UITM Seri Iskansar Perak, 12 Jun 2025 – Alhamdulillah dan tahniah!, Adam Harris Irwan bin Tumino, pelajar Asasi Sains Kemanusiaan UnIPSAS telah mengharumkan nama universiti dengan merangkul Pingat Emas dalam acara Memanah Individu Lelaki (Compound) di Kejohanan Sukan MASISWA 2025.
Adam Harris menunjukkan ketenangan dan ketepatan yang luar biasa sepanjang kejohanan, sekaligus membuktikan bahawa atlet muda dari UnIPSAS mampu bersaing di peringkat IPT.
Turut bertanding dalam acara Recurve Individu Lelaki ialah: Aniq Ashraaf bin Abdul Razak dan Amru Baihaqi bin Mustapha Faidzul. Meskipun perjalanan terhenti di pusingan pertama peringkat kalah mati, usaha dan semangat juang mereka amat dibanggakan.
Tahniah kepada semua atlet dan jurulatih yang telah memberi komitmen terbaik. Semoga kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuk lebih banyak pencapaian dalam kejohanan akan datang.
UnIPSAS Dilantik Penggerak Utama Penubuhan Universiti Al-Quran
KUANTAN, 12 JUN 2025 : Kerajaan Negeri Pahang telah melantik Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) sebagai penggerak utama dalam merealisasikan penubuhan sebuah universiti berteraskan Al-Quran di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, pemilihan ini berdasarkan institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri ini memiliki kapasiti dan kepakaran dalam bidang keilmuan Islam.
“Terlebih dahulu, kami ingin merakamkan penghargaan menjunjung kasih Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, atas cetusan idea penubuhan sebuah universiti berteraskan Al-Quran di Negeri Pahang.
“Idea ini telah dilontarkan secara rasmi semasa Majlis Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Kali ke-67 pada tahun 2024. Sesungguhnya, ini adalah cetusan ilham yang berpandangan jauh dan berpaksikan kepada kecintaan terhadap Al-Quran sebagai asas pembangunan ummah.
“Menjunjung titah Baginda, Kerajaan Negeri Pahang telah mengorak langkah dengan melantik Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) sebagai penggerak utama dalam merealisasikan hasrat murni ini. Pemilihan UnIPSAS sebagai institusi pelaksana adalah sangat bertepatan, memandangkan kedudukan universiti ini sebagai institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri yang mempunyai kapasiti dan kepakaran dalam bidang keilmuan Islam.
“Cadangan penubuhan Universiti Al-Quran ini bukan sekadar membuka lembaran baharu dalam dunia pendidikan tinggi Islam, bahkan ia menjadi manifestasi komitmen kerajaan negeri dalam memartabatkan Al-Quran sebagai asas pembangunan insan, sosial dan tamadun negeri. Ini sejajar dengan aspirasi YAB Menteri Besar Pahang yang sentiasa menekankan bahawa pentadbiran negeri harus berpaksikan nilai-nilai Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW,” katanya.
Menurut beliau, Universiti Al-Quran yang dicadangkan ini akan menawarkan pendekatan holistik, merangkumi aspek kurikulum, pembangunan pelajar, penyelidikan dan tadbir urus universiti.
“Objektifnya adalah untuk melahirkan graduan profesional Muslim yang menjadikan Al-Quran sebagai asas pemikiran, akhlak, dan amal.
“Kurikulum yang dirancang akan merangkumi pelbagai bidang, daripada qiraat, tafsir, kaunseling Islam, dakwah digital, sains sosial, teknologi maklumat hingga ke program-program peringkat Doktor Falsafah, semuanya berteraskan integrasi ilmu naqli dan aqli.
“Lebih istimewa, universiti ini dirancang untuk menjadi inklusif, membuka peluang kepada pelajar dari pelbagai latar belakang termasuk Orang Asli, mualaf, pelajar luar bandar, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan lepasan tahfiz, agar mereka turut dapat menikmati pendidikan tinggi berkualiti yang bersifat rahmatan lil’alamin,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Pahang juga amat berharap perancangan menubuhkan universiti ini dapat direalisasikan dan mendapat sokongan daripada seluruh masyarakat dalam melahirkan graduan berteraskan Al-Quran.
