Warga KUIPSAS Memuliakan Keberangkatan Al-Sultan Abdullah

31 Januari 2019 (KUANTAN) – Warga KUIPSAS turut mengambil peluang untuk menghadiri Istiadat Memuliakan Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang Tengku Hajah Azizah Maimunah Iskandariah ke Kuala Lumpur sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Warga KUIPSAS berada di Jalan Bypass berdekatan Bukit Rangin dan di Pangkalan TUDM Kuantan seawal jam 6.30 pagi bersama-sama sekalian rakyat negeri Pahang yang turut hadir memuliakan keberangkatan Tuanku berdua.

 

 

Malam Sanjungan Budi Raikan Mantan Pengerusi SPIPSB

25 Januari 2019 (KUANTAN) – KUIPSAS mengadakan Majlis Sanjungan Budi Lambaian Kasih pada hari ini bagi meraikan persaraan YH. Dato’ Sri Muhammad Safian bin Ismail, mantan Pengerusi Lembaga Pengarah, Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd. (SPIPSB). SPIPSB merupakan anak syarikat Kerajaan Negeri Pahang yang menjadi pemilik penuh KUIPSAS.

Dato’ Sri Muhammad Safian yang berkhidmat sebagai Pengerusi SPIPSB bermula Oktober 2007 hingga Januari 2019 telah terlibat secara langsung dalam menetapkan hala tuju KUIPSAS dari segi pengembangan program pengajian, kelestarian kewangan peningkatan imej positif KUIPSAS dalam kalangan masyarakat.

Dalam majlis yang diadakan di Hotel Grand Darul Makmur itu, Rektor KUIPSAS, YH. Dato’ Haji Yahya bin Zainal Abidin dalam ucapannya telah mengucapkan penghargaan atas segala jasa bakti yang telah dicurahkan oleh Dato’ Sri Muhammad Safian semasa menerajui SPIPSB. Majlis yang berlangsung selama 2 jam itu turut dimeriahkan dengan persembahan nasyid dan deklamasi sajak yang disampaikan oleh pensyarah dan kakitangan KUIPSAS.

FTMK Murnikan Kurikulum Diploma

25 Januari 2019 (KUANTAN) – Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) KUIPSAS selesai mengadakan Bengkel Pemurnian Kurikulum Diploma Teknologi Maklumat dan Rangkaian selama dua hari dan berakhir pada hari ini. Bengkel diadakan bertujuan untuk menyemak secara terperinci dokumen diploma ini sekaligus mengemaskinikannya berdasarkan perkembangan semasa serta mematuhi Standard Program yang telah ditetapkan oleh Malaysian Qualification Agency (MQA).

Bengkel pemurnian ini dikendalikan sepenuhnya oleh Dr. Mohamad Fadli Zolkipli, Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pembangunan Pelajar, Fakulti Sains Komputer dan Kejuruteraan Perisian (FSKKP), Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang juga merupakan Panel Akademik kepada program diploma ini.

Perjumpaan Pengerusi SPIPSB Bersama Warga KUIPSAS

17 Januari 2019 (KUANTAN) – Selepas dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Pahang yang baharu, YB. Dato’ Sri Dr. Sallehuddin bin Ishak telah menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Warga KUIPSAS pada hari ini. Sebagai Setiausaha Kerajaan Pahang, beliau turut dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah, Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd. (SPIPSB), anak syarikat Kerajaan Negeri Pahang yang memiliki KUIPSAS.

Dalam perjumpaan yang diadakan di Auditorium KUIPSAS ini, beliau telah menyampaikan beberapa pesanan penting. Antara lain beliau menyatakan bahawa pengetahuan pada masa kini merupakan komoditi yang penting tetapi ianya mesti kekal relevan dalam masyarakat. Di samping itu, transformasi dalam negara mestilah berteraskan ilmu pengetahuan yang berkelas dunia. Sehubungan dengan itu, beliau menggesa warga KUIPSAS supaya terus menuntut ilmu dan jangan berhenti belajar.

Terdahulu sebelum itu, YB. Dato’ Sri Dr. telah mengadakan pertemuan bersama Pengurusan Tertinggi KUIPSAS di Bilik Mesyuarat Utama bagi mendapatkan penerangan mengenai perkembangan terkini KUIPSAS.

