KUIPSAS Dan UPSI Bekerjasama Tawarkan PHD

4 Mac 2019 (TANJONG MALIM) – KUIPSAS dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersetuju untuk berkerjasama bagi menawarkan program pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD). UPSI akan menawarkan program yang dinamakan SmartPhD dan KUIPSAS akan menyediakan tempat pengajian. Mod pengajian secara penyelidikan ini akan menyaksikan pensyarah-pensyarah UPSI hadir ke KUIPSAS untuk mengendalikan kursus dan bimbingan kajian. Program SmartPhD ini meletakkan sasaran pelajar boleh menghantar tesis selepas 2 tahun pengajian.

Dalam sesi kunjungan hormat dan perbincangan, delegasi KUIPSAS diketuai oleh Rektor, YH. Dato’ Haji Yahya bin Zainal Abidin dan disertai oleh Timbalan Rektor Penyelidikan, Dr. Rosli bin Omar, Dekan Fakulti Pengajian Islam, Dr. Ahmad Effat bin Mokhtar serta Dekan Fakulti Pengajian Pengurusan, En. Mohd Hafiz bin Yaakob. Delegasi UPSI pula terdiri daripada Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar bin Sabran, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Pengantarabangsaan) Prof. Dr. Mohd Sahandri Gani bin Hamzah dan Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Prof. Madya Dr. Ramlee bin Ismail.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

KUIPSAS Sertai Jelalah OKU

2 Mac 2019 (TEMERLOH) – Program Jelajah OKU Muqarrabun yang bertempat di Masjid Baru Daerah Temerloh telah berlangsung dengan jayanya pada hari ini. Program yang julung kali diadakan oleh Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan (PERTIS) dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Masjid Baru Daerah Temerloh dan RTM Pahang ini mengumpulkan lebih 200 orang penggerak orang kurang upaya dan sukarelawan dalam menjalankan aktiviti bersifat keagamaan.

Program dimulakan dengan Ucaptama : “Taqwa Penyuluh Kehidupan” oleh Imam Besar Masjid Temerloh, Ustaz Badrolhisham bin Mohamad Zaki. Program disusuli dengan Majlis Perlancaran Sahabat Siswa PERTIS (SMaP) yang menampilkan mahasiswa Diploma Dakwah dan Pengurusan serta Diploma Pendidikan Islam Awal Kanak-Kanak KUIPSAS sebagai sukarelawan. Pelancaran turut dihadiri oleh Ustazah Norfadelah binti Nordin, Pensyarah Jabatan Dakwah sebagai wakil KUIPSAS dan En Bahkri bin Md Said sebagai wakil PERTIS.

Program diteruskan dengan Forum OKU Muqarrabun dengan menampilkan En. Mohd Hafiz bin Halim sebagai moderator dan En. Mohammad Faizal bin Che Yusof (Panel 1), Puan Hjh Dr. Ruziah bt Ghazali (Panel 2) dan Ustaz Nik Ibrahim bin Nik Abdullah (Panel 3). Majlis diakhiri dengan perasmian dan pelancaran Program Jelajah OKU Muqarrabun Negeri Pahang yang telah disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua MUIP, Dato’ Seri Wan Hj. Abdul Wahid bin Hj Wan Hassan.

KUIPSAS Komited Memperkasakan Tulisan Jawi

KUIPSAS terus komited memperkasakan Tulisan Jawi dalam masyarakat supaya tulisan ini akan terus dikenali, dipelajari dan digunakan dalam kehidupan seharian. Terbaharu, KUIPSAS telah mengendalikan Bengkel Kemahiran Tulisan Jawi Bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Pahang Secara Kolaboratif Antara KUIPSAS dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang, Majlis Ugama Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Dewan Munsyi Jawi Pahang pada 26-27 Februari 2019 yang lalu.

