UnIPSAS dan MUIP Menjayakan Pertandingan Penulisan Artikel Adat Resam dan Kebudayaan Melayu Pahang

Date: 05/08/2024

PEKAN, 5 Ogos 2024 – Buat julung kalinya Pertandingan Penulisan Artikel Adat Resam dan Kebudayaan Melayu Pahang telah diadakan dengan kerjasama Universiti Islam Pahang Sultan Haji Ahmad Shah (UNIPSAS).

Pertandingan ini bertujuan untuk memartabatkan adat resam Melayu Pahang, memperkasakan ilmu pengetahuan berkenaan adat resam dalam kalangan masyarakat, dan memberi galakan kepada masyarakat dalam penulisan ilmiah berkenaan adat resam Melayu Pahang. Selain daripada itu, ia bertujuan untuk mendapatkan hasil karya ilmiah yang bermutu untuk pengumpulan dan penerbitan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.

Pertandingan Penulisan tersebut telah selesai diadakan pada 13 – 30 November tahun lalu dengan kerjasama Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah.

Sebanyak 72 artikel telah di terima yang terdiri daripada pelbagai kategori latar belakang dari seluruh Malaysia dan penghantaran artikel adalah menerusi platform google form yang disediakan penganjur.

Johan pertandingan ini dimenangi oleh Nur Alia Shamsul Bahri dengan tajuk penulisannya ‘Merentasi Budaya Dan Permodenan Pengaruh Adat Dan Kepercayaan Dalam Pembuatan Perahu Di Pahang’, dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu dengan membawa pulang RM3,000.00 beserta sijil. Bagi tempat kedua pula dimenangi oleh Norulbaya Abdul Rahman dengan tajuk ‘Gastronomi Sungai Pahang’, dari YaPEIM Pekan. Beliau membawa pulang RM2,000.00 beserta sijil, manakala tempat ketiga dengan hadiah bernilai RM1,000.00 beserta sijil dimenangi oleh Ainuddin Bin Kamaruddin, dengan tajuk penulisannya ‘Gula Kabung: Kepentingannya Dalam Warisan Kulinari Tradisi Pahang’, dari Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS) Pahang.

Bagi hadiah saguhati, seramai 7 orang pemenang telah dipilih oleh barisan juri iaitu Muhamad Faris Amzar bin Mohd Fadzli, Norazilawati binti Abd Wahab, Shah Izzat bin A Razak, Mohd Farid bin Abd. Halim, Mohamed Yusuf Ahmad bin Adam Broughton, Nur Ainina Mardhiah binti Sariman dan Sharizainor Sharina binti Mohamed Shariff. Masing-masing membawa pulang wang tunai RM 500.00 beserta sijil.

Majlis penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Haji Ahmad Hairi bin Haji Hussain diiringi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan & Dasar) En. Khairuddin bin Ismail.

Sekalung tahniah diucapkan kepada semua pemenang. Pihak MUIP juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang menyertai pertandingan ini. Sebagai tanda penghargaan, semua peserta akan menerima sijil penyertaan yang akan dihantar ke alamat masing-masing.

Semoga dengan adanya pertandingan sebegini, ia dapat menarik minat dan memupuk rasa cinta dalam kalangan masyarakat terhadap warisan adat resam Melayu dan budaya demi memastikan ia tidak hilang di telan zaman.

Sumber Berita : FB MUIP
Sumber Gambar : FB MUIP

crosschevron-down
en_GBEnglish
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram tiktok