Suasana Meriah Sempena Pendaftaran Pelajar Baharu Di UnIPSAS

Tarikh: 21/06/2025

Kuantan, 21 Jun 2025 – Kampus Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) hari ini kembali meriah apabila menerima kehadiran pelajar baharu bagi Sesi Akademik 2025/2026.

Pelajar bersama ibu bapa tiba seawal pagi, membawa semangat dan harapan besar untuk memulakan perjalanan baharu dalam dunia pengajian tinggi. Kehadiran mereka dari pelbagai negeri di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak menyerlahkan keterbukaan UnIPSAS sebagai sebuah institusi yang menerima pelajar dari segenap pelosok tanah air.

Petugas dan pensyarah pelbagai fakulti menyambut kehadiran pelajar baharu dengan mesra dan ceria, sekali gus mencerminkan nilai kekeluargaan yang diterapkan oleh pihak universiti.

Majlis pendaftaran turut diserikan dengan taklimat khas oleh Naib Canselor UnIPSAS, Profesor Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin yang menyampaikan amanat kepada ibu bapa dan pelajar. Beliau menekankan komitmen universiti dalam membentuk graduan berintegriti tinggi, berilmu serta bersedia menghadapi cabaran global.

Pendaftaran Walk-In Masih Dibuka Hingga 26 Julai 2025

UnIPSAS memaklumkan bahawa pendaftaran secara walk-in masih dibuka sehingga 26 Julai 2025, khusus buat lepasan SPM, STAM, STPM dan setaraf yang masih mencari peluang menyambung pengajian.

Antara kemudahan yang ditawarkan termasuklah surat tawaran yang dikeluarkan pada hari yang sama, penginapan asrama yang disediakan serta bantuan pinjaman pendidikan yang akan diuruskan selepas minggu orientasi.

Pelajar hanya perlu membawa slip keputusan peperiksaan ke kampus untuk memohon secara terus.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian WhatsApp rasmi UnIPSAS di 019-966 3755 atau hadir terus ke kampus di Jalan Gambang, Kuantan, Pahang.

crosschevron-down
ms_MYMalay
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram tiktok