UnIPSAS di Persada Antarabangsa, 6 Pelajar ke MBZUH, UAE

Tarikh: 05/09/2025

SEPANG, 5 September 2025 – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) melakar sejarah apabila seramai enam (6) pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah dengan Kepujian telah berlepas dari KLIA 1, Sepang ke Muhammad bin Zaid University for Humanities (MBZUH), Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi mengikuti Program Mobiliti Berkredit Antarabangsa selama empat bulan.

Program ini merupakan hasil daripada Memorandum Persefahaman (MoU) antara UnIPSAS dan MBZUH yang telah disaksikan oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selaku Canselor UnIPSAS.

Lebih istimewa, keseluruhan kos pengajian, penginapan dan perbelanjaan pelajar sepanjang program ini ditanggung sepenuhnya oleh pihak MBZUH. Sokongan penuh ini mencerminkan pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik serta potensi pelajar UnIPSAS untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Naib Canselor UnIPSAS, Prof. Dato’ Dr. Hj. Mohd Zawavi Bin Zainal Abidin, berkata bahawa program ini bukan sahaja membuka ruang kepada pelajar untuk menimba ilmu dan pengalaman baharu, tetapi turut memperkukuh hubungan akademik antara UnIPSAS dan institusi pendidikan tinggi antarabangsa.

“UnIPSAS komited melahirkan graduan yang berwibawa, berdaya saing dan berteraskan al-Quran serta Sunnah. Program seperti ini membuktikan bahawa UnIPSAS berada di landasan yang tepat untuk memperluas jaringan global serta menambah nilai kepada pelajar kami,” ujarnya.

Program ini dijangka memberikan impak positif kepada para peserta, khususnya dalam memperkayakan pengalaman antarabangsa, membina jaringan akademik global serta memantapkan penguasaan ilmu dalam bidang pengajian Quran dan Sunnah.

UnIPSAS berharap agar para pelajar ini akan terus membawa nama baik universiti di persada antarabangsa dan kembali dengan ilmu bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara.

crosschevron-down
ms_MYMalay
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram tiktok