Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, DK., SSAP., SIMP.
( Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah )
Biografi Canselor
Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah diputerakan pada tanggal 17 September 1995 di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.
Baginda memulakan persekolahannya di Sekolah Kebangsaan Saint Thomas, Kuantan Pahang pada tahun 2002 hingga 2005. Baginda kemudiannya menyambung pengajiannya ke Caldicott Preparatory School, London, United Kingdom pada tahun 2006 hingga 2009 dan Sherborne School, London, United Kingdom pada tahun 2009 hingga 2014. Baginda seterusnya menyambung pengajian di Geneva School Of Diplomacy And International Relation pada tahun 2015 hingga 2018 dan memperoleh Bachelor of Arts in International Relations.
Pada tanggal 27 September 2018, baginda telah mengikuti latihan “Initial Cadet Familiarsation Training Programme” di Kem Batu 10, Kuantan Pahang. Baginda kemudiannya dilantik sebagai Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia pada 31 Oktober 2018. Pada 18 Jun 2018, baginda telah dikurniakan gelaran Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang. Baginda kini sedang mengikuti Kursus Commissioning Course, Royal Military Academy Sandhurst sehingga Disember 2019.
Baginda amat meminati bidang sukan. Pada 25 Jun 2016, baginda telah menyertai acara perlawanan amal “The Jerudong Park Polo Trophy” bersama His Royal Highness Prince William Duke Of Cambridge dan His Royal Highness Prince Harry di Cirencester Park Polo Club, England. Turut berangkat bersama menyaksikan perlawanan tersebut ialah Paduka Ayahanda, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Selain meminati sukan berkuda, baginda juga meminati sukan lain seperti ragbi, bola sepak, golf, menembak dan sukan rakyat.
Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang Dato’ Sri DiRaja Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail,
SDSA., SSAP., SUMW.,DSAP.,DIMP.,SMP.,AMP.
( Pro Canselor I )
Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Brigadier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah,
SSAP., SIMP.
( Pro Canselor II )
Prof. Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, DSAP., SMP., AMP.
( Naib Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah )
Perutusan Naib Canselor
Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, profail Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) ini dapat disediakan. Profail ini mencoretkan sedikit sebanyak perkembangan UnIPSAS setelah kelulusan perakuan pendaftaran sebagai universiti penuh diterima pada tarikh bersejarah 30 September 2021.
UnIPSAS telah berada dalam persada industri pendidikan tinggi sejak penubuhannya tahun 1996 sebagai Kolej Islam Pahang (KIP). UnIPSAS telah mendepani pelbagai cabaran dan halangan sepanjang tempoh 27 tahun beroperasi. Alhamdulillah, segala cabaran telah dihadapi dengan positif, semua halangan telah diganti sebagai peluang, dan natijahnya UnIPSAS kini berdiri sebagai sebuah universiti penuh. Kejayaan yang dicapai ini dengan berkat sokongan dan kerjasama pemegang taruh serta warga UnIPSAS.
Kini, UnIPSAS perlu terus bergerak ke hadapan untuk menjadi sebuah universiti Islam yang ulung di tanah air. Dengan adunan program pengajian akademik yang menggabungkan ilmu naqli dan aqli sebagai niche utama, ditambah dengan niche tambahan iaitu kepakaran Jawi dan ilmu Hadis, UnIPSAS percaya bahawa ilmu pengajian Islam di peringkat tertiari akan terus dimartabatkan.
Berpegang kepada teras pendidikan Takamul (integrasi ilmu Naqli dan Aqli), Tarbiah (penerapan nilai murni) dan Tajdid (pembaharuan ilmu pengetahuan), UnIPSAS yakin bahawa usaha memartabatkan pendidikan Islam ini tidak dapat dicapai tanpa sokongan semua pihak. Semoga maklumat terkandung dalam profail ini berupaya menjelaskan kepada pembaca mengenai UnIPSAS, satu-satunya universiti milik penuh Kerajaan Negeri Pahang.
Patik mewakili UnIPSAS merafak sembah menjunjung kasih kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas keprihatinan terhadap perkembangan UnIPSAS dalam memacu pendidikan berteraskan Islam di negeri Pahang. Ucapan jutaan terima kasih juga kepada YAB Menteri Besar Pahang, Kerajaan Negeri dan semua pihak kerana sentiasa mengambil berat, memberi sokongan dan kerjasama kepada UnIPSAS dalam pelbagai aspek.
Sekian.
Profesor Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, DSAP., SMP., AMP.