UNIVERSITI ISLAM PAHANG SULTAN AHMAD SHAH

KUANTAN, 19 Julai 2024 – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) telah menganjurkan 𝐌𝐢𝐧𝐠𝐠𝐮 𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐢𝐝𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐧 𝐈𝐧𝐨𝐯𝐚𝐬𝐢 𝟐𝟎𝟐𝟒 (𝐌𝐏𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟒) buat julung kalinya pada 16-18 Julai bertempat di Dewan Sultan Ahmad Shah, UnIPSAS.

Bertemakan 𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐢𝐝𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐁𝐞𝐫𝐢𝐦𝐩𝐚𝐤 𝐏𝐞𝐦𝐚𝐜𝐮 𝐓𝐫𝐚𝐧𝐬𝐟𝐨𝐫𝐦𝐚𝐬𝐢 𝐔𝐦𝐦𝐚𝐡, objektif utama penganjuran program ini adalah bertujuan untuk memupuk budaya kecemerlangan dalam penyelidikan, penerbitan dan inovasi dalam kalangan penyelidik, pensyarah, guru, pelajar serta keterlibatan dengan komuniti yang lebih luas.

Pertandingan inovasi dan reka cipta yang dijalankan melibatkan penyertaan dari pelbagai institusi pengajian tinggi dan sekolah di seluruh Malaysia. Aktiviti lain yang turut berlangsung sepanjang program ini ialah pertandingan poster penyelidikan, pelancaran buku, pelancaran AI Station, bengkel asas tulisan khat, pameran dan wacana ilmu, forum cabaran pengajian peringkat pascasiswazah, bicara intelektual, klinik guaman syarie dan harmony centre.

Majlis Penutup Minggu Penyelidikan dan Inovasi 2024 telah dirasmikan oleh YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang. Beliau memberikan sokongan dan galakan terhadap penganjuran program ini yang menjadi landasan kepada para penyelidik dan 𝘪𝘯𝘯𝘰𝘷𝘢𝘵𝘰𝘳 untuk mempamerkan pencapaian masing-masing serta belajar daripada satu sama lain. Beliau juga menyeru semua pihak untuk membudayakan semangat penyelidikan dan inovasi agar dapat membina masa depan yang lebih baik dan memberi manfaat kepada negara dan masyarakat khususnya untuk umat Islam itu sendiri.

Dalam majlis yang sama, Naib Canselor, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Profesor Dato’ Dr Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin sempat berkongsi bersama hadirin mengenai kepentingan pendidikan dalam memperkasakan identiti bangsa Melayu melalui Bicara Intelektual: Kelangsungan Pendidikan Bangsa Melayu.

Dr. Nur Yani binti Che Hussin selaku pengarah program menyatakan hasrat beliau, “Besarlah harapan saya agar Minggu Penyelidikan dan Inovasi akan dijadikan progam tahunan dan pada masa akan datang, saya berharap aktiviti-aktiviti dan program yang dijalankan dapat menarik penyertaan di peringkat antarabangsa.”

Minggu Penyelidikan dan Inovasi ini mampu menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan dalam bidang penyelidikan dan inovasi demi kemajuan dan transformasi ummah.

Loading...