3 November 2019 (KOTA KINABALU) – Hebat dan Membanggakan – perkataan yang selayaknya diungkapkan kepada semua atlet KUIPSAS yang telah beradu tenaga sempena Kejohanan Networking Games MASISWA 2019 di Kota Kinabalu, Sabah. Kejohanan melabuhkan tirainya hari ini dengan Majlis Perasmian Penutupan serta Acara Penyampaian Hadiah kepada pemenang-pemenang dalam setiap acara yang dipertandingkan.
Kontinjen KUIPSAS nyata menarik perhatian sepanjang kejohanan berlangsung kerana daripada empat acara yang disertai, KUIPSAS berjaya menggondol 2 pingat Perak dan 1 pingat Gangsa. Laungan semangat KUIPSAS BOLEH! yang dijadikan azimat dan bekalan serta amanat Rektor di samping doa seluruh warga KUIPSAS telah menyaksikan pencapaian membanggakan ini berjaya diraih sekaligus mengubat duka KUIPSAS semasa edisi 2018 yang berlalu tanpa mencapai sebarang kemenangan.
Kontinjen KUIPSAS memulakan aksi cemerlang apabila atlet Bowling, Muhamad Sokri Husain (Jabatan Pengurusan Teknologi Maklumat) berjaya mengekalkan balingan konsisten sehingga mencatatkan 524 jatuhan pin sekaligus berdiri megah di podium dan dikalungkan pingat Perak bagi kategori Perseorangan Lelaki.
Cerita gembira Kontinjen KUIPSAS kemudiannya diteruskan apabila pasukan Futsal mempamerkan aksi bertenaga di peringkat kumpulan dan suku akhir sebelum terpaksa akur melalui penentuan sepakan penalti dan tewas kepada KTYS Sabah pada peringkat separuh akhir. Dalam perlawanan penentuan pingat Gangsa, pasukan Futsal KUIPSAS tampil gagah menumbangkan Cosmopint sekaligus mengesahkan genggaman pingat Gangsa selaku pemenang tempat ke-3.
Semangat KUIPSAS BOLEH! kemudiannya menyerap ke acara Badminton apabila Bergu Lelaki melakar kemenangan demi kemenangan sehingga layak ke perlawanan akhir. Namun, pemain Bergu Badminton KUIPSAS, Mohd Hider bin Othman (Jabatan Sumber Manusia) dan Mohd Fairuz b. Mohd Yusof (Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni) memerah keringat membalas setiap pukulan bulu tangkis lawan sebelum akur dengan kehebatan Bergu Badminton Widad sekaligus membawa pulang pingat Perak selepas mengharungi perlawanan akhir yang sengit.
Kejayaan bermakna KUIPSAS dengan meraih 2 pingat Perak dan 1 pingat Gangsa dalam Networking Games MASISWA edisi 2019 ini melonjakkan kedudukan KUIPSAS pada tempat ke-13 daripada 34 jumlah keseluruhan kontinjen IPTS yang bertanding kali ini. Kejayaan ini sudah tentu terhasil selepas semua atlet membuat persediaan rapi melalui sesi pemilihan dan siri-siri latihan yang sistematik serta pengorbanan yang tidak berbelah bahagi demi menjulang nama KUIPSAS dalam Kejohanan Networking Games MASISWA 2019 ini.
TAHNIAH KONTINJEN KUIPSAS
KUIPSAS BOLEH!