Semarak Jawi Daerah Maran

22 Oktober 2020 (MARAN) – Institut Jawi KUIPSAS telah dijemput untuk memberikan pengisian dalam program Semarak Jawi Peringkat Daerah Maran yang dianjurkan oleh Perpustakaan Awam Maran dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Maran pada hari ini.

Program yang diadakan di Auditorium al-Ghazali PAID Maran telah dikendalikan oleh dua orang pensyarah KUIPSAS iaitu Pn. Nurizan binti Baharum dan Pn. Seriayuna binti Sa’don Zubir yang juga merupakan Munsyi Jawi Pahang.

Semarak Jawi Daerah Maran ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai Tulisan Jawi yang diperbaharui di samping menjadi usaha untuk mengekalkan dan memperkasakan tradisi serta budaya yang membentuk negara Malaysia ini.

Pihak Perpustakaan Awam Maran turut mengadakan Kuiz Jawi kepada peserta yang hadir. Program mendapat sambutan yang amat baik dalam kalangan peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah, guru-guru, wakil agensi dan masyarakat setempat.

 

Siswa Dan Siswi KUIPSAS Muncul Johan Daie Junior Hijrah Challenge

22 Oktober 2020 (MARAN) – Sdr. Muhammad Muqri Zafran bin Mat Khusniza, siswa Semester 3 Diploma Pengajian Islam Pengkhususan Dakwah dan Pengurusan dan Sdri. Sueidah Usaimah binti Mohd Sofian, siswi Semester 3 Diploma Pengajian Islam Pengkhususan Bahasa Arab dan Tamadun Islam hari ini mencuri tumpuan selepas diumumkan sebagai Johan Pertandingan Daie Junior Hijrah Challenge anjuran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Pertandingan ini diadakan bermula 1 Muharam sehingga 25 Muharram 1442H dan memerlukan peserta menyampaikan tazkirah atau persembahan bertemakan Hijrah dalam bentuk video berdurasi 4 – 5 minit. Sebanyak 40 peserta atau pendakwah muda telah menghantar penyertaan yang terdiri daripada pelajar-pelajar KUIPSAS, UIAM Kuantan, Kulliah Al-Lughah Waddin Pekan, Sekolah-Sekolah Menengah Agama Negeri dan Maahad Tahfiz di seluruh negeri Pahang.

Dalam Majlis Penyampaian Hadiah Daie Junior Hijrah Challenge 1442H / 2020M yang diadakan di Auditorium Al-Ghazali, Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Maran hari ini, Sdr. Muhammad Muqri Zafran diumumkan sebagai Johan Kategori Lelaki melalui video yang bertajuk “Relevan Lagikah Hijrah : Hijrah Kontemporari” manakala Sdri. Sueidah Usaimah pula dinobatkan sebagai Johan Kategori Perempuan menerusi video bertajuk “Berani Untuk Berhijrah”.

Lebih menarik, siswa dan siswi KUIPSAS juga memenangi tempat ketiga pertandingan ini apabila Sdr. Muhammad Irfan bin Badrulzaman (Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran Sunnah, Sem 3) dan Sdr. Muhd Aiman bin Ahmad Hamidon (Ijazah Sarjana Muda Multimedia Pengiklanan Digital, Sem 3) diumumkan sebagai pemenang melalui video bertajuk “Mengambil Ibrah Sifat Kaum Muhajirin dan Ansar”. Bagi Kategori Perempuan pula, Sdri. Nur Farisya binti Ramli (Diploma Pengajian Islam Pengkhususan Dakwah dan Pengurusan Sem 1) dipilih pemenang tempat ketiga menerusi video bertajuk “Hijrah Perlu Diagungkan Bukan Diperlekehkan”.

Hadiah-hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIP, Al-Fadhil Haji Mohd Fadhli bin Mat Saman. Turut hadir ialah Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) KUIPSAS, YBrs. Dr. Asmadi bin Abdul Rahman, Al-Fadhil Qadhi Daerah Maran, Ustaz Nik Ibrahim bin Nik Abdullah serta Ustazah Dayang Sakini binti Mohd Kadri selaku Pensyarah Pengiring.

Sdr. Muhammad Muqri Zafran turut diberikan ruang menyampaikan persembahan tazkirah bertemakan Maulidur Rasul dalam majlis tersebut.

 

 

Pelajar Multimedia Pamer Produk Dan Hasil Seni

15 Oktober 2020 (KUANTAN) – Jabatan Multimedia Kreatif dan Pengkomputeran, Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) KUIPSAS mengadakan FINAL EXHIBITION & ASSESSMENT BACHELOR IN MULTIMEDIA (DIGITAL ADVERTISING) SEMESTER 1 2020/2021 yang bertujuan untuk menilai hasil kerja akhir pelajar di samping mempamerkan produk serta hasil seni mereka.
Program yang diadakan bermula jam 8.30 pagi dan bertempat di Dewan Utama KUIPSAS itu telah dirasmikan oleh Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin dan dihadiri oleh pelajar-pelajar serta anggota kerja KUIPSAS.

