UnIPSAS Terima Sumbangan Wakalah Zakat Lebih Rm1 Juta

Date: 28/03/2024

KUANTAN, 28 MAC 2024 – Lebih RM1 juta kutipan wakalah zakat berjaya dikumpul Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) hasil sumbangan kira-kira 30 agensi di negeri ini.

Naib Canselor UnIPSAS, Datuk Dr. Mohd Zawavi Zainal Abidin berkata, dianggarkan seramai 190 pelajar bakal menerima sumbangan zakat itu antara RM200 ke RM1,000 bergantung kelayakan.

“UnIPSAS percaya melalui sumbangan wakalah zakat itu dapat meringankan beban pelajar sekali gus menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan lebih baik daripada sebelum ini.

“Bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana UnIPSAS mendapat perhatian kerajaan negeri terutama Tuanku Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan universiti.

“Baginda dan kerajaan negeri sentiasa memberikan galakan kepada agensi-agensi di negeri ini untuk menyumbang ke arah memastikan hala tuju UnIPSAS termasuk dalam usaha meringankan beban pelajar-pelajar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Wakalah Zakat dan sambutan Nuzul Al-Quran peringkat UnIPSAS di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohd. Zawavi berkata, dalam menentukan penerima, unit Hal Ehwal Pelajar bertanggungjawab sepenuhnya memilih pelajar-pelajar asnaf tersebut.

“Pihak universiti adakan temuduga, maknanya tapisan kita buat sangat teliti bagi memastikan tidak ada yang mengambil dua kali. Kita juga nak pastikan penerima yang benar-benar layak dan mereka memerlukan tidak terlepas pandang daripada menerima agihan zakat tersebut.

“Justeru itu, saya memberi jaminan kepada semua terutama ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sini, bahawa anak-anak pelajar asnaf di UnIPSAS tidak akan susah mahupun lapar kerana yang layak pasti menerima sumbangan,” katanya. – UTUSAN

crosschevron-down
en_GBEnglish
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram tiktok