalui pembangunan sektor pelancongan, seperti penyediaan perkhidmatan homestay, pembuatan produk kraftangan, penyajian makanan tempatan, dan perkhidmatan pelancongan lain.

Penglibatan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah dalam Program Pengabdian Kepada Masyarakat (PKM) ini diharapkan mampu memberi impak positif kepada masyarakat Gampong Ie Seum dalam aspek pembangunan sosial, budaya, dan ekonomi, serta memperluaskan jaringan akademik dan hubungan sosial antara kedua-dua negara.

Loading...