“Saya mewakili Kerajaan Negeri Pahang amat berharap agar perancangan penubuhan Universiti Al-Quran ini dapat direalisasikan dengan jayanya melalui sokongan padu daripada semua pihak, terutamanya daripada pihak UnIPSAS yang kini giat menggerakkan usaha ini di bawah pimpinan YH Prof. Dato’ Dr Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, barisan panel penilai serta semua pihak yang telah bersama menjayakan cita-cita murni ini.
“Kita menyeru agar seluruh masyarakat, pihak korporat, institusi pendidikan dan agensi kerajaan berganding bahu dalam menyokong pembangunan Universiti Al-Quran ini daripada segi sumber manusia, kewangan mahupun penyelidikan.
“Semoga usaha ini dapat melahirkan graduan berteraskan Al-Quran seterusnya menjayakan cita-cita Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur,” katanya selepas Perasmian Bengkel Jawatankuasa Khas Penilaian Cadangan Penubuhan Universiti Al-Quran Siri II di Hotel Swiss Garden, Genting Highlands. –
PAHANGMEDIA : Oleh : Ain Nadhirah Basha
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad pada Perasmian Bengkel Jawatankuasa Khas Penilaian Cadangan Penubuhan Universiti Al-Quran Siri II di Hotel Swiss Garden, Genting Highlands.
Studium General FDK UINAR Hadirkan Dosen Tamu dari UnIPSAS Malaysia
ACEH, 12 Mei 2025 – Telah dilaksanakan kegiatan Studium General yang diselenggarakan oleh Fakultas Dakwah dan Komunikasi (FDK) Universitas Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry Banda Aceh dengan mengangkat tema “Isu-Isu Dakwah Internasional”. Kegiatan ini berlangsung di Aula FDK dengan 2 orang pemateri dan dihadiri oleh segenap sivitas akademika FDK, serta tamu undangan.
Studium General ini dibuka oleh Wakil Dekan I FDK Dr. Mahmuddin, M.Si. “Kegiatan ini adalah aktifitas rutin yang perlu terus dilanjutkan” ungkap Mahmuddin. Berbagai isu dibahas dalam menyikapi perkembangan dakwah kawasan dan global, dengan segenap dinamika dan problematika yang menyertainya. Untuk itu, kampus perlu hadir dalam menjawab segenap masalah dan potensi masalah yang akan timbul.
Acara ini menghadirkan 2 orang narasumber utama yaitu pertama Ustazah Dr. Norfadelah Binti Nordin, Timbalan Dekan Fakulti Dakwah, Pendidikan dan Pembangunan Insan, UnIPSAS Malaysia. Beliau memberikan pandangan ilmiah dan praktis terkait dinamika dakwah internasional dalam konteks globalisasi serta tantangan dakwah kontemporer di berbagai belahan dunia. Materi yang beliau sampaikan memperkaya wawasan peserta dalam memahami peran dakwah sebagai solusi dalam berbagai konteks sosial dan budaya global. Dan pemateri kedua Dr. Sabirin, M.Si dengan tema Isu LGBT dan tantangan dakwah global. Beliau menyoroti perubahan prilaku manusia dan penggiringan opini publik yang cenderung meninggalkan budaya ketimuran, sebagai sebuah bahaya laten dalam perkembangan dakwah di masa yang akan datang.
Kegiatan ini juga melibatkan lima orang mahasiswa yang ditunjuk sebagai perwakilan dari berbagai Program Studi (Prodi) yang ada di lingkungan FDK UIN Ar-Raniry, yaitu Komunikasi dan Penyiaran Islam (KPI); Bimbingan dan Konseling Islam (BKI); Manajemen Dakwah (MD); Pengembangan Masyarakat Islam (PMI); dan Kesejahteraan Sosial (Kesos).
