Lawatan Yb Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ke UnIPSAS

KUANTAN, 23 Disember 2025 – Alhamdulillah, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Kuantan hari ini telah menerima lawatan daripada YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sempena Program Bantuan Pasca Bencana Skuad Ihsan MADANI di Kuantan.

Lawatan ke UnIPSAS ini merupakan kesinambungan program bantuan pasca bencana banjir yang bermula dengan Majlis Penyerahan Bantuan di KAFA Ubudiah Al-Jariah, Taman Guru, Kuantan pada sebelah pagi, di mana sebanyak RM118,000.00 dalam bentuk bantuan tunai dan pek foodbank telah disalurkan kepada 300 orang mangsa banjir.

Ketibaan YB Menteri telah disambut oleh Naib Canselor UnIPSAS, Prof. Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, bersama barisan pengurusan universiti. YB Menteri turut turun padang bagi melihat sendiri keadaan serta kesan banjir yang melanda kampus UnIPSAS, di samping menyampaikan sokongan dan keprihatinan kerajaan terhadap kesusahan yang dihadapi oleh warga UnIPSAS.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada YB Menteri serta Skuad Ihsan MADANI atas keprihatinan, sokongan dan komitmen yang diberikan dalam membantu usaha pemulihan pasca bencana banjir di Kuantan.

Semoga dengan sokongan semua pihak, UnIPSAS akan terus bangkit dan cemerlang.

Banjir Pahang, Baki 65 Pelajar UnIPSAS Masih Ditempatkan Di Masjid

KUANTAN, 18 Disember 2025 : Seramai 65 pelajar Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) masih ditempatkan di masjid universiti berkenaan setakat pagi ini.

Naib Canselor UnIPSAS, Profesor Dato’ Dr Hj Mohd Zawavi Zainal Abidin berkata, jumlah berkenaan telah berkurang berbanding semalam iaitu seramai 135 orang.

Katanya, seramai 70 pelajar telah diambil oleh ahli keluarga masing-masing dan baki iaitu 35 pelajar lelaki dan 30 pelajar perempuan masih di masjid yang dijadikan lokasi penempatan sementara mangsa banjir di universiti berkenaan.

“65 pelajar lagi ini kita uruskan makan minum mereka dan alhamdulillah ramai yang datang bantu dari segi kewangan dan barangan. Kita juga ada minta katering untuk sediakan makanan untuk mereka.

“Selain itu, kita juga telah meminta kakitangan kita secara bergilir untuk memantau dan mengurus pelajar yang masih ada ini,” katanya ketika dihubungi Pahang Media hari ini.

Tambahnya, jumlah pelajar yang terperangkap berkenaan berkemungkinan akan berkurangan berikutan ada antara mereka yang mungkin akan di bawa pulang keluarga hari ini.

“Hari ini, mungkin jumlah pelajar yang terperangkap ini akan berkurang kecuali pelajar yang tinggal berjauhan dari keluarga seperti di Perlis, Perak dan sebagainya. Kita juga ada menyediakan kemudahan kenderaan untuk ke terminal bas jika ada yang mahu pulang menaiki bas,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, pelajar yang terperangkap berkenaan merupakan pelajar baharu yang sedang menjalani sesi orientasi dan pembelajaran bersemuka.

“Kira-kira 2,000 pelajar yang mengikuti pengajian di universiti ini telah dibenarkan pulang lebih awal dan menjalankan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dalam tempoh Disember dan Januari ini sebagai persediaan awal kerana kita memang sudah set dalam takwim kita berdasarkan ramalan cuaca sebelum ini.

“Namun untuk pelajar baharu ini, kita mahu mereka diajar secara bersemuka dahulu sebelum dibenarkan PdPR tetapi banjir berlaku lebih awal dari jangkaan,” katanya lagi.

Beliau bagaimanapun menzahirkan rasa syukur berikutan segala urusan pelajar yang terperangkap berkenaan dipermudahkan dan berjalan dengan lancar selain kesemua mereka berada dalam keadaan selamat. – PAHANGMEDIA

KREDIT : Oleh : Norhafizan Zulkifli ( Pahang Media )

Pelajar UnIPSAS Terima Bantuan Segera Susulan Bencana Banjir

Kuantan, 17 Disember 2025 – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) telah dilanda bencana banjir bermula 16 Disember 2025 susulan hujan lebat berterusan yang melanda kawasan sekitar kampus.

Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana UnIPSAS yang diketuai oleh Tuan Pendaftar UnIPSAS, Tuan Haji Mohd Faizul bin Haji Abdul Hadi Nor, selaku Ketua Komandan Operasi, telah digerakkan serta-merta. Operasi ini dilaksanakan dengan kerjasama erat Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), pihak Keselamatan Universiti serta sokongan padu Anggota Kerja UnIPSAS (AKU) bagi memastikan kebajikan dan keselamatan para pelajar sentiasa terpelihara.

