UNIVERSITI ISLAM PAHANG SULTAN AHMAD SHAH

06 JULAI 2023 (KUANTAN) – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) mengukir sejarah apabila Agensi Kelayakan Malaysia melantiknya sebagai sebuah Pusat Penilaian APEL (PPA) bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda (APEL T-6) dan Ijazah Sarjana (APEL T-7), sekaligus menobatkan UnIPSAS sebagai IPTS pertama yang berjaya menjadi PPA swasta di Pantai Timur.

Pengiktirafan ini telah diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran dalam program Sesi Jelajah MQA Bersama Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) Zon Timur pada 6 Julai 2023 di Auditorium Tuanku Canselor UnIPSAS.

Menurut beliau, kelulusan ini membuka ruang dan peluang kepada masyarakat di Pahang untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dengan menggunakan laluan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) iaitu APEL.A dan APEL.C.

“Masyarakat negeri Pahang perlu merebut peluang untuk menyambung pengajian walaupun tidak memiliki sijil pendidikan formal secara konvensional. Melalui laluan APEL, masyarakat yang mungkin kurang bernasib baik atau tidak berkesempatan untuk melanjutkan pengajian melalui laluan konvensional boleh meneruskan pengajian mereka di UnIPSAS.”

Sementara itu, Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar selaku wakil rasmi YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang berkata bahawa kelulusan UnIPSAS sebagai Pusat Penilaian APEL adalah selari dengan Pelan Strategik UnIPSAS 2022-2026 yang memberi penekanan kepada pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan masyarakat Negeri Pahang.

Hadir di dalam majlis yang sama ialah Exco Industri Asas Tani, Bioteknologi Dan Pendidikan Negeri Pahang, Dato’ Seri Ir. Mohd Soffi Abdul Razak selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang.

“Saya amat menghargai pihak Malaysian Qualifications Agency (MQA) kerana memilih UnIPSAS sebagai Pusat Penilaian APEL serta menganjurkan program Sesi Jelajah MQA Bersama PPT Zon Timur di UnIPSAS. Saya juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada warga kerja UnIPSAS atas inisiatif memastikan kualiti program mencapai standard terbaik di samping memberi peluang kepada masyarakat untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka”.

Untuk makluman, UnIPSAS telah dilantik sebagai Pusat Penilaian APEL (PPA) dan diluluskan untuk melaksana APEL C oleh Agensi Kelayakan Malaysia. APEL A memberikan pengiktirafan kepada individu dengan pengalaman kerja yang relevan untuk memasuki program pengajian tertentu, manakala APEL C memberikan pengiktirafan kepada individu dengan pengalaman kerja untuk mendapatkan pengecualian kredit bagi sesuatu subjek.

#unipsasbumibarakah #jommasukunipsas #mohmasukunipsas

Loading...