Kerajaan Pahang, UnIPSAS Diminta Kaji Wujudkan Universiti Al-Quran Di Pahang

KUANTAN, 8 MAC 2024 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menitahkan Kerajaan Pahang bersama Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) mengkaji dengan teliti cadangan mewujudkan Universiti Al-Quran di negeri ini.

Baginda juga mencadangkan agar Fakulti Al-Quran diwujudkan terlebih dahulu di UnIPSAS sebelum mengembangkan lagi pengajian Al-Quran bagi mewujudkan universiti berkenaan.

“Di kesempatan ini juga saya ingin memberi cadangan atau pandangan berkaitan dengan al-Quran ini, memandangkan kita sudah pun wujud Universiti Islam Pahang, sudah pun kita wujudkan Fakulti Hadis, mungkin sampai masanya kita wujudkan juga satu fakulti untuk al-Quran, supaya dapat anak-anak muda kita menjurus kepada subjek ini supaya dapat mencapai diploma dan mungkin ijazah dan mungkin suatu hari nanti kalau kita berjaya untuk mengembangkan fakulti ini, mungkin kita boleh wujudkan Universiti al-Quran di Negeri Pahang, InsyaaAllah.

“Saya juga berharap pihak universiti (UnIPSAS) bersama dengan kerajaan dengan kebijaksanaan Dato’ Sri Syed Ibrahim ini dapat kaji dengan lebih teliti cadangan untuk mewujudkan universiti al-quran di Negeri Pahang pada masa akan datang, InsyaaAllah,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Kali Ke-67 Tahun 1445 Hijrah bersamaan 2024 Masihi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini semalam.

Pada majlis itu, baginda bersama KDYMM Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj turut berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Turut mengiringi baginda berdua ialah anakanda KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Panglima Raja Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama ialah YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob, barisan Exco Kerajaan Pahang dan Ketua-Ketua Jabatan.

Tilawah yang berlangsung sejak Selasa itu telah disertai oleh 26 peserta daripada 13 daerah di seluruh Pahang dengan Johan Qari dimenangi oleh Johan Menunggu, Encik Mohamad Syaheed Sabri dengan 95.5 markah manakala Johan Qariah dimenangi peserta dari Jengka, Cik Nurul Saadah Mohammad Zaini dengan 88 markah.

Sehubungan itu baginda menyeru agar para ibu bapa dapat memainkan peranan penting untuk menanamkan rasa cinta terhadap al-Quran di dalam hati anak-anak sejak kecil ibarat perumpamaan Melayu “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Ini bertujuan untuk menjadikan Pahang sebagai negeri yang makmur dengan Al-Quran dan dilindungi dari sebarang kecelakaan dan musibah.

– PAHANGMEDIA
Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang

Program Keusahawanan dan Kebolehpasaran

KUANTAN, 06 MAC 2024 – Program Keusahawanan dan Kebolehpasaran yang berlangsung selama 2 hari pada 5-6 Mac 2024 bertempat di Belakang Auditorium Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Kuantan, Pahang.

Program selama 2 hari ini melibatkan penjualan makanan dan minuman yang disediakan oleh mahasiswa/i UnIPSAS. Gerai jualan juga telah dihias rapi dengan bertemakan klasik bagi memeriahkan suasana program.

Ia telah dianjurkan oleh Jabatan Perniagaan, Fakulti Pengurusan dan Informatik UnIPSAS dan bertujuan untuk memberi pendedahan, kemahiran dan pengetahuan kepada mahasiswa mengenai keusahawanan sosial dan keusahawanan digital yang profesional serta mampu membentuk komuniti sosial.

Ia turut mempromosikan usahawan muda di kalangan pelajar universiti serta mencipta platform membina pengalaman dalam perniagaan. Program ini juga membentuk semangat kerja pasukan, serta interaksi antara komuniti dikalangan pelajar, pensyarah dan tenaga kerja di UnIPSAS.