Selain itu, juga melibatkan Organisasi kemahasiswaan yang turut ambil bagian dalam menyukseskan kegiatan ini, termasuk Senat Mahasiswa (Sema) FDK, Dewan Eksekutif Mahasiswa (Dema) FDK, serta sejumlah perwakilan dari Himpunan Mahasiswa Program Studi yang hadir sebagai peserta aktif. Para peserta menunjukkan antusiasme tinggi dalam mengikuti paparan dan sesi tanya jawab yang berlangsung secara dinamis dan konstruktif.
Kegiatan ini berjalan dengan lancar dan memberi kontribusi positif dalam menambah wawasan serta memperkuat pemahaman mahasiswa terhadap isu-isu dakwah lintas negara. Materi yang disampaikan juga memberikan refleksi kritis terhadap peran mahasiswa dakwah dalam menjawab tantangan global yang semakin kompleks dan multidimensional.
UnIPSAS terima wakalah zakat, wakaf, sumbangan RM4.1 juta
KUANTAN, 20 Mac 2025 – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) menerima wakalah zakat, wakaf dan sumbangan berjumlah RM4.1 juta pada tahun ini, meningkat empat kali ganda berbanding RM1 juta pada tahun lalu.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Zulkifli Yaacob berkata, UnIPSAS sebagai sebuah institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri bertaraf universiti penuh semakin mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuk agensi-agensi kerajaan dan badan-badan korporat.
“Institusi-institusi pengajian tinggi merupakan pusat melahirkan para ilmuan yang akan menjadi tonggak kemajuan negeri dan negara pada masa depan. Mahasiswa dan mahasiswi yang menuntut di institusi-institusi pengajian tinggi seperti di UnIPSAS ini terdiri daripada mereka yang mempunyai pelbagai latar belakang termasuklah yang berasal daripada keluarga B40.
“Bantuan seperti dermasiswa dan zakat memainkan peranan yang begitu besar sebagai sistem sokongan dalam mendokong perjalanan seseorang penuntut ilmu menamatkan pengajian mereka dengan jayanya.
“Zakat yang disalurkan kepada pelajar yang layak terutama daripada kalangan B40 bukan sekadar membantu mereka melanjutkan pelajaran, tetapi juga membuka ruang kepada lahirnya generasi cendekiawan dan pemimpin negara.
“Wakaf dalam bentuk bangunan, perpustakaan, kemudahan atau peralatan pembelajaran pula akan terus memberikan manfaat yang berpanjangan kepada masyarakat,” katanya pada Majlis Khatam al-Quran, Penyerahan Wakalah Zakat dan Wakaf serta Iftar Perdana sempena Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat UnIPSAS di Masjid UnIPSAS, di sini semalam.
Zulkifli yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd. (SPIPSB) mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sumbangan zakat dan wakaf kepada UnIPSAS.
Kredit : Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN – KOSMO! ONLINE
Seminar “Accounting For Islamic Finance : Opportunities and Prospects” Tarik Perhatian Pelajar
Kuantan, 27 Februari 2025 – UnIPSAS dengan kerjasama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Bank Islam Malaysia Berhad telah menganjurkan seminar “Accounting For Islamic Finance: Opportunities and Prospects”. Seminar ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai peluang kerjaya dalam bidang Perakaunan dan kewangan Islam serta peranannya dalam sektor kewangan, perbankan, dan pengurusan zakat.
Seminar ini menampilkan barisan penceramah berpengalaman, antaranya Dr. Abdul Rahim Bin Abdul Rahman, Ahli Majlis Agama Islam Persekutuan merangkap Ahli Lembaga Pengarah Pusat Pungutan Zakat MAIWP, Prof. Dr. Romzie Bin Rosman, Timbalan Dekan Institut Perbankan dan Kewangan Islam UIAM, En. Khairuddin Bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Eksekutif (Pengurusan dan Dasar) MUIP, serta Hj. Rosdi Bin Ab Rahim, Pengarah Perhubungan Pelanggan Negeri Pahang, Bank Islam Malaysia Berhad. Seminar ini dikendalikan oleh moderator, En. Faizul Bin Abdul Hadi Nor, Bendahari UnIPSAS.
