Anugerah Iktiraf Kakitangan Cemerlang, Dorong Kejayaan Organisasi

25 September 2020 (KUANTAN) – Sesebuah organisasi tidak akan mencapai kejayaan tanpa usaha sama di antara pemimpin dengan pekerja-pekerjanya. Justeru, organisasi perlu menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh kakitangannya dalam mencapai objektif yang telah ditetapkan oleh organisasi.

Demikian menurut YB. Dato’ Sri Dr. Sallehuddin bin Ishak, Setiausaha Kerajaan Pahang merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah, Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd. (SPIPSB) ketika menyampaikan ucaptama sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KUIPSAS Tahun 2019 yang diadakan di Auditorium KUIPSAS hari ini.

Majlis yang bermula jam 3.00 petang itu turut dihadiri oleh Dato’ Indera Nazri bin Abu Bakar, Pegawai Kewangan Negeri Pahang merangkap Ahli Lembaga Pengarah SPIPSB, YH. Dato’ Haji Tarif Bin Abdul Rahman, Ahli Lembaga Pengarah SPIPB, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Muhamad bin Muda, Pengerusi Lembaga Pengelola, Ahli-Ahli Lembaga Pengelola, semua Anggota Kerja KUIPSAS dan kakitangan Anak Syarikat Sistem Pendidikan Islam Pahang Sendirian Berhad iaitu Akademi Naluri Sendirian Berhad.

Sebanyak tiga (3) kategori anugerah yang disediakan iaitu Anugerah Khas Rektor, Anugerah Kesetiaan KUIPSAS dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).

Anugerah Khas Rektor disediakan bagi mengiktiraf AKK yang berjaya membawa masuk pelajar baharu seramai enam (6) orang dan ke atas pada tahun 2019. Seramai 15 orang AKK menerima anugerah ini beserta Sijil Penghargaan dan cenderahati.

Anugerah Kesetiaan KUIPSAS pula diberikan sebagai tanda penghargaan kepada AKK yang telah berkhidmat selama 20 tahun di KUIPSAS. Anugerah ini diterima oleh tujuh (7) orang AKK beserta Sijil Penghargaan dan cenderahati.

Seterusnya, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2019 KUIPSAS diberikan kepada seramai 16 orang AKK yang mencapai prestasi cemerlang sepanjang tahun 2019 lalu dan menerima Sijil Penghargaan, cenderahati dan wang tunai RM1,000.00. Turut menerima APC 2019 adalah dua (2) orang kakitangan daripada Anak Syarikat Sistem Pendidikan Islam Pahang Sendirian Berhad iaitu Akademi Naluri Sendirian Berhad. Mereka menerima Sijil Penghargaan, cenderahati dan wang tunai RM500.00.

Dalam masjlis ini juga, YB. Dato’ Sri Dr. Sallehuddin turut merasmikan Pelancaran Logo Sambutan Jubli Perak 25 Tahun KUIPSAS sebagi tanda bermulanya penganjuran acara-acara sepanjang tahun bagi menyambut Jubli Perak 25 Tahun KUIPSAS.

Tahniah diucapkan kepada semua penerima anugerah.

Kerajaan Negeri Pahang

#apc2019 #cemerlang #anugerah #kuipsas #kuipsas25tahun #jubliperakkuipsas #kuipsasdihatimu #kuipsasbumibarakah #MajuTerusPahang #Pahang1st

 

Pensyarah Daftar Hak Cipta Harta Intelek

25 September 2020 (KUANTAN) – Pensyarah-pensyarah Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak Secara Islamik hari ini berjaya mendaftarkan Hak Cipta Terpelihara kepada 7 hasil karya mereka yang merupakan Alat-Alat Bantuan Mengajar (ABM) kepada kanak-kanak. Tujuh ABM tersebut ialah Busy Book 0-2 Tahun, Busy Book 2-3 Tahun, Busy Book 3-4 Tahun, Katak Teristimewa, Si Comel Yang Baik Hati, Panduan Seni & Kraf dan Mari Berkebun.