Kuliah Duha Berqasidah “Marhaban Ya Ramadan”

KUANTAN, 01 MAC 2024 – Kuliah Duha yang disampaikan oleh Felo Kanan Dakwah UnIPSAS, Ybhg. Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid. Seluruh Anggota Kerja dan mahasiswa/i UnIPSAS tidak melepaskan peluang ini, turut hadir pelajar-pelajar KPTM, UMPSA, Akademi Tahfiz Al-Ameen Aspa Cottage, Madrasah Al-Muhammadi Bukit Rangin.

Majlis diiringi dengan alunan qasidah sebelum diteruskan dengan tazkirah duha. Ketibaan Ybhg. Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid disambut oleh Naib Canselor UnIPSAS, Prof. Madya Dato’ Dr. Hj. Zawavi Bin Zainal Abidin dan pengurusan tertinggi UnIPSAS.

Program Ramah Mesra Mahasiswa dan Mahasiswi Sabah bersama Agensi Kerajaan Negeri Sabah

KUANTAN, 29 FEBRUARI 2024 – Buat julung kalinya Agensi Kerajaan Negeri Sabah memilih Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) untuk Program Ramah Mesra bersama mahasiswa-mahasiswi UnIPSAS yang berasal dari negeri Sabah.

Program ini melibatkan kehadiran hampir seratus orang mahasiswa/i di UnIPSAS yang berasal dari negeri Sabah. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan bantuan pendidikan seperti biasiswa, bantuan awal, bantuan komputer dan Persatuan Pelajar Sabah di UnIPSAS juga dapat pencerahan untuk memohon sumbangan dana dari Kerajaan Negeri Sabah. Program ini juga bertujuan menghargai mahasiswa/i dan memberi input mengenai inisiatif bantuan pendidikan.

Taklimat yang disampaikan oleh Agensi Kerajaan Sabah bermula dengan :
i) Yang Dihormati Puan Zaidah Hussain, Pengurus Kanan Yayasan Sabah Cawangan Kuala Lumpur
ii) Yang Dihormati Puan Jurianah binti Juti, Ketua Penolong Setiausaha, Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas).
iii) Wakil Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Sabah, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Sabah
iv) Dan Wakil Pengarah Bahagian Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri.

Naib Canselor UnIPSAS, Prof. Madya Dato’ Dr. Hj. Mohd Zawavi Bin Zainal Abidin menzahirkan rasa syukur dan berterima masih kepada semua Agensi Kerajaan Negeri Sabah yang hadir dan persatuan pelajar Sabah di UnIPSAS. UnIPSAS merupakan Universiti Pertama Milik Kerajaan Negeri Pahang membuka peluang pengajian ke peringkat Asasi, Diploma, Ijazah, Sarjana dan Doktor Falsafah kepada seluruh warganegara Malaysia.

Program Jelajah Cakna Undang – Undang Kesalahan Syariah 2024

KUANTAN, PAHANG – 22 Februari 2024, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah (BPPPS) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Fakulti Pengajian Syariah, UnIPSAS dan Institut Dakwah Islamiah Antarabangsa I-DIA, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) telah menganjurkan program Jelajah Cakna Undang – Undang Kesalahan Syariah 2024 bertempat di Auditorium Tuanku Canselor UnIPSAS, Kuantan Pahang.

Dengan tema “Jauhi Amalan Khurafat, Banteras Ajaran Sesat” telah disertai seramai 400 orang peserta dari kalangan penjawat awam dan penuntut Institut Pengajian Tinggi dari sekitar daerah Kuantan. Dua orang pembentang yang terdiri daripada Yang Berbahagia Tuan Izzuddin bin Dato’ Haji Mutalib, Al-Fadhil Qadhi Daerah Jerantut dan Yang Berbahagia Tuan Muhamad Yusri bin Aman, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penguatkuasa Undang – Undang Syariah JAIP, masing – masing telah mengupas isu akidah dan ajaran sesat.