Lawatan Rasmi YAM Tengku Panglima Raja ke KUIPSAS

 

KUIPSAS Dan PAHANG Berdoa

14 Oktober 2020 (KUANTAN) – Warga KUIPSAS hari ini hadir ke Majlis KUIPSAS Berdoa sebagai tanda kebersamaan dengan Kerajaan Negeri Pahang yang menganjurkan program Pahang Berdoa 2020. Majlis yang diadakan di Masjid KUIPSAS ini bermula selepas Solat Maghrib turut dihadiri oleh Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin.

Majlis diadakan bertujuan untuk berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT supaya rakyat dan negeri Pahang khususnya serta negara Malaysia amnya akan sentiasa dipelihara, dikurniakan kesejahteraan dan keselamatan daripada ancaman penularan wabak pandemik Covid-19 yang meningkat semula dalam gelombang ketiga pada masa kini.

Majlis lebih bermakna dengan kehadiran YB. Dato’ Sri Dr. Sallehuddin bin Ishak, Setiausaha Kerajaan Pahang merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd (SPIPSB). Beliau turut menyampaikan tazkirah mengenai peranan Muslim dalam menghadapi musibah yang ditentukan Allah SWT menurut perspektif Al-Quran dan Al-Sunnah.

Kerajaan Negeri Pahang

 

YaPEIM Prihatin Kebajikan Siswa KUIPSAS, Serah Bantuan Musaadah Khas Siswa

13 Oktober 2020 (KUANTAN) – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) prihatin dengan kebajikan mahasiswa/wi KUIPSAS yang sedikit sebanyak turut terkesan dengan penularan wabak Covid-19 pada masa kini. Siswa siswi KUIPSAS yang berada di dalam kampus pada ketika ini tidak dibenarkan untuk keluar dari kampus dan hanya dibenarkan menerima pelawat secara terkawal bagi mengekang risiko penularan wabak tersebut.

Bagi tujuan tersebut, YaPEIM hari ini menghulurkan sumbangan #MusaadahKhasSiswa sebagaimana yang diumumkan oleh YB. Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam akaun Facebook miliknya baru-baru ini. Sumbangan berjumlah RM10,800 berupa pek makan ‘Ready To Eat’ (RTE) diserahkan sendiri oleh Pn. Norkhalilah Hanim Bt Hamid, Pengurus YaPEIM Negeri Pahang kepada Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin.

Seluruh warga KUIPSAS mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan ini dan mendoakan YB. Datuk Dr. Zulkifli sentiasa berada dalam limpah dan rahmat Ilahi, dimudahkan urusan dalam rawatan, dikurniakan kesembuhan dan kesihatan.

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
YaPEIM (Official)
Kerajaan Negeri Pahang

 

Lawatan Dan Perbincangan dengan Jabatan Pengajian Tinggi, Bahagian Governan IPTS

09 Oktober 2020 | Rektor KUIPSAS ketuai delegasi Pegawai Kanan KUIPSAS untuk mengadakan perbincangan bersama Bahagian Governan IPTS, Jabatan Pengajian Tinggi dan turut mengadakan pertemuan bersama YBhg. Dato’ Prof. Dr. Muhammad Fauzi Bin Mohd Zain, Pengarah Bahagian Kecemerlangan Penyelidikan IPT, Jabatan Pendidikan Tinggi yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengelola KUIPSAS.

 

Kunjungan Hormat ke Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang

6 Oktober 2020 | Rektor KUIPSAS diiringi Pegawai Psikologi mengadakan Kunjungan Hormat ke Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang dan disambut oleh Pengarahnya, Tuan Zulkhairi bin Zainol Abidin dan warga JKMNP bagi membincangkan peluang-peluang kerjasama di antara kedua-dua organisasi.

 

 

 

 

Penyerahan Kenderaan Baharu Mampu Tingkat Produktiviti

5 Oktober 2020 (KUANTAN) – Penggunaan kenderaan baharu diharap dapat meningkatkan produktiviti kerja Anggota Kerja KUIPSAS selain dapat meningkatkan imej baik KUIPSAS dalam kalangan masyarakat. Di samping itu, AKK disaran agar sentiasa bersyukur dengan rezeki dalam bentuk kemudahan yang diterima pada hari ini dengan menggandakan kualiti kerja demi kebaikan KUIPSAS.

Demikian menurut Rektor Kuipsas, Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin dalam Majlis Penyerahan Kenderaan Rasmi Baharu KUIPSAS yang diadakan di Porch Utama pagi ini.

Sebanyak tiga (3) kenderaan rasmi diserahkan iaitu Proton Exora kepada Jabatan Perhubungan Korporat, Proton Waja kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dan Proton Persona kepada Jabatan Pentadbiran.

 

Perbincangan MoU Akademi Hadis KUIPSAS dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

28 September 2020 (Isnin) Dewan Senat, KUIPSAS

 

 

en_GBEnglish