3 Mac 2021 (KUANTAN) – Sesi Pembentangan Permohonan Naik Taraf KUIPSAS Ke Universiti Penuh berjalan lancar hari ini dengan menyaksikan YB. Dato’ Sri Sallehuddin bin Ishak, Setiausaha Kerajaan Pahang merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd. (SPIPSB) membuat pembentangan dengan penuh keyakinan.
Sesi pembentangan yang diadakan secara dalam talian itu merupakan proses susulan yang perlu dihadapi oleh KUIPSAS selepas menghantar permohonan secara rasmi pada 28 Disember 2020 yang lalu bagi menaikkan taraf KUIPSAS menjadi sebuah Universiti Penuh.
Sesi Pembentangan dipengerusikan oleh Prof. Datuk Dr. Husaini bin Omar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan disertai oleh ahli-ahli panel daripada Kementerian Pengajian Tinggi dan universiti-universiti awam.
Dalam pembentangan tersebut, YB. Dato’ Sri Sallehuddin menjelaskan rasional menaikkan taraf KUIPSAS kepada Universiti Penuh, hala tuju strategik, perancangan pematuhan, kebolehpasaran graduan dan perancangan program pengajian baharu.
Beliau turut mengemukakan tiga cadangan nama baharu jika KUIPSAS menjadi sebuah Universiti Penuh.
Turut hadir dalam sesi pembentangan tersebut ialah YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin (Rektor KUIPSAS), Ybhg. Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri bin Awang Mat Dahan (Naib Canselor UniSZA merangkap Ahli Lembaga Pengelola KUIPSAS), Ybhg. Prof. Dato’ Dr. Saharuddin bin Abdul Hamid (Ahli Lembaga Pengelola KUIPSAS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Naik Taraf KUIPSAS) dan Pengurusan Kanan KUIPSAS.