31 Mac 2020 (KUANTAN) – Setiausaha Kerajaan Pahang, YB. Dato’ Sri Dr. Salehuddin bin Ishak meluangkan masa meninjau kerja-kerja menyediakan pelindung muka (𝘧𝘢𝘤𝘦 𝘴𝘩𝘪𝘦𝘭𝘥) yang ditugaskan kepada KUIPSAS pada hari ini. Beliau turut diiringi Timbalan SUK (Pengurusan), YH. Dato’ Mohd Zakaria bin Ibrahim dan Pengarah Tanah Dan Galian Pahang, YH. Dato’ Haji Fadzilla bin Haji Salleh.
Kerja-kerja penyediaan pelindung muka yang dilakukan di Dewan Barakah KUIPSAS ini telah masuk hari kedua dan dilakukan bersama-sama oleh sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) serta siswa siswi KUIPSAS yang tinggal di asrama sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ini.
Sehingga kini, sebanyak 400 unit pelindung muka sudah siap disediakan dan sukarelawan KUIPSAS akan menyediakan 600 unit lagi bagi mencukupkan jumlah 1,000 unit yang ditugaskan kepada KUIPSAS.
Terdahulu sebelum itu, kakitangan HEPA yang diketuai oleh Timbalan Rektor HEPA, YBrs. Dr. Asmadi bin Abdul Rahman telah diberikan taklimat dan latihan ringkas oleh Pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) bagi memastikan pelindung muda yang disediakan adalah mengikut spesifikasi yang ditetapkan serta berupaya untuk melindungi penggunanya daripada penyebaran virus dan penyakit.
Menurut Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, KUIPSAS dan kumpulan sukarelawannya sentiasa bersedia untuk menyumbangkan tenaga kerja bagi menyediakan pelindung muka ini pada bila-bila masa diarahkan oleh Kerajaan Negeri Pahang. Namun, KUIPSAS berharap bahan bekalan disediakan dengan mencukupi supaya lebih banyak pelindung muda dapat disediakan dengan kadar segera oleh para sukarelawan.
Semua pelindung muka yang sudah siap disediakan akan diserahkan terus kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) sebelum diagihkan kepada fasiliti kesihatan di negeri Pahang bagi digunakan oleh petugas-petugas barisan hadapan (𝘧𝘳𝘰𝘯𝘵𝘭𝘪𝘯𝘦𝘳𝘴) yang bertugas bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang sedang berlaku pada masa sekarang.
Link Video : https://www.facebook.com/pahang.gov/videos/910042242799801/