Mantan Mufti Pahang Terima PhD Pengajian Islam

Tarikh: 09/09/2024

KUANTAN, 9 September 2024 –  ”Patik merasakan diri ini terlalu kerdil untuk menerima anugerah ini.” Itu kata bekas Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman yang menjadi penerima Istiadat Konvokesyen ke-21 Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) hari ini.

Penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Islam itu antara 442 graduan berkonvokesyen di hadapan Pro-Canselor II UniPSAS, Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibni Al-Sultan Abdullah.

”Namun patik percaya, anugerah ini merupakan satu pengiktirafan kepada ketinggian martabat ilmu dan merupakan hadiah kepada seluruh komuniti ilmuwan yang sentiasa istiqamah dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dan memberi bimbingan kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada istiadat itu.

Abdul Rahman diberi penghormatan berucap konsep ’Ilmu, Akhlak dan Dakwah’ di hadapan lebih 2,000 tetamu di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Jelasnya, ilmu bukan dicari untuk diri sendiri atau untuk perhiasan dan bermegah di depan orang lain tetapi medium untuk berbuat baik dan bertakwa serta untuk tujuan penyebaran dakwah.

Dengan demikian katanya seorang muslim layak mendapat kehormatan di sisi Allah serta kebahagiaan yang abadi dan berkongsi kisah  seorang ulama sufi terkenal, Sa’ id al-Thawril.

“Sesungguhnya, ilmu itu dipelajari agar kita dapat bertakwa kepada Allah. Hiasilah ilmu dan jangan menghias diri dengan ilmu.

”Sahabat Nabi SAW, Ubaid Ka’ab berkata, pelajarlah ilmu dan amalkanlah dan jangan pelajarinya untuk bermegah, sesungguhnya ia akan menjadi hiasan seperti mana seorang lelaki menghias dirinya dengan pakaiannya,” katanya,

Anak jati kelahiran Temerloh itu berkata, orang yang bertafaqquh, iaitu orang yang mendapat ilmu yang mendalam adalah pemimpin terbaik yang memimpin ke arah kebaikan.

Abdul Rahman dilahirkan pada 2 Mac 1953 di Jalan Merdeka, Bandar Temerloh semasa ayahanda beliau, Osman Hashim menjawat jawatan sebagai Kadi Daerah Temerloh. Sejak kecil, beliau telah mempelajari al-Quran dengan ayah dan ibunya, Aminah Busu.

Beliau telah melangsungkan perkahwinan dengan Datin Seri Nahayah Ismail pada tahun 1982 dan dikurniakan empat orang cahaya mata.

Penglibatan beliau dalam bidang kefatwaan bermula apabila dilantik sebagai Timbalan Mufti Negeri Pahang dari tahun 2000 hingga 2008.

Kemudiaannya, beliau dilantik sebagai Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Mustain Billah sehingga 31 Januari 2024 selama 24 tahun di Jabatan Mufti negeri Pahang.

Kredit : MalaysiaGazette
Oleh Syahira Yahya

crosschevron-down
ms_MYMalay
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram tiktok