Kerajaan Pahang Rangka Kolaborasi Dengan UnIPSAS Bangun Bakat Dan Kreativiti Belia

Tarikh: 15/10/2024

KUANTAN, 15 OKTOBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang merangka untuk berkolaborasi bersama Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS) bagi membangunkan bakat dan kreativiti golongan belia khususnya dalam bidang multimedia, rekabentuk kreatif dan pengiklanan digital.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, kolaborasi terbabit membolehkan bakat pelajar Ijazah Sarjana Muda Multimedia (Pengiklanan Digital) universiti berkenaan digilap sekali gus boleh menjadi aset penting kepada UNIPSAS dan Kerajaan Negeri sendiri.

“Saya dapat lihat potensi besar pelajar dengan macam-macam produk yang mereka hasilkan menggunakan digital advertising dan saya tengok potensi ini perlu digilap.

“Ia juga berkait dengan portfolio saya khususnya komunikasi dan multimedia. Mungkin kita ada kolaborasi antara UNIPSAS dan fakulti ini untuk membolehkan pelajar ini berkarya atau menghasilkan produk kreativiti masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian program ‘LIKHA Showcase’ Pameran Penilaian Akhir Pelajar Ijazah Sarjana Muda Multimedia (Pengiklanan Digital) dengan Kepujian bertempat di Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP), di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Naib Canselor UNIPSAS, Professor Dato’ Dr. Hj. Mohd Zawavi Zainal Abidin, Pengarah PPAP, Puan Nor Zahira Muhammad Azmi, Pengarah Open University Malaysia (OUM) Pahang, Puan Razalina Abdul Rashid, dan Pengarah Urusan dan Kreatif Alev Global Sdn. Bhd., Encik Najmi Aliff Che Harun.

YB. Tuan Fadzli juga memberitahu, progam pameran itu bukan sahaja menjadi platform bagi pelajar untuk mempamerkan hasil kreativiti dan inovasi mereka, malah juga merupakan medan untuk mempersiapkan mereka dalam menghadapi cabaran dunia industri multimedia yang semakin kompetitif dan tinggi kadar permintaan dalam pasaran kerjaya.

“Saya kagum sebenarnya dengan hasil kreativiti, komitmen dan kesungguhan mereka dari segi logo yang mereka hasilkan, desainnya yang macam-macam untuk merchandise yang mereka buat.. t-shirt, keychain, topi, beg dan macam-macam lagi lah kita tengok sepanjang pameran ini.

“Jadi InshaAllah, mungkin saya akan bincangkan dengan Professor Dato’ Zawawi macam mana kita boleh bekerjasama antara Kerajaan Negeri dan agensinya dengan pelajar-pelajar ini.

“Saya tak nak kreativiti mereka ini.. seperti yang saya katakan tadi.. terhenti setakat di sini. Kita perlu sama-sama bantu,” ujarnya. –

KREDIT : PAHANGMEDIA
Oleh: Norhafizan Zulkifli

crosschevron-down
ms_MYMalay
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram tiktok