Yang Berbahagia Dato’ Haji Zamani Ahmad bin Mansor, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JAKIM telah merasmikan program tersebut. Turut hadir dalam Majlis Perasmian Konvensyen ialah Y.H Prof. Madya Dato’   Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, Naib Canselor UnIPSAS, Yang Berusaha Dr. Muhammad Fadlly bin Ismail, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik, Para Dekan Fakulti dan YBrs. Tuan Ahmad Husaini bin Mustafa, Pengarah Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah, JAKIM.

Yang Berbahagia Dato’ Haji Zamani Ahmad bin Mansor, dalam ucapan perasmian, berharap agar kerjasama program seumpama ini dapat diperkukuhkan agar dapat memberi kefahaman sebenar kepada umum tentang kesalahan yang melibatkan undang – undang jenayah syariah seperti ajaran sesat. Para peserta juga diharapkan dapat memanfaatkan setiap ilmu dan maklumat yang diperolehi dari program tersebut serta bersedia menjadi “mata” dan “telinga” kepada pihak berkuasa bagi membendung isu – isu melibatkan kesalahan jenayah syariah.

Sumber : JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
Kurator Berita : Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan & Pendakwaan Syariah

Amanat dan Pelepasan Kontijen UnIPSAS ke Sukan SUPTIM 2024

KUANTAN, 09 FEBRUARI 2024 – Majlis Amanat Naib Canselor UnIPSAS & Pelepasan Kontinjen UnIPSAS Ke Sukan Institusi Pengajian Tinggi Islam Malaysia 2024. Berlangsung pada 11 – 14 Februari 2024 UNISHAMS, Kuala Ketil, Kedah.

Berbekalkan semangat “KITA JUARA” pada kejohanan sukan sebelum ini (Dis 2023) YH Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin menyuntik semangat kepada atlet UnIPSAS untuk berjuang sehabis baik untuk memperoleh kemenangan bagi setiap acara sukan yang disertai.

UnIPSAS mempertaruhkan pasukan dalam 7 acara iaitu Bola Sepak, Futsal, Bola Jaring, Badminton, Ping Pong, Memanah Tradisional dan Catur dengan penglibatan seramai 66 org atlet & 10 pegawai pengiring.

Semoga pasukan dapat mempersembahkan prestasi terbaik dan beroleh kemenangan. Amin… Semoga Berjaya.

#semangatkitajuara #kontinjenunipsas #suptim2024 #unishamskedah

Program Kepimpinan Pelapis Negeri Pahang Modul Pengajian Agama

KUANTAN, 7 FEBRUARI 2024 – Pada 6 dan 7 Februari 2024 telah berlangsungnya Program Latihan Kepimpinan Kanan PELAPIS Negeri Pahang Modul Pengajian Agama anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Pusat Penjanaan Hasil, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah.

Program yang diadakan di Grand Darul Makmur Hotel, Kuantan ini dihadiri oleh barisan-barisan pegawai kanan dan majlis tertinggi kerajaan seramai 40 orang.

Modul Pengajian Agama mendedahkan para peserta mengenai topik – topik berkenaan tentang Kepimpinan Menurut Perspektif Maqasid al-Syariah, Zakat dan Wakaf.

Barisan panel terdiri daripada individu-individu yang pakar dalam bidang masing-masing antaranyaYBrs. Prof. Dr. Hassan Bin Ahmad selaku professor Pusat Sains dan Kemanusiaan UMPSA, YH Dato’ Haji Halidan Bin Md Daud selaku Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang, dan Tuan Haji Che Samsol Bin Ibrahim selaku Timbalan Pengurus Besar Zakat Pahang.