Lawatan Akademik Kolej Wasatiah Yaman

 

 

 

 

 

 

 

 

14 Januari 2019 (KUANTAN) – KUIPSAS hari ini menerima Lawatan Akademik dari Kolej Wasatiah, Hadramaut, Yaman yang dihadiri oleh Ybhg. Sheikh Muhamad Ba Hamyish (Penolong Pengarah Kuliah Islamiah) dan Dr Omar Ali Saeed Bargoth. Lawatan selama satu jam itu merupakan sebahagian daripada Lawatan Akademik yang disusun ke beberapa institusi Pendidikan Islam di negeri Pahang.

 

Bengkel Pemurnian Diploma Kaunseling Islam Tumpu Pematuhan MQA

11 Januari 2019 (KUANTAN) – Bengkel Pemurnian Diploma Kaunseling Islam telah diadakan selama 2 hari dan dikendalikan oleh 2 orang pakar dalam bidang kaunseling. Kedua-dua pakar tersebut ialah Dr. Md. Noor bin Saper, Pensyarah Kanan Kaunseling dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang merupakan Panel Akademik dan Tn. Hj. Norazman bin Amat dari Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan yang merupakan Panel Industri.

 

Bengkel dan perbincangan padat selama 2 hari itu menumpukan kepada pematuhan standard program MQA, pemurnian objektif dan hasil pembelajaran program mengikut domain MQA, penawaran subjek, susun atur Makmal Kaunseling, penambahan kandungan kursus yang relevan dengan isu semasa dan perbincangan awal untuk menggubal dan menawarkan program Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kaunseling.

Pemurnian ini dijalankan selari dengan dengan saranan MQA iaitu program perlu ditambahbaik dari semasa ke semasa serta persediaan untuk permohonan akreditasi penuh diploma ini. Semoga pemurnian ini dapat mengukuhkan lagi struktur program Diploma Kaunseling Islam KUIPSAS, yang telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar.

**********
Info semasa mengenai Diploma Kaunseling Islam KUIPSAS boleh diikuti di laman FB Page : Diploma Kaunseling Islam Kuipsas

 

KUIPSAS Umum Perlantikan PROF. MADYA

27 Disember 2018 (KUANTAN) – Perhimpunan Bulanan Ke Arah Perkhidmatan Cemerlang KUIPSAS bagi bulan Disember 2018 yang diadakan pada hari ini menyaksikan pengumuman pelantikan beberapa jawatan penting di KUIPSAS. Perhimpunan yang bermula jam 8.15 pagi itu dihadiri oleh semua warga kerja KUIPSAS dan diadakan di Auditorium KUIPSAS.

Terdahulu sebelum itu, YH. Dato’ Haji Yahya bin Zainal Abidin, Rektor KUIPSAS dalam ucapannya menyentuh kepentingan KUIPSAS memastikan kelestarian dalam urusan kewangannya. Pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan bagi memastikan KUIPSAS akan sentiasa kukuh dari sudut pengurusan kewangan.

Beliau kemudiannya mengumumkan pelantikan Dr. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin (Timbalan Rektor Akademik dan Pengantarabangsaan) ke jawatan Profesor Madya dan pelantikan Dr. Asmadi bin Abdul Rahman sebagai Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni secara penempatan khas.

Turut diumumkan pelantikan ke jawatan tetap kepada Cik Nur Syafira Nasuha binti Mohd Zuki (Jabatan Perhubungan Korporat), Cik Nur Athirah binti Mohd Mazalan (Perpustakaan), Cik Nurul Syahirah binti Abdul Rahman (Unit Pengurusan Aset & Logistik), Cik Farah Wahida binti Abdul Manas (Jabatan Pengurusan Akademik), Cik Masitah binti Mohd Razali (Unit Kualiti), En. Muhamad Kasyidi Hakim bin Kamarudzaman (Unit Kejuruteraan Awam / Peyelengaraan), Cik Siti Mariam binti Nawang (Jabatan Sumber Manusia), Pn. Noor Suryana binti Omar (Unit Keselamatan), En. Ahmad Anasrul bin Muhammad (Unit Keselamatan) dan En. Muhammad Salihin bin Mohd Sabri (Unit Keselamatan).

Perhimpunan kali ini turut meraikan kejayaan En. Mohd Fazzly Rassis bin Md. Kassim (FTMK) dan Cik Norhasniza Hanum binti Ishak (FPP) yang menamatkan pengajian peringkat Sarjana serta Pn. Nur Liana ‘Aqilah binti Derus (FPP) yang mendirikan rumah tangga baru-baru ini. Hadiah penghargaan ini disumbangkan oleh Badan Kebajikan Keluarga KUIPSAS (BAKKIP).

