EUPHORIA Pameran Akhir Program Sarjana Muda Multimedia (Pengiklanan Digital) Dengan Kepujian
KUANTAN PAHANG , 25 Oktober 2023 – Program Sarjana Muda Multimedia (Pengiklanan Digital) Dengan Kepujian, telah berkolaborasi dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang (PPAP) dalam penganjuran program pameran akhir pelajar ijazah multimedia ini di mana pameran akan diadakan di perpustakaan.
Tempat pameran yang diberikan oleh perpustakaan telah memberikan kami untuk mengekspos karya-karya pelajar saya kepada khalayak yang lebih luas, tetapi juga memberi kami kesempatan untuk berbagi pengetahuan dan inspirasi dengan orang awam utk lebih kenali program Ijazah kami mengenai produk serta hasil kreativiti pelajar serta peluang kerjaya dalam bidang teknologi multimedia kreatif.
Hasil Akhir pelajar ini juga telah dinilai oleh panel pemeriksa luar iaitu En. Hilmie Fazhan bin Mazlan (Creative Designer as Digital Marketing, Amanah Saham Nasional Berhad) dan En. Ahmad Faiz Bin Azmin, (Pensyarah Jabatan Seni Visual, di Unisel Bestrai Jaya).
Alhamdulillah, Program pameran Akhir pelajar di perpustakaan awam Pahang telah mencapai sambutan luar biasa, menunjukkan minat yang tinggi dari masyarakat tempatan terhadap karya-karya pelajar multimedia dari UnIPSAS yang dipamerkan.
Siswa UnIPSAS Johan Hafazan Peringkat IPT Kebangsaan 2023
TERENGGANU , 29 September 2023 – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UnISZA) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengadakan Pertandingan Akhir Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Institusi Pendidikan Tinggi 2023 (MTHQIPT2023) pada 25-29 September bertempat di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UnISZA Kampus Gong Badak, Kuala Nerus Terengganu.
Seramai 145 peserta mewakili IPTA/S dan institut-institut lain telah menyertai pertandingan tersebut. Pada peringkat saringan, peserta telah memperdengarkan bacaan masing-masing melalui atas talian (online) dan seramai 5 peserta setiap kategori dipilih untuk ke peringkat akhir yang dijalankan.
Seramai 4 orang pelajar UnIPSAS telah menyertai sesi saringan iaitu Kategori Hafazan 1-10 : 1 orang Kategori Hafazan 1-20 : 2 orang dan Kategori Tilawah Al-Quran : 1 orang. Walaubagaimanapun, hanya seorang sahaja pelajar UnIPSAS yang berjaya ke peringkat akhir dalan Kategori Hafazan 1-10 iaitu Saudara Muhammad Naquib bin Mohd Jamal Nasir yang juga merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah, Fakulti Pengajian Islam dengan markah saringan iaitu 93.00% menjadikan tempat kedua markah tertinggi daripada 19 orang peserta lain.
Pada peringkat akhir pertandingan, beliau telah dinobatkan sebagai Johan dalam Kategori Hafazan 1-10 iaitu dengan mendapat markah keseluruhan berjumlah 98.60%. Kemenangan ini adalah hasil usaha beliau dalam mendalami dan cinta kepada Al-Quran. Sesungguhnya kemenangan ini adalah suatu kebanggaan buat UnIPSAS dan semoga ianya menjadi ikutan kepada pelajar lain pada masa akan datang. Turut hadir sama mengiringi beliau pada majlis penutup dan penyampaian hadiah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Institusi Pendidikan Tinggi 2023 (MTHQIPT2023) pada 29 September 2023 ialah Encik Abi Sofian bin Abdul Aziz, Penolong Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni UnIPSAS.
Dikesempatan ini, Timbalan Naib Canselor dan seluruh warga kerja Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni UnIPSAS mengucapkan TAHNIAH dan semoga terus maju jaya pada masa akan datang.
UnIPSAS Merangkul Perak di Pertandingan International University Carnival on E-Learning (IUCEL)
KUANTAN PAHANG , 26 September 2023 -Pensyarah Multimedia (IPD) iaitu Cik Norhafizatul Sheha Dzulkepli, Cik Nik Nur Nabihan , En Muhammad Rafiq, En Muhd Ilham dan Pn Anis Azzyaty mewakili UnIPSAS ke Pertandingan International University Carnival on E-Learning (IUCEL) telah memenagi Pingat Perak bagi kategori Invention, Innovation & Design on E-Learning (IDEL) yang bertajuk: Project Deveploment of Jawi Game on Mobile Devices As a Learning Approach.
Seminar Internasional : Transformation of Da’wah and Communication Towards Society 5.0
INDONESIA, 22 September 2023 – Telah berlangsung satu seminar antarabangsa dinamakan Seminar Internasional : Transformation of Da’wah and Communication Towards Society 5.0. Seminar ini dianjurkan oleh Universitas Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry Banda Aceh Indonesia dan berlangsung dengan jayanya di Fakultas Dakwah UIN Ar-Raniry. Seminar telah dirasmikan oleh Rektor UIN Ar-Raniry, Profesor Dr. Mujiburrahman M.Ag.
