MUIP Plantations Wakaf Skrin Paparan LED Berteknologi Tinggi untuk Auditorium Tuanku Canselor UnIPSAS

Tarikh: 31/10/2025

KUANTAN, 31 OKTOBER 2025 – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) hari ini melakar sejarah apabila menerima sumbangan wakaf Skrin Paparan LED (LED Screen Display) berteknologi tinggi daripada MUIP Plantations Sdn. Bhd. Majlis penyerahan yang diadakan di Auditorium Tuanku Canselor UnIPSAS ini menggariskan komitmen MUIP Plantations dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk memajukan infrastruktur pendidikan melalui amalan wakaf.

Pengukuhan Prasarana Digital

Auditorium Tuanku Canselor UnIPSAS kini dilengkapi dengan aset baharu iaitu Skrin Paparan LED berteknologi tinggi menerusi sumbangan wakaf ini. Sumbangan tersebut diserahkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah MUIP Plantation Sdn Bhd, YH Dato’ Sri Md Sharif Bin Shamsuddin, dan diterima oleh YBrs Dr. Asmadi Bin Abd Rahman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Baitulmal dan Operasi MUIP. Penyerahan ini disaksikan oleh Naib Canselor UnIPSAS, YH. Prof. Dato’ Dr. Hj. Mohd Zawavi Bin Zainal Abidin, serta dif-dif kehormat.

YH Dato’ Sri Md Sharif Bin Shamsuddin dalam ucapan beliau menzahirkan:

“Kami bersyukur kerana berpeluang mewakafkan Skrin LED berteknologi tinggi ini kepada UnIPSAS. Saya lihat UnIPSAS terus berkembang maju, bermula dari zaman KIPSAS kini telah menjadi Universiti. Diharapkan manfaat daripada skrin teknologi terkini ini dapat dirasai oleh mahasiswa, peserta majlis ilmu, dan sesiapa sahaja yang hadir ke Auditorium ini,” kata beliau.

Kolaborasi Kepimpinan Strategik

Majlis yang berlangsung dalam suasana harmoni ini turut disaksikan oleh kepimpinan tertinggi lain, termasuk YBhg. En. Rizal Bin Ahmad (Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MUIP Holding), YBrs. Dr. Haji Azmi Bin Othman (Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat Pahang), dan YBrs. Dr. Mohd Syakir Bin Dato’ Hj. Mohd Taib (Timbalan Pengurus Besar Wakaf Pahang). Turut hadir adalah Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan semua Pengurusan Kanan UnIPSAS.

Kehadiran kakitangan MUIP Plantations Sdn Bhd, anggota kerja, serta pelajar UnIPSAS membuktikan semangat kekeluargaan dan sokongan padu. Sumbangan ini mengukuhkan kerjasama strategik antara UnIPSAS dan MUIP dalam membangunkan ekosistem pendidikan tinggi yang cemerlang di Negeri Pahang Darul Makmur.

crosschevron-down
ms_MYMalay
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram tiktok