Pesilat KUIPSAS Raih Pingat Emas

19 Disember 2018 (KUANTAN) – KUIPSAS telah dijemput untuk menyertai Kejohanan Silat yang diadakan di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang pada hari ini bermula jam 8.00 pagi. Seramai 13 orang pesilat KUIPSAS telah menyertai kejohanan silat tersebut.

Pesilat KUIPSAS tampil bergaya apabila berjaya memenangi pusingan pertama dan lebih membanggakan pesilat Muhammad Faris Ikram bin Abdul Hameed telah berjaya memenangi Pingat Emas bagi Kategori Tanding (Individu Putera) dalam kumpulan H.

 

Pensyarah Bahasa Arab Menang Anugerah Inovasi UKM

18 Disember 2018 (BANGI) – Pensyarah Jabatan Bahasa Arab KUIPSAS berjaya menarik perhatian dengan memenangi anugerah dalam Pertandingan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab bersempena dengan program World Arabic Language Day (Hari Bahasa Arab Sedunia – WALD 2018) yang diadakan pada hari ini.

Pertandingan Inovasi yang dianjurkan oleh Fakulti Pengajian Islam (FPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini bertujuan untuk mengetengahkan hasil ciptaan & inovasi berkaitan PdPC bagi mata pelajaran Bahasa Arab dalam kalangan pensyarah-pensyarah IPT dan guru-guru sekolah.

KUIPSAS melalui Jabatan Bahasa Arab telah menghantar 3 orang wakil iaitu Ustazah Norillah Abdullah Hassim dan Ustazah Nurizan Baharum yang mempertandingkan projek inovasi “Pembelajaran I’rab & Bina’ Menggunakan Warna & Simbol” dan Ustaz Muhamad Fairuz Ali yang mempertandingkan “Pembelajaran Kosa Kata Bahasa Arab Menggunakan Roda Impian”.

Hasil usaha gigih peserta, Ustaz Muhamad Fairuz telah memenangi Pingat Emas manakala Ustazah Norillah dan Ustazah Nurizan meraih Pingat Perak
. Kejayaan ini sekaligus berjaya menaikkan nama KUIPSAS sebagai IPT yang menawarkan program pengajian dalam bidang Bahasa Arab.

**********
Untuk mendapatkan informasi lanjut mengenai program-program pengajian dalam bidang Bahasa Arab di KUIPSAS, sila ikuti FB Page : Jabatan Bahasa Arab KUIPSAS

Bengkel Zakat Tingkatkan Kesedaran MAHASISWA KUIPSAS

15 Disember 2018 (KUANTAN) – Mahasiswa KUIPSAS menyedari bahawa tuntutan menunaikan zakat harta merupakan amalan wajib ke atas umat Islam. Kesedaran ini menjadi lebih kukuh selepas mereka menghadiri program Bengkel Pengiraan Zakat Harta 2018. Bengkel anjuran Jabatan Syariah KUIPSAS ini dihadiri seramai 400 orang mahasiswa/wi daripada semua program pengajian Diploma.

Bengkel yang dikendalikan sepenuhnya oleh penceramah-penceramah daripada Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang itu antara lain bertujuan untuk memberikan pengetahuan mengenai kadar zakat harta yang ditetapkan oleh PKZ Pahang. Selain itu, peserta juga dilatih untuk membuat pengiraan zakat yang betul serta diperkenalkan dengan aplikasi mudah alih yang dibangunkan oleh PKZ Pahang.

Penceramah PKZ Pahang yang hadir terdiri daripada Pn. Fatin Nor Azrin Bt Omar, Ustaz Felza Zulrrafaaee B Abdul Hamid, Ustaz Zafridan B Mohd Daud dan Ustaz Mohd Abdul Khaliq bin Mohd Nazir. Program dirasmikan oleh YH. Dato’ Haji Yahya bin Zainal Abidin, Rektor KUIPSAS.

Pusat Kutipan Zakat Pahang

**********
Informasi lanjut mengenai program-program pengajian dalam bidang Syariah di KUIPSAS boleh diikuti di Laman FB : Syariah Department Kuipsas

en_GBEnglish