Semarak Ma’al Hijrah 1447h di UnIPSAS

Date: 11/07/2025

11 Julai 2025, Kuantan – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) terus menyemarakkan semangat kecintaan terhadap Rasulullah SAW menerusi Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat UnIPSAS 1447H yang berlangsung dengan penuh meriah dan berjiwa keislaman pagi tadi.

Majlis dimulakan dengan perarakan kontinjen yang melibatkan 26 jabatan, fakulti, unit serta perwakilan pelajar, dibahagikan kepada enam kumpulan utama. Perarakan yang bermula jam 7.30 pagi dari perkarangan Masjid UnIPSAS menyusuri laluan kampus sambil diiringi gema selawat memuji junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Setiap kontinjen tampil dengan identiti dan kreativiti tersendiri, menonjolkan pelbagai elemen menarik yang melambangkan semangat kebersamaan dan komitmen dalam kalangan warga kampus.

Sejurus selesai perarakan, para peserta bersama-sama menunaikan solat sunat Duha secara berjemaah, menzahirkan rasa syukur dan harapan pada tahun baharu Hijrah yang lebih bermakna.

Majlis diteruskan dengan ceramah khas Ma’al Hijrah yang disampaikan oleh YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang. Ceramah beliau menyentuh aspek spiritual hijrah serta peranan mahasiswa dalam membina masyarakat Islam yang sejahtera.

Turut diadakan ialah penyampaian kad Bank Rakyat kepada para pelajar, sumbangan kepada pelajar Asnaf UnIPSAS, penyampaian hadiah kepada kontinjen terbaik dan cabutan bertuah serta jamuan.

Penganjuran sambutan ini secara tidak langsung memperkukuh nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar, selain mempererat hubungan antara pelbagai entiti dalam kampus.

UnIPSAS komited untuk terus menganjurkan program-program keagamaan bersifat membina jati diri, memperkukuh keterampilan dan menyantuni kebajikan warga universiti.

crosschevron-down
en_GBEnglish
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram tiktok