Seramai 3 orang pensyarah dari UnIPSAS telah diberi penghormatan untuk menyampaikan ucaptama (keynote speech) dalam seminar ini iaitu Ustazah Norfadelah Nordin (Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Islam) dengan tajuk ‘Persepsi Pelajar Dakwah, UnIPSAS terhadap Pembelajaran Bahasa Isyarat sebagai Medium Komunikasi Golongan OKU Pendengaran’, As-Sheikh Dr. Mohamed Ebrahim el-Sherbiny Ahmed Sakr (Pensyarah Jabatan Dakwah) dengan tajuk ‘Pendakwah Qurani’ dan Ustaz Ainuddin bin Kamaruddin (Pengarah Institut Jawi) dengan tajuk ‘Tulisan Jawi Sebagai Warisan Melayu Islam dan Sarana Komunikasi: Pemerkasaannnya di Pahang, Malaysia’.
Turut menyampaikan pembentangan pada seminar antarabangsa tersebut ialah Ustaz Hasmimie bin Mohd Yusof dengan tajuk Dai Rabbani Pembina Masyarakat 5.0: Harapan dan Cabaran. Seminar turut disertai oleh pembentang-pembentang daripada Indonesia yang membicarakan pelbagai topik menarik sekitar bidang dakwah.
Delegasi UnIPSAS yang menghadiri seminar ini turut mengambil peluang untuk mengadakan kunjung hormat ke pejabat Dekan Fakultas Dakwah, Prof. Dr. Kusmawati Hatta M.Pd pada sebelah pagi dan mengadakan perbincangan pada sebelah petang berkenaan kerjasama berkaitan penempatan pelajar Latihan Industri UnIPSAS di Aceh.
Program Pengukuhan SPM & Hala Tuju
KUANTAN, 12 September 2023 – Program Pengukuhan SPM & Hala Tuju Selepas SPM berlangsung selama 3 hari 2 malam bermula 12 -14 September 2023 bertempat di Persada Baroqah Kuantan melibatkan seramai 145 orang peserta terdiri daripada 4 buah sekolah menengah agama di bawah kelolaan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan 7 buah sekolah menengah harian di sekitar Kuantan.
Program ini diuruskan oleh Fakulti Pengurusan dan Informatik (FMI) bagi memenuhi tanggungjawab sosial korporat UnIPSAS dan MUIP dalam membantu pelajar membuat persediaan menduduki peperiksaan SPM oleh guru-guru pakar di samping menggalakkan pembudayaan ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan generasi muda.
Istiadat Konvokesyen Ke-20 Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS)
KUANTAN, 4 September 2023 – Seramai 478 graduan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah ( UnIPSAS) dianugerahkan Ijazah dan Diploma pada istiadat Konvokesyen Ke-20 UnIPSAS yang berlangsung di Dewan Cashmere,Hotel Zenith di kuantan.
Istiadat tersebut telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang yang juga Pro-Canselor 1 UnIPSAS,Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua graduan UnIPSAS atas kecemerlangan yang dicapai sepanjang mengikuti pengajian di UnIPSAS.
Semoga para graduan terus mencipta kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.
Doa Ibu Bapa Sangat Penting Dalam Membentuk Kejayaan Anak-anak
KUANTAN, 22 Julai 2023 – Naib Canselor UnIPSAS, Profesor Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin menekankan kepada kekuatan doa ibu bapa dalam membentuk kejayaan anak-anak.
“Ibu dan bapa jangan putus berdoa dalam menjamin kejayaan anak-anak. Anak-anak pula jangan sesekali lupa bahawa kejayaan anak-anak adalah berkat doa ibu dan bapa,” ujar beliau dalam merasmikan program Majlis Anugerah Kecemerlangan 2023 SMK Paya Besar, Kuantan.
Dalam ucapan perasmian, Profesor Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin juga telah berkongsi pengalaman kesukaran hidup semasa beliau belajar di Universiti Al-Azhar Mesir sebagai suntikan motivasi kepada pelajar cemerlang SMK Paya Besar bahawa ilmu adalah segala-galanya.
Dalam majlis ini, seramai 38 orang pelajar yang mendapat keputusan cemerlang SPM 2022 diraikan oleh SMK Paya Besar.
UnIPSAS Sebar Kepakaran Dalam Klinik Guaman Syarie dan Kaunseling Islam
RAUB, 22 Julai 2023 – UnIPSAS menyemarakkan Karnival Tanah anjuran Pejabat Tanah dan Galian Raub pada hari ini melalui perkhidmatan Klinik Guaman Syarie dan Kaunseling Islam di Dewan Jubli Perak (Raub).
