13 Mei 2020 (KUANTAN) – Kefahaman kepada agama menjadi faktor terpenting yang menyumbang kepada pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam kalangan penganut agama Islam di Malaysia. Demikian hasil kajian yang dibentangkan oleh sekumpulan penyelidik daripada Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, Jabatan Psikologi dan Kaunseling dan Fakulti Pengajian Pengurusan, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS).Objektif kajian ini diadakan adalah untuk mengenalpasti faktor-faktor yang menyumbang kepada kepatuhan terhadap arahan PKP di Malaysia. 4 faktor psiko-sosial yang terlibat dalam kajian ini ialah kefahaman agama, sikap, pengaruh individu sekeliling dan kawalan tingkahlaku. Seramai 342 responden telah bersetuju menyertai kajian ini. Data kajian didapati melalui persampelan bukan kebarangkalian dengan menggunakan instrumen yang diadaptasi daripada kajian Farhana (2014). Kajian ini merupakan antara kajian terawal bagi mengenalpasti faktor-faktor yang menyumbang kepada kepatuhan terhadap arahan PKP di Malaysia dan dijangka dapat memberikan gambaran awal tentang hubungan sebab-akibat di antara faktor yang dikaji dengan kepatuhan terhadap PKP.