Sebagai langkah keselamatan awal, para pelajar telah ditempatkan di aras dua setiap blok asrama bagi mengelakkan sebarang risiko akibat kenaikan paras air. Selain itu, Masjid UnIPSAS yang merupakan kawasan tinggi dalam kampus turut dijadikan lokasi penempatan sementara pelajar sekiranya keadaan memerlukan. Dalam masa yang sama, pihak pengurusan universiti turut membenarkan ibu bapa dan penjaga mengambil pelajar pulang ke kediaman masing-masing mengikut ketetapan dan prosedur yang telah ditetapkan.

Selain aspek keselamatan, kebajikan pelajar turut diberi perhatian serius melalui penyediaan bantuan keperluan asas dan bekalan makanan, hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk Yayasan KOSMA, agensi-agensi bukan kerajaan (NGO) serta individu-individu prihatin yang tampil menghulurkan bantuan. Anggota Kerja UnIPSAS (AKU) juga turut hadir sebagai sukarelawan bagi membantu kelancaran operasi, pengagihan bantuan serta pemantauan kebajikan pelajar.

Setakat ini, Pengurusan Bencana UnIPSAS terus mempergiatkan usaha secara bersepadu bagi memastikan situasi kampus berada dalam keadaan terkawal, selamat dan kondusif, di samping memantau perkembangan semasa dari masa ke masa.

Seluruh warga UnIPSAS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat serta mendoakan agar bencana banjir ini segera surut, dan seluruh warga kampus sentiasa berada di bawah lindungan dan rahmat Allah SWT.

UnIPSAS Raih Pingat Emas APEC Pahang 1st 2025

KUANTAN, 9 Disember 2025 — Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) sekali lagi membuktikan kecemerlangannya apabila merangkul Pingat Emas bagi kategori Anugerah Pentadbiran Cemerlang (APEC) dalam Majlis Anugerah Pahang 1st 2025 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah malam tadi.

Anugerah disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, dan UnIPSAS diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, yang menerima pengiktirafan tersebut bersama hadiah wang tunai RM7,000.

Penganugerahan ini menegaskan komitmen UnIPSAS dalam melaksanakan tadbir urus berkualiti, budaya kerja berintegriti, serta kecemerlangan penyampaian perkhidmatan, selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Pahang.

Dato’ Naib Canselor Unipsas turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga UnIPSAS atas usaha kolektif yang menyumbang kepada kejayaan ini. Beliau mengajak semua untuk terus memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi dalam usaha menjadikan UnIPSAS sebuah Institut Pengajian Tinggi yang benar-benar berdaya saing.

Beliau turut menegaskan bahawa momentum kecemerlangan ini amat penting dalam mempersiapkan UnIPSAS menuju transformasi sebagai Universiti Al-Quran, selaras dengan hasrat dan aspirasi Kerajaan Negeri Pahang. #UnIPSAS

Kunjungan Hormat Profesor Dr. Sheikh Naji Bin Rashid Al-Arabi, Pensyarah Hadis Universiti Bahrain ke Pahang

KUANTAN, 4 Disember 2025 – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) menerima kunjungan rasmi oleh YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang.

Kunjungan ini turut disertai oleh Profesor Dr. Sheikh Naji Bin Rashid Al-Arabi, Pensyarah Hadis dari Universiti Bahrain, dalam pertemuan anjuran bersama Kerajaan Negeri Pahang dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Ketibaan tetamu disambut oleh Naib Canselor UnIPSAS, Prof. Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, yang turut menyampaikan ucapan alu-aluan serta menzahirkan komitmen universiti untuk terus memperkukuh jaringan akademik dan kerjasama antarabangsa.

Pertemuan ini bertujuan mengukuhkan kerjasama ilmiah, membincangkan usaha pembangunan masyarakat serta memperluas inisiatif penyelidikan dan pemerkasaan ilmu di UnIPSAS.

Majlis diteruskan dengan sesi ucapan, perbincangan, penyampaian cenderamata dan sesi bergambar bersama kepimpinan universiti.

Persidangan Global Conference on Da’wah, Education and Islamic Civilization in the Muslim World (GCDEIC 2025)

KUANTAN, 27 November 2025 – Persidangan Global Conference on Da’wah, Education and Islamic Civilization in the Muslim World (GCDEIC 2025) sedang belangsung secara dalam talian melalui platform Zoom, menghimpunkan para sarjana, ahli akademik dan penyelidik dari dalam dan luar negara bagi membincangkan isu dakwah, pendidikan serta ketamadunan Islam dalam konteks perkembangan kecerdasan buatan.

