UNIVERSITI ISLAM PAHANG SULTAN AHMAD SHAH

TEMERLOH, 31 JANUARI 2024 – Institut Jawi UnIPSAS telah dijemput oleh SMA Al-Khairiah, Temerloh untuk menyampaikan perkongsian kepada pelajar-pelajar tingkatan 1 dan 3 dalam program dinamakan Program Mahir Jawi. Program ini telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 30 dan 31 Januari 2024 baru-baru ini. Para peserta dibahagikan kepada dua kumpulan besar di dua dewan yang berbeza melibatkan pelajar tingkatan 1 seramai 225 orang dan pelajar tingkatan 3 seramai 170 orang.

Ustaz Ainuddin Kamaruddin dan Ustazah Seriayuna Sa’don Zubir dari Institut Jawi UnIPSAS hadir menyampaikan perkongsian pada hari pertama manakala Ustazah Nurizan Baharum dan Ustazah Siti Nora’aeshah Zakaria hadir pada hari kedua. Para peserta telah didedahkan dengan kemahiran menulis dan menyambung huruf dalam tulisan Jawi, mengenal padanan huruf Rumi-Jawi dan beberapa kaedah asas dalam ejaan Jawi terkini.

Rata-rata peserta merasa teruja dan seronok melibatkan diri dalam aktiviti yang dijalankan sepanjang program dua hari ini termasuklah latihan menyambung huruf, kuiz mengeja Jawi secara individu, menulis Jawi di papan putih dan pertandingan antara kumpulan-kumpulan kecil.

Loading...