KUANTAN, 30 September 2025 – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) telah menganjurkan Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta UnIPSAS (PIRCU’25) bertempat di Dewan Sultan Ahmad Shah, UnIPSAS. Pertandingan ini merupakan satu inisiatif signifikan yang selari dengan aspirasi Negeri Pahang dalam memperkukuh budaya inovasi dan penyelidikan dalam kalangan masyarakat.
PIRCU’25 telah berlangsung dengan meriah, melibatkan penyertaan 26 kumpulan inovasi serta 10 kumpulan poster penyelidikan. Para peserta menampilkan pelbagai idea baharu serta hasil penyelidikan yang kreatif dan berimpak tinggi, mencerminkan keupayaan peserta dalam menjana pengetahuan dan penyelesaian inovatif.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB. Dato’ Mohamad Nizar bin Dato’ Sri Mohamad Najib, DSAP., Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menzahirkan sokongan terhadap usaha UnIPSAS memperkukuh budaya penyelidikan dan penciptaan ilmu dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau:
“Saya yakin bahawa hasil inovasi yang dipamerkan pada hari ini mampu memperkukuh reputasi UnIPSAS sebagai pusat kecemerlangan ilmu, serta memberikan impak besar kepada masyarakat.”
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua peserta atas komitmen, semangat inovatif dan usaha gigih yang ditunjukkan. PIRCU’25 terus menjadi platform penting dalam menyemai budaya inovasi dan penyelidikan dalam kalangan warga UnIPSAS dan penyelidik demi kesejahteraan ummah.
Kredit : Media UnIPSAS & Pahang Media
Shammil Shabri , Ain Nadhirah Basha & Ezzatul Syafiqa Asmawai