25 Oktober 2018 (KAHERAH MESIR) – Kunjungan Hormat KUIPSAS yang diketuai oleh YH. Dato’ Haji Yahya bin Zainal Abidin, Rektor KUIPSAS ke negara Mesir baru-baru ini telah berjaya mencapai objektifnya. Beberapa urusan kerja yang dirancang telah berjalan dengan lancar seperti yang diharapkan. Bermula dengan penghantaran 15 orang pelajar KUIPSAS yang diterima menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Al-Azhar, Mesir, beberapa program lain diadakan selepas itu. Kunjungan hormat ini turut disertai oleh Dr. Mohd. Zawavi bin Zainal Abidin (Timbalan Rektor Akademik Dan Pengantarabangsaan) serta Prof. Madya Dr. Mohamed Ahmed Mohamed Abdelaal Alsharabany (Pensyarah Fakulti Pengajian Islam KUIPSAS)
Kunjungan ke Universiti Al-Azhar, Mesir pada kali ini telah membuahkan hasil apabila pihak Universiti Al-Azhar telah bersetuju untuk memperbaharui Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara kedua-dua pihak dengan memasukkan beberapa persetujuan bersama yang dibentangkan dalam perbincangan tersebut. Selain itu, delegasi KUIPSAS telah mengadakan pertemuan dengan TYT Duta Besar Malaysia ke Mesir dan Menteri Penasihat (Pendidikan) serta diadakan juga sesi temuduga bersama Dr. Ahmad Muhamad Ibrahim Khatir.