Program Mahir Jawi SMA Al-Khairiah Temerloh

TEMERLOH, 31 JANUARI 2024 – Institut Jawi UnIPSAS telah dijemput oleh SMA Al-Khairiah, Temerloh untuk menyampaikan perkongsian kepada pelajar-pelajar tingkatan 1 dan 3 dalam program dinamakan Program Mahir Jawi. Program ini telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 30 dan 31 Januari 2024 baru-baru ini. Para peserta dibahagikan kepada dua kumpulan besar di dua dewan yang berbeza melibatkan pelajar tingkatan 1 seramai 225 orang dan pelajar tingkatan 3 seramai 170 orang.

Ustaz Ainuddin Kamaruddin dan Ustazah Seriayuna Sa’don Zubir dari Institut Jawi UnIPSAS hadir menyampaikan perkongsian pada hari pertama manakala Ustazah Nurizan Baharum dan Ustazah Siti Nora’aeshah Zakaria hadir pada hari kedua. Para peserta telah didedahkan dengan kemahiran menulis dan menyambung huruf dalam tulisan Jawi, mengenal padanan huruf Rumi-Jawi dan beberapa kaedah asas dalam ejaan Jawi terkini.

Rata-rata peserta merasa teruja dan seronok melibatkan diri dalam aktiviti yang dijalankan sepanjang program dua hari ini termasuklah latihan menyambung huruf, kuiz mengeja Jawi secara individu, menulis Jawi di papan putih dan pertandingan antara kumpulan-kumpulan kecil.

Program Kepimpinan Pelapis Negeri Pahang Modul Critical Thinking

KUALA LUMPUR – 11 JANUARI 2024, Pada 9 hingga 11 Januari untuk fasa 1 dan 23 hingga 24 Januari 2024 untuk fasa 2 telah berlangsungnya Program Latihan Kepimpinan Kanan PELAPIS Negeri Pahang yang anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Pusat Penjanaan Hasil, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah.

Program yang diadakan di Tamu Hotel And Suites, Kuala Lumpur ini dihadiri oleh barisan-barisan pegawai kanan dan majlis tertinggi kerajaan seramai 40 orang.

Modul Critical Thinking ini mendedahkan para peserta mengenai topik – topik berkaitan Introduction To Thinking, Thinking Styles And Tools, Creativity, Critical Thinking dan akhir sekali Proble Solving.

Barisan panel terdiri daripada individu-individu yang pakar dalam bidang masing-masing antaranyaProf. Dr. Jelani Sulaiman selaku Dekan Fakulti Pengajian Bahasa dan Asasi UNIPSAS, YBhg Datuk Dr. Mohd Yusoff Sulaiman selaku Presiden Malaysia Rail Industry Corporation, Encik Mohd Faroq Ibrahim selaku Chief Operating Officer Widad University College, Encik Mohd Shakran bin Shamsudin selaku Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri Perak, YBhg Prof. Dato’ Dr. Muhammad Fauzi Bin Mohd Zain selaku Naib Canselor UCYP dan akhir sekali Encik Rashid bin Sibir selaku Pengarah Urusan Opera Klasik Sdn Bhd .

Majlis APC UnIPSAS 2021-2022

KUANTAN, 04 JANUARI 2024 – YB. Dato’ Sri Haji Zulkifli Bin Haji Yaakob, Setiausaha Kerajaan Pahang telah hadir ke Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Anugerah Kesetiaan UnIPSAS bagi Tahun 2021 dan 2022.

Seramai 43 orang penerima Anugerah Perkhidmatan cemerlang, 45 orang Penerima Anugerah Kesetiaan dan 16 Penerima Anugerah Khas Naib Canselor.

Majlis yang diadakan setiap tahun ini merupakan suatu bentuk pengiktirafan dan penganugerahan atas prestasi yang cemerlang sepanjang tahun 2021 dan 2022 serta tanda penghargaan ikhlas atas segala khidmat bakti yang dicurahkan selama berkhidmat di UnIPSAS bumi barakah.

en_GBEnglish