Pengguna Di Kuantan Menyukai Portal PAHANGMART

9 Jun 2020 (KUANTAN) – Hasil kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik KUIPSAS merumuskan bahawa 80.16% pengguna di Kuantan menyukai Portal PahangMart yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Pahang. Kajian yang bertajuk “Faktor Sikap, Kebergunaan Dan Kemudahgunaan Terhadap Niat Penggunaan Portal PahangMart Dalam Kalangan Pengguna di Kuantan” melibatkan responden seramai 127 orang dalam daerah Kuantan.
Objektif kajian ini adalah untuk mengenalpasti tahap niat penggunaan portal PahangMart dalam kalangan pengguna di Kuantan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan baru-baru ini. Kajian ini dijalankan oleh kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Cik Nur Aulia Fahada bt Misaridin (Pensyarah FPP) dan dianggotai oleh YBrs. Dr. Mohammad Zulfakhairi Mokhtar (Pensyarah FPP) dan En. Wan Hashridz Rizal bin Wan Abu Bakar (Pensyarah FPI).

T20 Berniat Sedekah Lebih Tinggi Sepanjang PKP

7 Jun 2020 (KUANTAN) – Golongan T20 Muslim di negara ini didapati mempunyai niat untuk bersedekah lebih tinggi berbanding golongan lain sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini. Demikian hasil kajian yang bertajuk “Kajian Niat Muslim untuk Bersedekah Sepanjang Tempoh Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)”.
Kajian telah melibatkan 418 orang responden dari seluruh negara dan dilaksanakan oleh kumpulan penyelidik daripada Fakulti Pengajian Pengurusan (FPP) KUIPSAS. Kumpulan penyelidik diketuai oleh YBrs. Dr. Mohammad Zulfakhairi Mokhtar dan dianggotai oleh Pn. Lydiawaty Hassan Busry dan Cik Nur Aulia Fahada Misaridin.
Berikut adalah hasil kajian secara keseluruhan :
1- Tahap niat untuk bersedekah dalam kalangan Muslim di Malaysia ialah 94%
2- Perempuan mempunyai niat yang lebih tinggi untuk bersedekah berbanding lelaki
3- Muslim yang sudah berkahwin mempunyai niat untuk bersedekah yang lebih tinggi
4- Golongan T20 mempunyai niat untuk bersedekah yang lebih tinggi
5- Kedudukan tiga negeri di Malaysia yang mempunyai niat untuk bersedekah tertinggi:
a) Kedah sebanyak (98%)
b) Melaka sebanyak (96%)
c) Pahang sebanyak (94%)
6- Muslim di Malaysia cenderung memberikan sedekah kepada individu
7- Muslim di Malaysia cenderung bersedekah dalam bentuk wang tunai melalui tabung kutipan.
8- Muslim di Malaysia cenderung bersedekah melalui pindahan wang secara online.
Fakulti Pengajian Pengurusan Kuipsas
Fakulti Pengajian Pengurusan Kuipsas

Solat Jumaat Kali Kedua Berjalan Lancar

22 Mei 2020 (KUANTAN) – Solat Fardhu Jumaat berjaya dilaksanakan pada hari ini di bawah pengawasan dan pematuhan SOP yang ketat di Masjid KUIPSAS. Solat ini adalah kali kedua dilaksanakan selepas kebenaran diberikan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.
Solat Fardhu Jumaat ini telah dihadiri seramai 150 orang jemaah terdiri daripada kakitangan KUIPSAS, penduduk sekitar dan ahli kariah Masjid KUIPSAS. Turut hadir menunaikan solat ialah Setiausaha Kerajaan Pahang, YB. Dato’ Sri Dr. Salehuddin bin Ishak, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, YH. Dato Seri Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Osman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pengurusan), YH. Dato’ Mohd Zakaria bin Ibrahim dan Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin.
Pusat Islam Masjid KUIPSAS yang menyelaraskan pelaksanaan Solat Fardhu Jumaat ini telah menambah dua lagi SOP yang perlu dipatuhi oleh ahli jemaah bagi memastikan aspek keselamatan berada pada tahap terbaik sekaligus menghalang kemungkinan berlakunya penularan wabak Covid-19. Pelaksanaan solat ini juga telah dipantau dengan rapi oleh Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Kerajaan Negeri Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang

Tengku Amir Lawat KUIPSAS

20 Mei 2020 (KUANTAN) – Warga KUIPSAS sangat bertuah hari ini kerana menerima lawatan oleh Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Leftenan Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). Lawatan ini julung kali dilakukan selepas YAM Tengku dilantik sebagai TYDP MUIP.
Ketibaan YAM Tengku pada jam 10.00 pagi disambut oleh Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin dan Pengurusan Kanan KUIPSAS. Lawatan ini diadakan bertujuan untuk meninjau perkembangan semasa Makmal Hadis KUIPSAS yang sudah mula beroperasi pada ketika ini.
Makmal Hadis ini merupakan amanat dan hasrat murni Canselor KUIPSAS yang pertama, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah semasa hayat Baginda. Untuk tujuan itu, peruntukan sebanyak RM100,000 telah disalurkan oleh MUIP kepada KUIPSAS bagi menjayakan hasrat murni ini.
Di samping itu, YAM Tengku juga mendengar pembentangan taklimat mengenai KUIPSAS secara keseluruhannya dan menyampaikan pandangan mengenai ruang-ruang kerjasama seterusnya di antara MUIP dan KUIPSAS pada masa hadapan.
Tengku Panglima Raja
Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang
Kerajaan Negeri Pahang

KUIPSAS Laksana Solat Jumaat

15 Mei 2020 (KUANTAN) – Masjid KUIPSAS telah mendapat perkenan daripada KDYMM Pemangku Raja Pahang sebagai salah satu daripada 3 masjid untuk melaksanakan Solat Fardhu Jumaat dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada masa kini.
Solat Jumaat ini dilaksanakan dengan mematuhi SOP yang ditetapkan di samping kawalan keselamatan yang ketat. Seramai 200 orang jemaah telah hadir menunaikan solat yang terdiri daripada kakitangan KUIPSAS serta penduduk setempat.
Walaupun terpaksa menghadapi SOP yang ketat, semua jemaah yang hadir telah memberikan kerjasama yang terbaik. Mereka terlebih dahulu telah mendaftarkan diri, memakai pelitup muka, membawa sejadah, sihat tubuh badan, hadir dalam keadaan berwuduk, mengambil tempat dalam saf yang telah dijarakkan serta meninggalkan masjid dalam keadaan teratur dan tidak melakukan kontak fizikal serta perkumpulan atau perhimpunan selepas menunaikan solat.
Pelaksanaan Solat Jumaat ini dipantau rapi oleh pegawai daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Khutbah telah disampaikan oleh Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin manakala imam yang bertugas ialah Imam Khairi bin Mat Desa. Ustaz Jaafri bin Yusuf pula bertindak selaku Bilal.
Pelaksanaan Solat Jumaat ini telah diselaraskan oleh Pusat Islam Masjid KUIPSAS yang diketuai oleh Ustaz Mohd Shupian bin Majid serta dibantu seramai 36 orang urusetia yang bertugas secara sukarela bagi memastikan kelancaran dan kepatuhan kepada SOP sepenuhnya.

Kerajaan Negeri Pahang

Jabatan Agama Islam Pahang
Kementerian Pengajian Tinggi
Majlis Keselamatan Negara
Majlis Keselamatan Negara Negeri Pahang

