Program Khidmat Masyarakat Antarabangsa UnIPSAS bersama UIN Ar-Raniry

Date: 27/11/2024

ACEH, 27 November 2024 – Mahasiswa Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) berjaya melaksanakan Program Operasi Pengabdian Khidmat Masyarakat (OPKiM) 2024 di Banda Aceh, Indonesia. Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara UniPSAS dan Universiti Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry, yang bertujuan memperkukuh hubungan akademik dan melibatkan peserta dalam pelbagai aktiviti khidmat masyarakat di peringkat antarabangsa.

Selama lima hari program ini berlangsung, seramai 18 pelajar dari Persatuan Mahasiswa Ijazah Dakwah Islamiah (MADAIE), Jabatan Dakwah UniPSAS, bersama seorang pensyarah, serta 14 peserta dari UIN Ar-Raniry yang terdiri daripada mahasiswa dan pensyarah, terlibat aktif dalam pelbagai aktiviti. Secara keseluruhan, 32 peserta mengambil bahagian dalam program ini, yang merangkumi diskusi ilmiah, khidmat masyarakat di pondok pesantren dan desa, serta lawatan ke beberapa lokasi bersejarah di sekitar Banda Aceh.

Diskusi ilmiah yang diadakan pada 25 November 2024 di Aula FDK UIN Ar-Raniry memberi peluang kepada para peserta untuk bertukar idea, berkongsi pengalaman akademik dan budaya, serta mempererat hubungan antara kedua-dua institusi pengajian tinggi.

Aktiviti khidmat masyarakat dilaksanakan di tiga pondok pesantren, iaitu Dayah Mulia (Blang Bintang), Ponpes Daruzzahidin (Kuta Baro), dan Ponpes Darul Muta’allimin (Blang Bintang), serta dua gampong, iaitu Teupin Batee dan Cot Leuot di Aceh Besar. Program ini melibatkan pelbagai aktiviti, antaranya gotong-royong, sesi motivasi untuk pelajar pesantren, dan interaksi bersama komuniti tempatan. Aktiviti-aktiviti ini berjaya mempererat hubungan antara pelajar dan masyarakat setempat, serta meningkatkan pemahaman silang budaya antara peserta dan komuniti Aceh.

Selain khidmat masyarakat, para peserta turut diberi peluang melihat dan mendalami sejarah Islam melalui aktiviti tafakkur alam di pesisir pantai Lampuuk dan Lhoknga, serta lawatan ke beberapa tempat bersejarah seperti Muzium Tsunami, PLTD Apung, Masjid Lampuuk, Masjid Baiturrahim, dan Masjid Raya Baiturrahman.

Kerjasama strategik antara UniPSAS dan UIN Ar-Raniry ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan dengan pelaksanaan program-program yang lebih berimpak tinggi. Melalui penglibatan aktif dalam inisiatif seperti OPKiM, kedua-dua institusi ini berjaya memperkukuh jaringan akademik global sekaligus melahirkan mahasiswa yang holistik, berdaya saing, dan peka terhadap keperluan masyarakat global.

crosschevron-down
en_GBEnglish
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram tiktok