Turut hadir memeriahkan program ini ialah Dr. Ahmat Effat Bin Moktar, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UnIPSAS, Dr. Nurul Khair Binti Ishak, Dekan Fakulti Pengurusan dan Informatik, Ketua Jabatan Perakaunan dan Kewangan serta pensyarah-pensyarah.
Seminar ini turut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar UnIPSAS serta pelajar Tingkatan 6 dari sekolah-sekolah sekitar Kuantan yang berminat meneroka peluang kerjaya dalam bidang Perakaunan dan kewangan
Semoga seminar ini memberi manfaat kepada semua peserta dan membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk membina kerjaya dalam perakaunan dan kewangan.
Seminar Perundangan Syariah Kebangsaan Angkat Isu Keseimbangan Gender dan Pencegahan Keganasan Rumah Tangga
Kuantan, 27 Februari 2025 – Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Binti Saidan telah menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Perundangan Syariah Kebangsaan yang bertemakan “Keseimbangan Gender dan Pencegahan Keganasan Rumah Tangga” di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS), hari ini.
Seminar ini merupakan hasil kerjasama antara Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang, Kelab Klinik Guaman Syarie, serta Fakulti Syariah dan Undang-Undang UnIPSAS, yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai hak dan peranan wanita dalam sistem perundangan syariah serta langkah-langkah pencegahan keganasan rumah tangga.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Naib Canselor UnIPSAS, YH. Prof. Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi Bin Zainal Abidin, bersama para akademik, pelajar, dan wakil institusi berkaitan.
Semoga seminar ini dapat memberi manfaat dalam memperkukuhkan pemahaman masyarakat mengenai keadilan gender dalam Islam serta usaha pencegahan keganasan rumah tangga secara lebih menyeluruh.
Majlis Konvokesyen Asasi Sains Kemanusiaan
KUANTAN, 25 Februari 2024 – Seramai 90 graduan Asasi Sains Kemanusiaan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah telah diraikan dalam *Majlis Konvokesyen Asasi Sains Kemanusiaan 2025** yang berlangsung di *Dewan Sultan Ahmad Shah* hari ini. Bertemakan *Keharmonian Ilmu*, majlis ini menjadi simbol kejayaan para pelajar dalam menamatkan pengajian peringkat Asasi sebelum melangkah ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Majlis yang penuh gilang-gemilang itu, disempurnakan oleh YBrs Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Madya Dr Ahmad Effat Bin Mokhtar, turut dihadiri oleh ibu bapa dan ahli keluarga para graduan, yang menjadi saksi kepada detik bermakna dalam perjalanan akademik anak-anak mereka. Kehadiran mereka menambah kemeriahan serta memberi semangat kepada para pelajar untuk terus maju dalam bidang yang diceburi.
*”Keharmonian Ilmu”* yang menjadi tema Majlis Konvo Asasi melambangkan keseimbangan antara ilmu pengetahuan dan nilai murni yang perlu diterapkan dalam diri setiap individu.
Majlis ini turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada pelajar cemerlang yang telah menunjukkan prestasi akademik serta aktif sepanjang pengajian mereka. Para graduan kini bersedia untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, membawa bersama pengalaman dan ilmu yang telah mereka peroleh sepanjang tempoh Asasi.
Dengan semangat *Keharmonian Ilmu*, majlis konvokesyen ini bukan sahaja menjadi titik akhir bagi satu perjalanan, tetapi juga permulaan kepada pencapaian yang lebih besar dalam dunia pendidikan dan kerjaya.