Rakyat Malaysia Cenderung Menabung Dalam Tempoh PKP

13 Mei 2020 (KUANTAN) – 83% rakyat Malaysia mempunyai niat untuk menabung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bermula 18 Mac 2020 lalu. Demikian salah satu hasil kajian bertajuk “Kajian Terhadap Kecenderungan Rakyat Malaysia Untuk Menabung Sepanjang Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan” yang diumumkan hari ini di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS).
Kajian ini merupakan kajian ketiga yang dilaksanakan oleh KUIPSAS dan dikendalikan oleh pensyarah-pensyarah Fakulti Pengajian Pengurusan (FPP) serta Bahagian Penyelidikan dan Inovasi KUIPSAS.
Kajian ini juga menunjukkan bahawa kaum wanita mempunyai niat untuk menabung yang lebih tinggi berbanding lelaki. Di samping itu, faktor umur yang semakin meningkat turut mempengaruhi niat rakyat Malaysia untuk meningkatkan tabungan mereka. Selain itu, pasangan yang telah berkahwin turut menunjukkan niat untuk menabung dalam tempoh PKP yang lebih tinggi berbanding mereka yang bujang.
Menurut Ketua Pasukan Penyelidik, YBrs. Dr. Muhammad Hafiz bin Yaakub, kajian ini menggunakan Theory of Planned Behavior sebagai asas untuk menentukan niat (intention) seseorang untuk membuat tabungan. Teori ini dikembangkan lagi dengan memasukkan pembolehubah kadar celik kewangan sebagai satu faktor yang mempengaruhi niat untuk menabung. Menarik tentang dapatan kajian ini ialah kadar kecelikan kewangan seseorang tidak mempengaruhi niatnya untuk menabung dalam tempoh PKP.
Data kajian yang diperolehi dari responden seluruh pelusuk Malaysia ini turut merumuskan bahawa kakitangan sektor badan berkanun/ GLC lebih berkecenderungan untuk menabung berbanding sektor lain. Di samping itu, penduduk negeri Perak mempunyai niat untuk menabung tertinggi, iaitu 88.2%, diikuti dengan Sabah (86.6%) dan Sarawak (86.2%), manakala peratusan rakyat Pahang yang mempunyai niat untuk menabung ialah 82.4%.
Selain YBrs. Dr. Muhammad Hafiz yang bertindak sebagai Ketua Pasukan Penyelidik, kajian ini turut dilaksanakan oleh YBrs. Dr. Muhamad Zulfakhairi bin Mokthar, Puan Maslina binti Mohamed, Puan Nurul Khair binti Ishak dan Puan Nor Azah binti Abdul Jalil.
Kerajaan Negeri Pahang
Kementerian Pengajian Tinggi
Fakulti Pengajian Pengurusan KUIPSAS

Kefahaman Agama Faktor Utama Pematuhan PKP

13 Mei 2020 (KUANTAN) – Kefahaman kepada agama menjadi faktor terpenting yang menyumbang kepada pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam kalangan penganut agama Islam di Malaysia. Demikian hasil kajian yang dibentangkan oleh sekumpulan penyelidik daripada Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, Jabatan Psikologi dan Kaunseling dan Fakulti Pengajian Pengurusan, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS).
Kajian yang bertajuk “Faktor-Faktor Psiko-Sosial Yang Mempengaruhi Penduduk Islam Malaysia Untuk Mematuhi Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)” ini merupakan kajian kedua KUIPSAS yang telah dihasilkan sepanjang PKP dilaksanakan pada 18 Mac 2020 yang lalu.

Objektif kajian ini diadakan adalah untuk mengenalpasti faktor-faktor yang menyumbang kepada kepatuhan terhadap arahan PKP di Malaysia. 4 faktor psiko-sosial yang terlibat dalam kajian ini ialah kefahaman agama, sikap, pengaruh individu sekeliling dan kawalan tingkahlaku. Seramai 342 responden telah bersetuju menyertai kajian ini. Data kajian didapati melalui persampelan bukan kebarangkalian dengan menggunakan instrumen yang diadaptasi daripada kajian Farhana (2014). Kajian ini merupakan antara kajian terawal bagi mengenalpasti faktor-faktor yang menyumbang kepada kepatuhan terhadap arahan PKP di Malaysia dan dijangka dapat memberikan gambaran awal tentang hubungan sebab-akibat di antara faktor yang dikaji dengan kepatuhan terhadap PKP.

