UNIVERSITI ISLAM PAHANG SULTAN AHMAD SHAH

INDONESIA, 22 September 2023 – Telah berlangsung satu seminar antarabangsa dinamakan Seminar Internasional : Transformation of Da’wah and Communication Towards Society 5.0. Seminar ini dianjurkan oleh Universitas Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry Banda Aceh Indonesia dan berlangsung dengan jayanya di Fakultas Dakwah UIN Ar-Raniry. Seminar telah dirasmikan oleh Rektor UIN Ar-Raniry, Profesor Dr. Mujiburrahman M.Ag.

Seramai 3 orang pensyarah dari UnIPSAS telah diberi penghormatan untuk menyampaikan ucaptama (keynote speech) dalam seminar ini iaitu Ustazah Norfadelah Nordin (Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Islam) dengan tajuk ‘Persepsi Pelajar Dakwah, UnIPSAS terhadap Pembelajaran Bahasa Isyarat sebagai Medium Komunikasi Golongan OKU Pendengaran’, As-Sheikh Dr. Mohamed Ebrahim el-Sherbiny Ahmed Sakr (Pensyarah Jabatan Dakwah) dengan tajuk ‘Pendakwah Qurani’ dan Ustaz Ainuddin bin Kamaruddin (Pengarah Institut Jawi) dengan tajuk ‘Tulisan Jawi Sebagai Warisan Melayu Islam dan Sarana Komunikasi: Pemerkasaannnya di Pahang, Malaysia’.

Turut menyampaikan pembentangan pada seminar antarabangsa tersebut ialah Ustaz Hasmimie bin Mohd Yusof dengan tajuk Dai Rabbani Pembina Masyarakat 5.0: Harapan dan Cabaran. Seminar turut disertai oleh pembentang-pembentang daripada Indonesia yang membicarakan pelbagai topik menarik sekitar bidang dakwah.

Delegasi UnIPSAS yang menghadiri seminar ini turut mengambil peluang untuk mengadakan kunjung hormat ke pejabat Dekan Fakultas Dakwah, Prof. Dr. Kusmawati Hatta M.Pd pada sebelah pagi dan mengadakan perbincangan pada sebelah petang berkenaan kerjasama berkaitan penempatan pelajar Latihan Industri UnIPSAS di Aceh.

Loading...