Majlis pembukaan telah disempurnakan oleh Prof. Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, Naib Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), yang menekankan kepentingan wacana ilmiah dan jaringan kerjasama antarabangsa dalam memperkukuh keilmuan Islam.

Persidangan ini turut menampilkan pembentangan utama oleh tokoh akademik terkemuka serantau. Prof. Datuk Dr. Fakhruddin bin Abdul Mukti dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei membentangkan topik The AI Revolution and the Future of Islamic Thought yang mengupas implikasi falsafah dan etika revolusi AI terhadap pemikiran Islam. Seterusnya, Prof. Dr. Kusmawati Hatta dari UIN Ar-Raniry, Banda Aceh membincangkan topik The Transformation of Islamic Da’wah in the Era of Artificial Intelligence, yang meneliti cabaran serta peluang dakwah dalam era digital. Pembentangan ketiga oleh Dr. Safiah binti Abdul Razak dari UnIPSAS pula mengulas topik Holistic Education in Islamic Thought, dengan memberi penekanan terhadap peranan pendidikan holistik dalam pembinaan ketamadunan Islam yang unggul.

Secara keseluruhannya, penganjuran GCDEIC 2025 telah memperkukuh wacana ilmiah berimpak tinggi serta memperteguh peranan institusi akademik Islam dalam mendepani perubahan global dan kemajuan teknologi semasa.

Pernah dua kali gagal, Siti Nur Khalidah tak sangka raih Anugerah Sultan Ahmad Shah

KUANTAN, 17 November 2025 – Kegagalan pada masa lalu menjadi dorongan kepada gadis berusia 23 tahun ini untuk berjaya sehingga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sultan Ahmad Shah pada Istiadat Konvokesyen Ke-22 Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini pada Isnin.

Siti Nur Khalidah Rosli mengakui terkejut apabila menerima pengiktirafan tertinggi itu memandangkan ramai rakan lain turut memiliki pencapaian cemerlang. “Saya memang tidak sangka terpilih untuk menerima anugerah ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas istiadat tersebut.

Istiadat konvokesyen itu disempurnakan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Nazri Abu Bakar.
Lebih 583 penuntut telah diraikan dalam istiadat konvensyen terbabit, yang turut dihadiri Naib Canselor UnIPSAS, Profesor Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal, para pensyarah dan ibu bapa.

Beliau yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris dengan Kepimpinan Pengajaran Kepujian memberitahu, perjalanan menjadi guru Bahasa Inggeris bukanlah mudah kerana pernah dua kali gagal temu duga untuk menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Jelasnya, pengalaman itu mendorong dirinya untuk menumpukan usaha sepenuhnya dalam akademik dan kepimpinan sepanjang pengajian di universiti.

“Dalam ucapan tadi, saya kata, saya di sini bukan sebab cemerlang, tetapi kerana pernah melalui kegagalan sebelum ini.

“Itu yang membuatkan saya lebih kuat untuk mencapai impian menjadi guru Bahasa Inggeris,” katanya yang kini menjalani praktikum di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tanjong, Batu Pahat.

Siti Nur Khalidah yang kini melanjutkan pengajian Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah di Open University Malaysia berkata, sepanjang pengajian di UnIPSAS dia mencatat rekod akademik cemerlang termasuk Anugerah Dekan bagi setiap semester dan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.92.

Anak kedua daripada tiga beradik itu turut memperoleh Purata Nilai Gred Semester (PNGS) 4.00 untuk empat semester berturut-turut.

Dalam bidang kepimpinan, beliau pernah dilantik sebagai Exco Insaniah Fakulti Pengajian Bahasa dan Asasi (FOLAFS) selama dua sesi berturut-turut dan merupakan ahli aktif Kelab Aspirasi Suara (VAC).

Beliau juga terlibat dalam pelbagai program termasuk English Week, Lawatan Akademik ke Amani Vanilla, Product Proposal & Cultural Exhibition, serta membantu menguruskan FOLAFSSA Day, pertandingan syarahan, program kebajikan dan teater universiti.

Kredit : Norawazni Yusof (Sinar Harian)

Ekspedisi Kepimpinan Global MPP UnIPSAS 2025 Perkukuh Jaringan Antarabangsa

KUANTAN, 12 November 2025 – Seramai 16 orang Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) berlepas ke Surabaya, Indonesia bagi menyertai Ekspedisi Kepimpinan Global MPP UnIPSAS 2025 yang berlangsung dari 12 hingga 18 November 2025 di Universitas Islam Negeri (UIN) Sunan Ampel.

Program ini dianjurkan bagi memperkasa potensi kepimpinan pelajar serta memperkukuh jaringan antarabangsa antara UnIPSAS dan UIN Sunan Ampel melalui penglibatan akademik dan aktiviti pertukaran budaya.

