Wanita Lebih Patuh PKP Berbanding Lelaki

Date: 15/04/2020

15 April 2020 (KUANTAN) – Kaum wanita di negeri Pahang didapati lebih patuh kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta mempunyai pengetahuan lebih tinggi mengenai wabak Covid-19 berbanding kaum lelaki. Demikian salah satu hasil kajian bertajuk “Pengetahuan dan Sikap Terhadap Wabak Covid-19 Serta Kepatuhan Terhadap PKP Dalam Kalangan Penduduk Negeri Pahang” yang diumumkan hari ini di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS).

Kajian ini juga menunjukkan bahawa tahap pengetahuan penduduk Negeri Pahang terhadap wabak Covid-19 secara puratanya adalah pada tahap 87.9%.

Kajian yang dijalankan oleh Bahagian Penyelidikan dan Inovasi dengan kerjasama Jabatan Psikologi dan Kaunseling KUIPSAS ini melibatkan responden seramai 439 orang yang tinggal di negeri Pahang. Kajian ini telah dijalankan selama 14 hari sepanjang PKP fasa 1 dan fasa 2 dikuatkuasakan baru-baru ini.

Menurut Ketua Pasukan Penyelidik, YBrs. Dr. Sharafuddin Aisa bin Hj. Osman, data kajian didapati melalui persampelan “𝘤𝘰𝘯𝘷𝘦𝘯𝘪𝘦𝘯𝘤𝘦 𝘴𝘢𝘮𝘱𝘭𝘪𝘯𝘨” dengan menggunakan instrumen yang diadaptasi daripada kajian Zhong et al.(2020). Kajian ini menurutnya lagi, dijangka mampu memberi gambaran tentang situasi semasa penduduk negeri Pahang dalam menghadapi wabak Covid-19 serta kepatuhan terhadap arahan PKP.

Kajian ini juga merumuskan bahawa sikap positif penduduk negeri Pahang terhadap wabak Covid-19 mencapai tahap 96% serta 95.4% penduduk negeri ini pula telah mematuhi arahan PKP yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

Selain, YBrs. Dr. Sharafuddin yang bertindak sebagai Ketua Pasukan Penyelidik, kajian ini turut dilaksanakan oleh YBrs. Dr. Fahmi Zaidi bin Abdul Razak, YBrs. Dr. Ahmad Effat bin Mokhtar, YBrs. Dr. Asmadi bin Abdul Rahman dan Puan Norillah binti Abdullah Hassim.

 

crosschevron-down
en_GBEnglish
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram tiktok