Pendaftaran diselaraskan bersama Unit Inovasi dan Modal Insan, Bahagian Penyelidikan dan Inovasi (BPI) KUIPSAS di pejabat Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Kuantan. Kejayaan pendaftaran ini akan memberi impak yang sangat besar kepada kualiti dan skor KUIPSAS dalam penilaian Malaysia Research Assessment (MyRA).

Terdahulu sebelum itu, BPI KUIPSAS dan pensyarah-pensyarah berkenaan telah menghadiri Sesi Taklimat Pendaftaran Hak Cipta Terpelihara Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Taklimat disampaikan oleh Puan Nur Saidatun Sheila binti Talib, Ketua Pejabat Cawangan MYIPO Kuantan.

 

Pensyarah Bakal Tulis Buku Dakwah

22 September 2020 (KUANTAN) – Jabatan Dakwah, Fakulti Pengajian Islam (FPI) KUIPSAS hari ini menganjurkan Bengkel Penulisan Buku bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 5.00 petang di Perpustakaan KUIPSAS. Bengkel disertai oleh semua pensyarah jabatan.

Dalam Ucapan Aluan Timbalan Rektor Penyelidikan dan Inovasi KUIPSAS, YBrs. Dr. Ahmad Effat bin Mokhtar, beliau menggalakkan dan memberi sokongan penuh terhadap usaha jabatan untuk menghasilkan buku-buku berbentuk akademik.

Bengkel diadakan bertujuan untuk menjadi langkah pertama ke arah mewujudkan Pusat Kajian Dakwah di bawah Jabatan Dakwah KUIPSAS.

Bengkel dikendalikan oleh Puan Juwairiah binti Hassan, pensyarah jabatan ini yang mempunyai pengalaman luas dalam penulisan dan penerbitan buku. Dalam slot pertama bengkel, penceramah telah menekankan Asas Penerbitan Buku dan Asas Penulisan Buku.

Slot ini juga ditambah dengan perkongsian daripada YH. Dato’ Dr. Hj. Ahmad Munawar bin Hj. Jalil yang telah banyak menerbitkan buku akademik sepanjang beliau berkhidmat di KUIPSAS.

 

Slot kedua bengkel ini adalah perbincangan di dalam kumpulan. Pensyarah dipecahkan mengikut kepakaran masing-masing dan membina cadangan tajuk dan isi kandungan buku yang bakal ditulis dan dibentangkan dapatan tersebut untuk dinilai.

Hasil daripada perbincangan tersebut terdapat lima buah buku yang bakal ditulis oleh para pensyarah. Antara tajuk-tajuk buku yang telah dipersetujui adalah Dakwah Masyarakat Orang Asli di Pahang, Psikologi Dakwah Menurut Al-Quran dan Hadith, Pengantar Media Dakwah, Asuhan dan Didikan Kanak-kanak dan Pengenalan Kaunseling Dalam Islam.

Ketua Jabatan Dakwah, Pn. Norfadelah bt. Nordin dalam Ucapan Penutupnya meletakkan harapan agar buku-buku yang telah dicadangkan dapat disiapkan dan diterbitkan pada waktu yang terdekat.

Jabatan Dakwah Kuipsas

#bengkel #tulisbuku #terbitbuku #buku #dakwah #kuipsas #kuipsasbumibarakah #kuipsasjubliperak #kuipsas25tahun

 

KUIPSAS Sertai Program Tingkat Kefahaman Penyelidikan

20 September 2020 (PASIR MAS ) – KUIPSAS hari ini menyertai program kemasyarakatan yang telah dianjurkan secara bersama dengan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan Besut, IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan Kuala Lipis, Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Program yang diadakan di Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Asriah, Pasir Mas kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) ini bertujuan untuk memberi kefahaman kepada para guru akan kepentingan penyelidikan sebagai satu kaedah Pembelajaran Abad ke-21. Program disusuli dengan Sesi Perkongsian Ilmu yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Fahmi Zaidi bin Abdul Razak, Ketua Unit Pembangunan Penyelidikan & Ilmu, Bahagian Penyelidikan dan Inovasi KUIPSAS mengenai asas penyelidikan.

