KUANTAN, 8 Oktober 2025 – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) menerima kunjungan rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) Dr. Mubarak Saeed Aldhaheri, Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia, sempena Program Ambassadorial Talk bertajuk “Tolerance & Coexistence and the Role of the Youth in Multicultural Societies.”
Dalam sesi penuh inspirasi itu, TYT Dr. Mubarak berkongsi pandangan tentang kepentingan toleransi, keamanan dan perpaduan antara budaya, berasaskan semangat Piagam Madinah, model toleransi UAE serta Dokumen Persaudaraan Sejagat (Human Fraternity Document). Beliau menyeru agar generasi muda menjadi ejen perpaduan dalam membina dunia yang lebih harmoni dan saling menghormati.
Naib Canselor UnIPSAS, YH Prof. Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada kerajaan UAE atas tajaan biasiswa penuh kepada pelajar UnIPSAS yang kini menyertai Program Mobiliti Berkredit selama empat bulan di Mohamed Bin Zayed University for Humanities (MBZUH), Abu Dhabi.
Beliau turut berkongsi bahawa UnIPSAS akan menghantar pelajar lepasan diploma ke Abu Dhabi pada tahun 2026 bagi mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda di Mohamed Bin Zayed University for Humanities (MBZUH), dengan tajaan penuh daripada kerajaan UAE.
Turut hadir, YB Dato’ Ahmad Irsyadi bin Abdullah Al-Qari, Ahli Dewan Negeri Pahang merangkap Timbalan Portfolio Belia dan NGO, serta wakil-wakil daripada pelbagai jabatan kerajaan, para guru, pelajar Tingkatan Enam, pelajar sekolah dan pelajar universiti.
Sesi ini turut disertai kira-kira 500 orang hadirin yang hadir bagi mengikuti perkongsian dan sesi interaksi bersama TYT Duta Besar UAE.