13 Februari 2020 (KUALA LUMPUR) – Pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda Dakwah Islamiah dan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah yang mengambil kursus Pengajian Akidah dan Isu- Isu Akidah telah mengadakan Program Motivasi Iman di SMK Desa Petaling pada hari ini. Seramai 40 orang fasilitator pelajar KUIPSAS terlibat menganjurkan program ini dan disertai oleh 94 orang pelajar Tingkatan 5 sekolah ini.
Program Motivasi Iman ini bertujuan untuk menyediakan medium perbincangan mengenai peranan dan kaedah akidah dalam persoalan pembangunan insan yang soleh. Di samping itu, program ini juga bertujuan untuk memberi motivasi dan semangat kepada para peserta agar sentiasa memperbaiki jati diri dan akidah dari semasa ke semasa. Selain itu, memperkenalkan KUIPSAS sebagai IPT di Negeri Pahang yang unggul dalam penyebaran ilmu dan pelaksanaan dakwah.
Di antara aktiviti yang dilaksanakan ialah Bengkel Motivasi yang mendedahkan kepada pelajar isu-isu akidah yang berlaku pada masa kini serta pemantapan akidah dari segi memperbaiki bacaan dan melakukan amali solat bersama para peserta.
Program Motivasi Iman ini telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Asmadi Bin Abdul Rahman, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni (HEPA) KUIPSAS dan turut dihadiri oleh pensyarah Jabatan Dakwah, Ustazah Safiah Abd Razak selaku pensyarah pengiring, Pengetua SMK Desa Petaling Puan Aminah Bt Daud, Penolong Kanan Pentadbiran Dan Kurikulum, Puan Kamala Bt Dalimi, Puan Naemaah Binti Mokhtar selaku Kaunselor SMK Desa Petaling.