Pelajar UnIPSAS Terima Bantuan Segera Susulan Bencana Banjir

Date: 17/12/2025

Kuantan, 17 Disember 2025 – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) telah dilanda bencana banjir bermula 16 Disember 2025 susulan hujan lebat berterusan yang melanda kawasan sekitar kampus.

Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana UnIPSAS yang diketuai oleh Tuan Pendaftar UnIPSAS, Tuan Haji Mohd Faizul bin Haji Abdul Hadi Nor, selaku Ketua Komandan Operasi, telah digerakkan serta-merta. Operasi ini dilaksanakan dengan kerjasama erat Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), pihak Keselamatan Universiti serta sokongan padu Anggota Kerja UnIPSAS (AKU) bagi memastikan kebajikan dan keselamatan para pelajar sentiasa terpelihara.

Sebagai langkah keselamatan awal, para pelajar telah ditempatkan di aras dua setiap blok asrama bagi mengelakkan sebarang risiko akibat kenaikan paras air. Selain itu, Masjid UnIPSAS yang merupakan kawasan tinggi dalam kampus turut dijadikan lokasi penempatan sementara pelajar sekiranya keadaan memerlukan. Dalam masa yang sama, pihak pengurusan universiti turut membenarkan ibu bapa dan penjaga mengambil pelajar pulang ke kediaman masing-masing mengikut ketetapan dan prosedur yang telah ditetapkan.

Selain aspek keselamatan, kebajikan pelajar turut diberi perhatian serius melalui penyediaan bantuan keperluan asas dan bekalan makanan, hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk Yayasan KOSMA, agensi-agensi bukan kerajaan (NGO) serta individu-individu prihatin yang tampil menghulurkan bantuan. Anggota Kerja UnIPSAS (AKU) juga turut hadir sebagai sukarelawan bagi membantu kelancaran operasi, pengagihan bantuan serta pemantauan kebajikan pelajar.

Setakat ini, Pengurusan Bencana UnIPSAS terus mempergiatkan usaha secara bersepadu bagi memastikan situasi kampus berada dalam keadaan terkawal, selamat dan kondusif, di samping memantau perkembangan semasa dari masa ke masa.

Seluruh warga UnIPSAS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat serta mendoakan agar bencana banjir ini segera surut, dan seluruh warga kampus sentiasa berada di bawah lindungan dan rahmat Allah SWT.

crosschevron-down
en_GBEnglish
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram tiktok