KUIPSAS Dedah Asas Tulisan Jawi Di Sekolah

Tarikh: 16/01/2020

Sinar Harian | 16 Januari 2020

KUANTAN – Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) bekerjasama dengan pihak sekolah di negeri itu bagi mendedahkan kaedah asas penulisan jawi dalam kalangan pelajar dan guru.

KUIPSAS yang dilantik sebagai Pusat Rujukan Ejaan Jawi di seluruh Pahang melahirkan 24 Munsyi Jawi di negeri ini melalui program yang dianjurkan bersama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).

Penyelaras Munsyi Dewan Jawi yang juga Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar KUIPSAS, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, bagi menjayakan program semarak jawi di sekolah, KUIPSAS akan menyediakan Munsyi Jawi untuk berkongsi ilmu bagi mendalami asas kaedah penulisan itu.

Menurutnya, usaha itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu tulisan jawi diajar di sekolah sehingga ke peringkat universiti.

“Pada masa sama, usaha ini seiring dengan dasar kerajaan negeri Pahang yang menguatkuasakan penggunaan tulisan jawi bermula Ogos tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Dr Asmadi berkata, bagi mencapai matlamat itu, pihaknya bekerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ubai melalui penganjuran Program Semarak Jawi yang disertai 150 peserta.

Menurutnya, program sehari itu memberi peluang kepada pelajar untuk mengetahui isu terkini berhubung tulisan jawi khususnya di Pahang.

“SMK Ubai mengambil langkah proaktif dengan memberikan pendedahan kepada pelajar dan guru tentang kaedah asas penulisan jawi. Bagi menjayakan program itu, KUIPSAS menghantar dua Munsyi Jawi untuk berkongsi ilmu.

“SMK Ubai merupakan sekolah menengah pertama di daerah Pekan yang bekerjasama dengan kami menjayakan program semarak tulisan Jawi ini. Maklum balas daripada pelajar sangat baik dan mereka ternyata amat berminat dengan tulisan ini,” katanya.

crosschevron-down
ms_MYMalay
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram tiktok