Program yang dirasmi oleh YAB Menteri Besar Pahang telah membuka ruang kepada UnIPSAS untuk para pensyarah Fakulti Syariah UnIPSAS menawarkan khidmat nasihat mengenai perkahwinan, penceraian, hak jagaan anak, wasiat, harta sepencarian dan pengurusan kes-kes mahkamah syariah kepada masyarakat awam melalui Klinik Guaman Syarie ini.
Encik Mohd Saifuddin bin Abdul Karim, Dekan Fakulti Syariah UnIPSAS menjelaskan bahawa kepakaran pensyarah UnIPSAS dalam bidang Syariah dan Perundangan perlu disebarluas, terutama dalam usaha meneguhkan syariat Islamiyyah bagi menyokong kesejahteraan hidup di Malaysia.
“Penyertaan dalam Karnival Tanah di Raub pada hari ini diselaraskan oleh Puan Yusliha binti Yunus bersama 5 pelajar Fakulti Syariah dan merupakan poin kritikal untuk UnIPSAS berkhidmat kepada masyarakat melalui kepakaran pensyarah yang dimiliki oleh Fakulti Syariah,” kata beliau lagi.
Dalam program yang sama, UnIPSAS turut menyediakan khidmat kaunseling Islam sebagai menyokong program Klinik Guaman Syarie, sekaligus mengenengahkan kepakaran pensyarah dalam bidang Kaunseling Islam.
“Kaunseling Islam merupakan bidang yang mendapat perhatian ramai dewasa ini kerana ia menekankan elemen rohani yang membantu individu menjaga kesejahteraan emosi, mental dan spiritual. Justeru itu, kaunseling Islam sesuai dan bermakna dalam membantu individu menghadapi cabaran masakini”, jelas Dr. Nur Yani binti Che Hussin, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan merangkap pensyarah Kaunseling Islam UnIPSAS.
Sambutan Maal Hijrah 1445 Peringkat UnIPSAS
KUANTAN, 21 Julai 2023 / 3 Muharram 1445H – Pusat Islam UnIPSAS telah menganjurkan program perarakan sempena Sambutan Maal Hijrah 1445H peringkat Universiti pada hari ini. Perarakan ini telah disertai hampir 800 peserta dari 11 kontinjen yang terdiri daripada Fakulti Pengajian, jabatan-jabatan pentadbiran dan persatuan pelajar yang ada di UnIPSAS.
Pengarah Pusat Islam UnIPSAS, Ustaz Mohd Shupian bin Majid berkata Program Sambutan Maal Hijrah 1445H peringkat UnIPSAS ini bertujuan agar anggota kerja dan pelajar UnIPSAS dapat bersama menghayati falsafah dari peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan sahabat dari kota Makkah ke kota Madinah demi menyebar dan menyubur dakwah Islamiyyah.
“Peristiwa Maal Hijrah merupakan titik tolak kepada perkembangan agama Islam ke peringkat global dan perlu dihayati sebagai penanda aras kepada kehidupan Islam yang sebenar dalam diri kita”, ujar beliau lagi.
Kemuncak kepada program ini ialah tausiyah yang disampaikan oleh Naib Canselor UnIPSAS sendiri, YH Profesor Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin. Tausiyah yang bertajuk Ibrah Maal Hijrah antara lain mengajak seluruh warga UnIPSAS untuk berusaha meningkatkan kualiti diri dan pendidikan dengan mengambil pengajaran dari kisah pengorbanan dan cabaran sahabat Nabi saw bernama Salman Al Farisi ketika memeluk Islam dengan meninggalkan segala kekayaan warisannya serta kesungguhannya berhadapan segala cabaran perit merih semata-mata untuk menuntut dan mendapatkan ilmu.
Dalam program ini juga, Persatuan Pelajar Borneo UnIPSAS telah diangkat sebagai Juara Perarakan Maal Hijrah 1445H Peringkat UnIPSAS setelah dikira kekemasan dan keceriaan skuad, di samping penggunaan tulisan jawi yang betul dalam sepanduk perarakan kumpulan masing-masing. Tidak dilupakan, perarakan ini juga disertai oleh anak-anak Tadika Naluri UnIPSAS.
UnIPSAS Komited Memastikan Anak-anak Orang Asli Mendapat Pengajian Peringkat Tinggi
KUANTAN, 20 Julai 2023 – UnIPSAS menzahirkan komitmen untuk terus membantu anak-anak Orang Asli dalam negeri Pahang agar tidak ketinggalan dalam arus pendidikan tinggi negara.
Dalam pertemuan bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang pada hari ini, Profesor Madya Dato’ Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin menyatakan komitmen untuk memperuntukkan ruang kepada anak Orang Asli untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Asasi, Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan PhD di UnIPSAS.
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Pengarah JAKOA, Tuan Johari bin Alwi. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Akademik UnIPSAS, Dr. Hj. Muhammad Fadlly bin Ismail.