Selain kefahaman kepada ajaran agama menjadi faktor terpenting yang menyumbang kepada pematuhan PKP, kajian ini juga telah merumuskan bahawa pengaruh individu sekeliling menjadi faktor kedua terpenting yang menjadikan penduduk Malaysia beragama Islam patuh kepada arahan PKP. Seterusnya, sikap menjadi faktor ketiga terpenting serta kajian ini juga mencatatkan bahawa tahap kefahaman agama dalam kalangan rakyat Malaysia beragama Islam mencapai 98.4%
Kajian ini dilaksanakan oleh pasukan penyelidik KUIPSAS yang diketuai oleh Dr. Sharafuddin Aisa bin Hj Osman, Dr. Fahmi Zaidi bin Abdul Razak, Dr. Ahmad Effat bin Mokhtar, Dr. Asmadi bin Abdul Rahman, Dr. Muhammad Hafiz Yaakub, En. Mohd Yusrizal bin Mohd Yunus dan Norillah Abdullah Hassim.

Kumpulan Terbesar Pelajar Dihantar Pulang

12 Mei 2020 (KUANTAN) – Misi ke-8 Penghantaran Pulang Pelajar dari asrama ke kampung halaman menyaksikan jumlah terbesar pelajar terlibat iaitu seramai 43 orang. Semua pelajar ini akan pulang ke negeri Sabah. Misi ke-8 ini dilaksanakan dengan penyelarasan bersama Universiti Malaysia Pahang (UMP) sebelum mereka dihantar terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menaiki pesawat ke Kota Kinabalu.
Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin bersama Pegawai Pengurusan Kanan turut hadir dalam sesi pemeriksaan dan taklimat akhir yang diadakan di Dewan Barakah KUIPSAS.
Terdahulu sebelum ini, Misi ke-7 melibatkan seorang pelajar yang dihantar pulang ke Kota Bharu, Kelantan. Sebaik sahaja sampai di Kota Bharu, pelajar telah diserahkan kepada ahli keluarga yang disahkan oleh Pegawai Polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Misi Penghantaran Pulang Pelajar Bermula

5 Mei 2020 (KUANTAN) – Misi Penghantaran Pulang Pelajar KUIPSAS selesai dilaksanakan sebanyak dua trip yang melibatkan 15 orang pelajar. Trip pertama disertai 4 orang pelajar manakala trip kedua diteruskan pada malam ini melibatkan 11 orang lagi pelajar. Kesemua mereka adalah pelajar berasal dari negeri Sabah. Misi ini akan menghantar pelajar-pelajar berkenaan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum mereka menaiki pesawat ke Kota Kinabalu.
Misi kedua yang bermula jam 10.30 malam ini turut dihadiri oleh Rektor KUIPSAS, Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin. Beliau telah menyampaikan pesanan berharga kepada pelajar-pelajar serta membacakan doa menaiki kenderaan. Turut hadir ialah Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), YBrs. Dr. Asmadi bin Abdul Rahman. Misi ini diselaraskan oleh 4 orang kakitangan KUIPSAS dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) serta Unit Pemandu Jabatan Pentadbiran Am.
Bagi memastikan misi ini berjalan mengikut Prosedur Standard Operasi (SOP) yang ditetapkan, pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah hadir dan memberikan kelulusan pergerakan serta anggota Bomba dan Penyelamat melakukan disinfeksi kepada beg dan barang-barang yang dibawa oleh pelajar.
Polis Kuantan, Bomba & Penyelamat Negeri Pahang, Kerajaan Negeri Pahang, Kementerian Pengajian Tinggi

KUIPSAS Terima Sumbangan Kerajaan Negeri

29 APRIL 2020 (KUANTAN) – Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr Hj Mohd Zawavi bin Zainal Abidin hari ini menerima sumbangan daripada Kerajaan Negeri Pahang sebanyak RM20,000 yang disampaikan oleh YAB. Dato’ Sri Hj. Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang.

Sumbangan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri ini bertujuan untuk membantu pelajar-pelajar KUIPSAS anak Negeri Pahang yang tinggal di rumah-rumah sewa di sekitar KUIPSAS semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan pada hari ini.

 

en_GBEnglish