UNIVERSITI ISLAM PAHANG SULTAN AHMAD SHAH

KUANTAN, 21 Julai 2023 / 3 Muharram 1445H – Pusat Islam UnIPSAS telah menganjurkan program perarakan sempena Sambutan Maal Hijrah 1445H peringkat Universiti pada hari ini. Perarakan ini telah disertai hampir 800 peserta dari 11 kontinjen yang terdiri daripada Fakulti Pengajian, jabatan-jabatan pentadbiran dan persatuan pelajar yang ada di UnIPSAS.

Pengarah Pusat Islam UnIPSAS, Ustaz Mohd Shupian bin Majid berkata Program Sambutan Maal Hijrah 1445H peringkat UnIPSAS ini bertujuan agar anggota kerja dan pelajar UnIPSAS dapat bersama menghayati falsafah dari peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan sahabat dari kota Makkah ke kota Madinah demi menyebar dan menyubur dakwah Islamiyyah.

“Peristiwa Maal Hijrah merupakan titik tolak kepada perkembangan agama Islam ke peringkat global dan perlu dihayati sebagai penanda aras kepada kehidupan Islam yang sebenar dalam diri kita”, ujar beliau lagi.

Kemuncak kepada program ini ialah tausiyah yang disampaikan oleh Naib Canselor UnIPSAS sendiri, YH Profesor Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin. Tausiyah yang bertajuk Ibrah Maal Hijrah antara lain mengajak seluruh warga UnIPSAS untuk berusaha meningkatkan kualiti diri dan pendidikan dengan mengambil pengajaran dari kisah pengorbanan dan cabaran sahabat Nabi saw bernama Salman Al Farisi ketika memeluk Islam dengan meninggalkan segala kekayaan warisannya serta kesungguhannya berhadapan segala cabaran perit merih semata-mata untuk menuntut dan mendapatkan ilmu.

Dalam program ini juga, Persatuan Pelajar Borneo UnIPSAS telah diangkat sebagai Juara Perarakan Maal Hijrah 1445H Peringkat UnIPSAS setelah dikira kekemasan dan keceriaan skuad, di samping penggunaan tulisan jawi yang betul dalam sepanduk perarakan kumpulan masing-masing. Tidak dilupakan, perarakan ini juga disertai oleh anak-anak Tadika Naluri UnIPSAS.

Loading...