Turut mengiringi kumpulan peserta ialah En. Mohd Fikri bin Mohd Mokhtar dan Pn. Siti Najihah binti Mahd Zahari selaku pensyarah pengiring yang turut memainkan peranan penting dalam membimbing peserta sepanjang program.

Naib Canselor UnIPSAS, Prof. Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga terhadap penganjuran program seumpama ini yang disifatkan sebagai platform penting dalam membentuk kepimpinan pelajar berjiwa global dan berintegriti.

Ekspedisi ini menjadi bukti komitmen UnIPSAS dalam melahirkan mahasiswa berwawasan global serta memperkukuh hubungan strategik antara UnIPSAS dan UIN Sunan Ampel di pentas antarabangsa.

Jejak Budaya Islam Borneo-Indonesia Kukuhkan Hubungan UnIPSAS Dan UIN Jambi

Jambi, Indonesia – 12 hingga 16 Oktober 2025: Seramai 21 orang mahasiswa Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) bersama seorang pengiring telah menyertai Program Jejak Budaya Islam Borneo–Indonesia yang berlangsung di Universitas Islam Negeri (UIN) Sulthan Thaha Saifuddin Jambi, Indonesia.

Program ini merupakan hasil anjuran bersama Sekretariat Mahasiswa Borneo UnIPSAS dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia UIN Sulthan Thaha Saifuddin Jambi, dengan matlamat memperkukuh jalinan kerjasama dalam bidang penyelidikan, pembelajaran serta pemeliharaan budaya Islam Nusantara.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Dr. Ayub Mursalin, M.A, Vice Rector for Academic and Institutional Affairs, UIN Sulthan Thaha Saifuddin Jambi.

Turut sama hadir sepanjang program ialah pegawai pengiring dari UnIPSAS, YBhg. Encik Muhd Ilham Bin Ciding, yang turut memberikan sokongan dan bimbingan kepada para peserta sepanjang aktiviti berlangsung.

Sepanjang lima hari program, para peserta didedahkan kepada konsep Islam Nusantara yang berkembang di Indonesia serta kesannya terhadap masyarakat Islam di Sabah dan Borneo secara umum. Aktiviti berbentuk akademik, budaya dan khidmat komuniti turut diadakan bagi memperkukuh kefahaman serta jaringan ukhuwah antara kedua-dua institusi.

Menurut wakil Sekretariat Mahasiswa Borneo, program ini bukan sahaja membuka ruang kolaborasi antara dua universiti Islam serantau, malah memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan dan adaptasi budaya dalam suasana antarabangsa.

Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEPA) UnIPSAS turut menyatakan komitmen untuk terus menyokong penglibatan mahasiswa dalam aktiviti luar negara yang memberi nilai tambah kepada pembangunan sahsiah dan kecemerlangan akademik.

Ambassadorial Talk Bersama Duta Besar UAE di UnIPSAS

KUANTAN, 8 Oktober 2025 – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) menerima kunjungan rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) Dr. Mubarak Saeed Aldhaheri, Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia, sempena Program Ambassadorial Talk bertajuk “Tolerance & Coexistence and the Role of the Youth in Multicultural Societies.”

Dalam sesi penuh inspirasi itu, TYT Dr. Mubarak berkongsi pandangan tentang kepentingan toleransi, keamanan dan perpaduan antara budaya, berasaskan semangat Piagam Madinah, model toleransi UAE serta Dokumen Persaudaraan Sejagat (Human Fraternity Document). Beliau menyeru agar generasi muda menjadi ejen perpaduan dalam membina dunia yang lebih harmoni dan saling menghormati.

Naib Canselor UnIPSAS, YH Prof. Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada kerajaan UAE atas tajaan biasiswa penuh kepada pelajar UnIPSAS yang kini menyertai Program Mobiliti Berkredit selama empat bulan di Mohamed Bin Zayed University for Humanities (MBZUH), Abu Dhabi.

Beliau turut berkongsi bahawa UnIPSAS akan menghantar pelajar lepasan diploma ke Abu Dhabi pada tahun 2026 bagi mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda di Mohamed Bin Zayed University for Humanities (MBZUH), dengan tajaan penuh daripada kerajaan UAE.

Turut hadir, YB Dato’ Ahmad Irsyadi bin Abdullah Al-Qari, Ahli Dewan Negeri Pahang merangkap Timbalan Portfolio Belia dan NGO, serta wakil-wakil daripada pelbagai jabatan kerajaan, para guru, pelajar Tingkatan Enam, pelajar sekolah dan pelajar universiti.

Sesi ini turut disertai kira-kira 500 orang hadirin yang hadir bagi mengikuti perkongsian dan sesi interaksi bersama TYT Duta Besar UAE.

en_GBEnglish