Seterusnya, sesi motivasi pembelajaran turut diadakan bersama pelajar-pelajar maahad ini yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Muhammad Hafiz bin Yaakub, Timbalan Rektor Akademik dan Pengantarabangsaan. Pendekatan motivasi ini lebih berkisar kepada keperluan pelajar untuk memiliki daya saing dan inovasi dalam menghadapi persekitaran kerja yang tidak menentu pada masa kini dan hadapan.

Maahad Tahfiz al-Quran al-Asriah

#khidmatmasyarakat #maahadtahfiz #yik #pasirmas #kelantan #thisispantaitimur #kuipsas #welovekuipsas #kuipsasbumibarakah

 

Audit Dalam MYRA Nilai Aktiviti Penyelidikan

AUDIT DALAM MYRA NILAI AKTIVITI PENYELIDIKAN

15 September 2020 (KUANTAN) – Bahagian Penyelidikan dan Inovasi (BPI) KUIPSAS hari ini mengadakan Sesi Audit Dalam Malaysia Research Assessment (MyRA) 2020 bertempat di Dewan Senat KUIPSAS bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Audit Dalam MyRA adalah salah satu proses yang wajib dilakukan bagi menilai kesahihan maklumat berkenaan input dan output pembangunan penyelidikan dan pengkomersilan KUIPSAS yang disediakan oleh Bahagian Penyelidikan dan Inovasi.

Audit Dalam MyRA 2020 bagi membuat Penilaian 2019 dikendalikan oleh Auditor Dalam yang terdiri oleh Puan Nurul Khair binti Ishak, Puan Shuhada binti Mustafa Hilmi dan Puan Norfadelah binti Nordin.

 

Mufti Pahang Sampaikan Bicara Fajar

11 September 2020 (KUANTAN) – Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, YH. Dato’ Sri Dr. Hj. Abdul Rahman bin Osman hari ini menyampaikan pengisian dalam program Bicara Fajar yang diadakan di Masjid KUIPSAS. Program yang diadakan selepas Solat Fardhu Subuh itu dihadiri oleh semua pelajar KUIPSAS dan masyarakat setempat.

Dalam program Bicara Fajar tersebut, Sahibus Samahah Mufti menghuraikan kepentingan berzikir sebagai amalan harian setiap umat Islam dengan merujuk kepada buku “Zikrullah, Kepentingannya Dalam Pembersihan Jiwa Mukmin” terbitan Jabatan Mufti Negeri Pahang.

Dalam program tersebut, Sahibus Samahah Mufti turut melancarkan Kempen Solat Fardhu Isyak dan Subuh Secara Berjemaah bagi menggalakkan pelajar-pelajar baharu KUIPSAS sentiasa hadir ke masjid untuk menunaikan ibadah solat di KUIPSAS.

 

Moh Riadah Galak Gaya Hidup Sihat

10 September 2020 (KUANTAN) – KUIPSAS hari ini melancarkan Program Moh Riadah @ KUIPSAS yang dirasmikan oleh PM. Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, Rektor KUIPSAS. Pelancaran yang diadakan di Porch Utama KUIPSAS dihadiri oleh semua Anggota Kerja KUIPSAS.

Program Moh Riadah @ KUIPSAS bertujuan untuk menggalakkan semua AKK supaya mengamalkan gaya hidup sihat dengan memanfaatkan kemudahan yang disediakan di KUIPSAS. Dalam program ini juga, Rektor KUIPSAS merasmikan Trek KUIPSAS sepanjang 1.4 KM yang mengelilingi seluruh kawasan di dalam kampus KUIPSAS.

