UNIVERSITI ISLAM PAHANG SULTAN AHMAD SHAH

KUANTAN, 8 MAC 2024 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menitahkan Kerajaan Pahang bersama Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) mengkaji dengan teliti cadangan mewujudkan Universiti Al-Quran di negeri ini.

Baginda juga mencadangkan agar Fakulti Al-Quran diwujudkan terlebih dahulu di UnIPSAS sebelum mengembangkan lagi pengajian Al-Quran bagi mewujudkan universiti berkenaan.

“Di kesempatan ini juga saya ingin memberi cadangan atau pandangan berkaitan dengan al-Quran ini, memandangkan kita sudah pun wujud Universiti Islam Pahang, sudah pun kita wujudkan Fakulti Hadis, mungkin sampai masanya kita wujudkan juga satu fakulti untuk al-Quran, supaya dapat anak-anak muda kita menjurus kepada subjek ini supaya dapat mencapai diploma dan mungkin ijazah dan mungkin suatu hari nanti kalau kita berjaya untuk mengembangkan fakulti ini, mungkin kita boleh wujudkan Universiti al-Quran di Negeri Pahang, InsyaaAllah.

“Saya juga berharap pihak universiti (UnIPSAS) bersama dengan kerajaan dengan kebijaksanaan Dato’ Sri Syed Ibrahim ini dapat kaji dengan lebih teliti cadangan untuk mewujudkan universiti al-quran di Negeri Pahang pada masa akan datang, InsyaaAllah,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Kali Ke-67 Tahun 1445 Hijrah bersamaan 2024 Masihi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini semalam.

Pada majlis itu, baginda bersama KDYMM Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj turut berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Turut mengiringi baginda berdua ialah anakanda KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Panglima Raja Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama ialah YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob, barisan Exco Kerajaan Pahang dan Ketua-Ketua Jabatan.

Tilawah yang berlangsung sejak Selasa itu telah disertai oleh 26 peserta daripada 13 daerah di seluruh Pahang dengan Johan Qari dimenangi oleh Johan Menunggu, Encik Mohamad Syaheed Sabri dengan 95.5 markah manakala Johan Qariah dimenangi peserta dari Jengka, Cik Nurul Saadah Mohammad Zaini dengan 88 markah.

Sehubungan itu baginda menyeru agar para ibu bapa dapat memainkan peranan penting untuk menanamkan rasa cinta terhadap al-Quran di dalam hati anak-anak sejak kecil ibarat perumpamaan Melayu “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Ini bertujuan untuk menjadikan Pahang sebagai negeri yang makmur dengan Al-Quran dan dilindungi dari sebarang kecelakaan dan musibah.

– PAHANGMEDIA
Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang

Loading...