Banjir Pahang, Baki 65 Pelajar UnIPSAS Masih Ditempatkan Di Masjid

Tarikh: 18/12/2025

KUANTAN, 18 Disember 2025 : Seramai 65 pelajar Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) masih ditempatkan di masjid universiti berkenaan setakat pagi ini.

Naib Canselor UnIPSAS, Profesor Dato’ Dr Hj Mohd Zawavi Zainal Abidin berkata, jumlah berkenaan telah berkurang berbanding semalam iaitu seramai 135 orang.

Katanya, seramai 70 pelajar telah diambil oleh ahli keluarga masing-masing dan baki iaitu 35 pelajar lelaki dan 30 pelajar perempuan masih di masjid yang dijadikan lokasi penempatan sementara mangsa banjir di universiti berkenaan.

“65 pelajar lagi ini kita uruskan makan minum mereka dan alhamdulillah ramai yang datang bantu dari segi kewangan dan barangan. Kita juga ada minta katering untuk sediakan makanan untuk mereka.

“Selain itu, kita juga telah meminta kakitangan kita secara bergilir untuk memantau dan mengurus pelajar yang masih ada ini,” katanya ketika dihubungi Pahang Media hari ini.

Tambahnya, jumlah pelajar yang terperangkap berkenaan berkemungkinan akan berkurangan berikutan ada antara mereka yang mungkin akan di bawa pulang keluarga hari ini.

“Hari ini, mungkin jumlah pelajar yang terperangkap ini akan berkurang kecuali pelajar yang tinggal berjauhan dari keluarga seperti di Perlis, Perak dan sebagainya. Kita juga ada menyediakan kemudahan kenderaan untuk ke terminal bas jika ada yang mahu pulang menaiki bas,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, pelajar yang terperangkap berkenaan merupakan pelajar baharu yang sedang menjalani sesi orientasi dan pembelajaran bersemuka.

“Kira-kira 2,000 pelajar yang mengikuti pengajian di universiti ini telah dibenarkan pulang lebih awal dan menjalankan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dalam tempoh Disember dan Januari ini sebagai persediaan awal kerana kita memang sudah set dalam takwim kita berdasarkan ramalan cuaca sebelum ini.

“Namun untuk pelajar baharu ini, kita mahu mereka diajar secara bersemuka dahulu sebelum dibenarkan PdPR tetapi banjir berlaku lebih awal dari jangkaan,” katanya lagi.

Beliau bagaimanapun menzahirkan rasa syukur berikutan segala urusan pelajar yang terperangkap berkenaan dipermudahkan dan berjalan dengan lancar selain kesemua mereka berada dalam keadaan selamat. – PAHANGMEDIA

KREDIT : Oleh : Norhafizan Zulkifli ( Pahang Media )

crosschevron-down
ms_MYMalay
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram tiktok