25 Januari 2019 (KUANTAN) – KUIPSAS mengadakan Majlis Sanjungan Budi Lambaian Kasih pada hari ini bagi meraikan persaraan YH. Dato’ Sri Muhammad Safian bin Ismail, mantan Pengerusi Lembaga Pengarah, Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd. (SPIPSB). SPIPSB merupakan anak syarikat Kerajaan Negeri Pahang yang menjadi pemilik penuh KUIPSAS.
Dato’ Sri Muhammad Safian yang berkhidmat sebagai Pengerusi SPIPSB bermula Oktober 2007 hingga Januari 2019 telah terlibat secara langsung dalam menetapkan hala tuju KUIPSAS dari segi pengembangan program pengajian, kelestarian kewangan peningkatan imej positif KUIPSAS dalam kalangan masyarakat.
Dalam majlis yang diadakan di Hotel Grand Darul Makmur itu, Rektor KUIPSAS, YH. Dato’ Haji Yahya bin Zainal Abidin dalam ucapannya telah mengucapkan penghargaan atas segala jasa bakti yang telah dicurahkan oleh Dato’ Sri Muhammad Safian semasa menerajui SPIPSB. Majlis yang berlangsung selama 2 jam itu turut dimeriahkan dengan persembahan nasyid dan deklamasi sajak yang disampaikan oleh pensyarah dan kakitangan KUIPSAS.