 

Taklimat Instrumen MYRA Tingkat Kefahaman

10 September 2020 (KUANTAN) – Bahagian Penyelidikan dan Inovasi (BPI) KUIPSAS hari ini mengadakan Taklimat Instrumen Malaysia Research Assessment (MyRA) pada jam 2.30 petang di Dewan Senat KUIPSAS.

Taklimat disampaikan oleh YBrs. Prof. Dr. Shahir Shamsir bin Omar, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi UTHM. Beliau adalah salah seorang Panel Task Force MyRA & Task Force HiCOE Kementerian Pengajian Tinggi.

Taklimat Instrumen MyRA adalah satu taklimat terperinci berkenaan setiap seksyen MyRA yang harus difahami oleh setiap ahli BPI dan ahli pengurusan tertinggi KUIPSAS. Selain itu, objektif taklimat ini juga adalah untuk mengetahui bagaimana cara untuk mendapat markah yang mudah bagi IPT-IPT yang baru terlibat dengan penilaian MyRA.

 

Kunjungan Hormat SMK Gudang Rasau

08 September 2020 (KUANTAN) – Rektor Kuipsas, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin hari ini menerima kunjungan hormat daripada En. Mohamed Nazim bin Ismail, Pengetua Sek. Men. Keb. Gudang Rasau (SEGRA). Kunjungan bermula jam 11.00 pagi itu berlangsung selama satu jam dan turut dihadiri oleh En. Chek Zainon bin Shafie, Penolong Kanan Pentadbiran dan En. Mohammad Nasri bin Mustafa Hilmi, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM).

Kunjungan hormat diadakan oleh En. Mohamed Nazim selepas beliau dilantik sebagai Pengetua SEGRA pada Februari lalu bagi mengeratkan hubungan di antara kedua-dua pihak yang terletak secara berdekatan dari segi jarak. Rektor KUIPSAS dan Pengetua SEGRA bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dalam apa jua bentuk yang akan memberikan manafaat kepada pelajar-pelajar sekolah berkenaan serta mahasiswa KUIPSAS.

 

Kolaborasi Strategik Fakulti Undang-Undang UKM dan Jabatan Syariah KUIPSAS

7 September 2020 (KUANTAN) – Jabatan Syariah KUIPSAS menerima kunjungan delegasi dari Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi membincangkan kolaborasi strategik di antara kedua-dua pihak. Jabatan Syariah KUIPSAS merupakan IPTS pertama daripada 8 IPTA & IPTS yang dilawati dalam rangka kerja Kolaborasi Strategik FUU UKM.

Delegasi FUU UKM terdiri daripada YBrs. Prof. Madya Dr. Shahrul Mizan bin Ismail, Timbalan Dekan (Networking & Income Generation) dan YBrs. Dr. Mohamad Azhan bin Yahya manakala KUIPSAS dihadiri oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, Rektor KUIPSAS, Timbalan Rektor Akademik & Pengantarabangsaan, YBrs. Dr. Muhammad Hafiz bin Dato’ Yaakub, Timbalan Rektor Penyelidikan & Inovasi, YBrs. Dr. Ahmad Effat bin Mokhtar, Dekan Fakulti Pengajian Islam, YBrs. Dr. Muhammad Fadlly bin Ismail, Ketua Jabatan Syariah Encik Mohd Saiffuddin bin Abdul Karim dan pensyarah-pensyarah Jabatan Syariah.

Hasil pertemuan ini telah berjaya menemui persepakatan dalam lima (5) perkara iaitu:

1. Peluang Perkembangan Pendidikan;
2. Perkongsian Kepakaran;
3. MOA Penyelidikan;
4. Penglibatan dalam Self Council E-Learning for Law; dan
5. Khidmat Guaman.

Fakulti Undang-Undang Ukm

 

en_GBEnglish