Kunjungan Hormat UnIPSAS ke Education Malaysia, Memperkukuhkan Usaha Pengantarabangsaan
Putrajaya, 17 Februari 2025 – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) telah mengadakan kunjungan hormat ke Education Malaysia, bahagian pengantarabangsaan pendidikan tinggi, dalam usaha memperkukuhkan strategi pemasaran bagi menarik lebih ramai pelajar antarabangsa.
Delegasi UnIPSAS diketuai oleh Ybrs. Dr. Muhammad Hafiz Bin Dato’ Haji Yaakob, Pendaftar UnIPSAS, dan telah disambut oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi, Muhd Sharilfaizail Bin Abdul Hamid.
Turut hadir dalam sesi perbincangan ini ialah Ybrs. Prof. Madya Dr. Muhammad Fadlly Bin Ismail, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa; Pn. Nor Fateha Binti Abdul Halim, Pengarah Pusat Antarabangsa; serta pensyarah dan petugas UnIPSAS.
Perbincangan ini memberi tumpuan kepada peluang kerjasama strategik, inisiatif promosi global, serta langkah proaktif dalam meningkatkan daya saing UnIPSAS sebagai destinasi pilihan pelajar antarabangsa.
Kunjungan ini mencerminkan komitmen UnIPSAS dalam memperluaskan jaringan antarabangsa dan memastikan universiti terus relevan di peringkat global. Diharapkan usaha ini akan membuka lebih banyak ruang untuk kolaborasi dan kecemerlangan akademik pada masa hadapan.
UnIPSAS Menerima Lawatan Rakan Strategik KUIJSI untuk Berbincang Mengenai Aspek Governan Universiti
Kuantan, 10 Februari 2025 – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) baru-baru ini menerima lawatan rasmi daripada delegasi Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) dalam satu sesi perbincangan strategik mengenai aspek governan universiti. Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan antara kedua-dua institusi serta bertukar pandangan mengenai amalan terbaik dalam pengurusan dan pentadbiran universiti.
“Perjumpaan ini merupakan satu platform untuk berkongsi amalan baik ke arah pembangunan kualiti dan kelestarian kedua-dua institusi. Tambahan pula kedua-dua kita ialah IPT Islam di bawah kategori Institusi Pengajian Tinggi milikan kerajaan negeri, sudah tentu perbincangan ini akan membawa manfaat besar kepada rakyat negeri masing-masing dan negara secara keseluruhannya”, kata Dr. Muhammad Hafiz bin Yaakub, Pendaftar UnIPSAS.
Delegasi KUIJSI diketuai oleh Pendaftar merangkap Pemangku Rektor, Ustaz Muhammad Sanusi bin Md. Noh, bersama beberapa pegawai kanan universiti yang terlibat dalam bidang pengurusan akademik, kewangan, sumber manusia, dan hal ehwal pelajar. Mereka disambut mesra oleh serta barisan kepimpinan universiti.
Majlis Tausiyah Sempena Kunjungan Hormat Markaz Knowledge City Kerala India ke UnIPSAS
KUANTAN, 16 Januari 2024 – UnIPSAS telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Markaz Knowledge City, Kerala, India. Majlis Tausiyah yang disampaikan oleh Rektor Jami’ah Markaz Knowledge City, Dr. Abdul Hakeem Al-Azhari, bertajuk “Membina Generasi Al-Quran”, menjadi kemuncak kunjungan ini.
Ketibaan delegasi disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Ybrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Fadlly Bin Ismail, bersama pengurusan kanan UnIPSAS.
Dalam majlis ini, para siswa UnIPSAS berpeluang mendengar sesi perkongsian yang sangat bermakna, berkisar tentang peranan Al-Quran dalam membentuk generasi yang berakhlak dan cemerlang. Perkongsian daripada Dr. Abdul Hakeem Al-Azhari membuka ruang kepada para siswa untuk mengambil inspirasi dan manfaat yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian mereka.
Program ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan kerjasama antara UnIPSAS dan Markaz Knowledge City, tetapi juga menekankan kepentingan ilmu agama dalam membentuk masyarakat yang berintegriti.