25 April 2020 (KUANTAN) – KUIPSAS mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinan YAB. Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang yang menyenaraikan KUIPSAS sebagai salah satu daripada enam penerima inisiatif bagi membantu golongan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak pandemik COVID-19 di negeri ini.
Sebanyak RM20,000 nilai peruntukan disediakan bagi menanggung perbelanjaan makan dan minum 60 pelajar KUIPSAS anak Pahang yang kekal tinggal di rumah sewa sepanjang tempoh PKP ini dilaksanakan.
……………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………..
KERAJAAN NEGERI PAHANG
COVID-19: KERAJAAN PAHANG UMUM 6 LAGI INISIATIF
Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
KUANTAN, 22 APRIL 2020: Kerajaan Pahang hari ini mengumumkan enam lagi inisiatif bagi membantu golongan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak pandemik COVID-19 di negeri ini.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif pertama adalah sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan dapur bernilai RM50 seorang kepada 2,400 veteran tentera berpencen tanpa gaji yang menjadi ahli Persatuan Veteran Tentera Negeri Pahang dengan jumlah peruntukan RM360,000.
Menurutnya, insiatif kedua adalah sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan dapur bernilai RM50 seorang kepada 600 bekas polis yang menjadi ahli Persatuan Bekas Polis Pahang dengan jumlah peruntukan RM90,000.
“Inisiatif ketiga adalah sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan dapur bernilai RM50 seorang kepada 300 anggota sukarela Rejimen 505 Askar Wataniah dengan nilai peruntukan sebanyak RM45,000.
“Kerajaan Pahang juga memberi sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan dapur bernilai RM50 seorang kepada 565 nelayan tidak berlesen dengan peruntukan RM84,750,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Dato’ Sri Hj Wan Rosdy berkata, inisiatif seterusnya adalah barangan keperluan dapur bernilai RM50 seorang kepada 300 penerima sepertimana dipohon oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dengan nilai peruntukan RM15,000.
“Seterusnya adalah sumbangan kepada pengurusan Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) kerana menanggung perbelanjaan makan dan minum 60 pelajar anak Pahang yang kekal tinggal di rumah sewa dengan nilai peruntukan berjumlah RM20,000,” katanya.
Menurut beliau, nilai keseluruhan bagi keenam-enam inisiatif terbaharu ini ialah RM614,750.
“Dengan ini menjadikan jumlah keseluruhan inisiatif yang diumumkan oleh Kerajaan Pahang sebanyak 28 inisitif dengan nilai peruntukan RM24.962 juta atau kira-kira 3.37 peratus daripada Bajet Negeri Pahang 2020 sebanyak RM739.89 juta
“Jumlah penerima keseluruhannya pula melibatkan kira-kira 101,894 ketua isi rumah atau kira-kira 27.86 peratus dari 365,800 ketua isi rumah di negeri ini.
“Diharapkan, kesemua 28 inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan berkesan seterusnya membantu rakyat yang terkesan teruk dengan PKP dalam usaha membendung penularan wabak pandemik COVID-19 ini,” katanya. – PAHANGMEDIA