Program Amali Fotografi Islam Melaka 2019 (Pafim2019)

24 Februari 2019 (MELAKA) – Seramai 4 orang pensyarah daripada Jabatan Dakwah dan 25 orang pelajar daripada Diploma Pengajian Media Islam, KUIPSAS menyertai PAFIM2019 yang telah diadakan pada 22 – 24 Februari 2019 di Bada Hilir, Melaka.

Program itu merupakan satu aktiviti berbentuk amali dan penilaian akhir bagi pelajar yang mengambil Kursus AIM2023 FOTOGRAFI ISLAM. Program ini juga bermatlamat memberi pendedahan serta penghayatan gabungan antara elemen fotografi dan juga kesenian Islam. PAFIM2019 juga merupakan platform bagi pelajar untuk mengaplikasikan teori-teori yang telah dipelajari dalam sesi pengkuliahan kepada amali akhir yang berbentuk praktikal.

Dalam amali tersebut, pelajar diberikan tema/genre fotografi dan mereka perlu merakamkan foto mengikut tema/genre yang telah ditetapkan. Antara tema/genre yang diberikan adalah Potrait Photography, Night Photography/Long Exposure dan Street Photography(Fotografi Jalanan). Amali tersebut diakhiri dengan Malam Apresiasi PAFIM2019 yang diisi dengan penilaian hasil karya mereka oleh juri-juri yang dilantik dari kalangan pensyarah. Ketua juri, En. Ainuddin Bin Kamaruddin berkata, “Penganjuran PAFIM2019 ini memberi impak besar kepada pelajar. Banyak ilmu dan teknik dalam dunia fotografi pelajar dapat dengan penganjuran program amali ini.”

Semoga program seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang bagi memberikan pendedahan kepada pelajar tentang dunia fotografi untuk digunakan sebagai bekalan masa hadapan mereka.

Jabatan Dakwah Kuipsas

Dekati Pesakit HTTA, Bantuan Tunai Ibadah

23 Februari 2019 (KUANTAN) – Pelajar KUIPSAS sekali lagi menganjurkan program Hospital Mesra Ibadah bertempat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan pada hari ini. Program yang disertai 40 orang pelajar daripada Jabatan Syariah dan Jabatan Dakwah ini diiringi oleh dua orang pensyarah iaitu Ustazah Dayang Sakini Mohd Kadri dan Ustazah Hasiah Mat Salleh. Program dianjurkan dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam HTAA.

Program bermula dengan sesi latihan yang diadakan pada hari sebelumnya di Dewan Barakah KUIPSAS. Sesi latihan menumpukan kepada teori dan pengetahuan mengenai pelaksanaan ibadah dalam kalangan pesakit di hospital. Semasa program dijalankan di HTAA, peserta-peserta telah mempraktikkan ilmu yang diterima dalam sesi latihan dengan membantu pesakit-pesakit menunaikan ibadah khususnya ibadah solat fardhu di dalam wad hospital.

HTAA (Hospital Tengku Ampuan Afzan) Jabatan Dakwah Kuipsas Syariah Department Kuipsas

Pendaftar Hadiri Perjumpaan Khas Bersamaan Menteri Pendidikan

21 Februari 2019 (PUTRAJAYA) – Pendaftar KUIPSAS, En. Mohd Zamri Wahab menghadiri Majlis Perjumpaan Khas YB Menteri Pendidikan Bersama Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) yang diadakan pada hari ini di Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya.Seramai 400 orang pemimpin dan wakil IPTS telah hadir bagi memperkukuhkan libat urus YB Menteri dan KPM bersama semua pihak dalam memastikan mutu pendidikan tinggi negara berada pada tahap cemerlang.Dalam ucapannya, YB Dr. Maszlee berkongsi tentang sumbangan IPTS dengan menyediakan pendidikan tinggi yang berkualiti kepada rakyat Malaysia, menyediakan akses alternatif kepada pelajar yang tidak dapat masuk ke IPTA serta IPTS juga telah menyumbang kepada hasil ekonomi negara.

Majlis Tilawah Al-Quran Ke-62 Negari Pahang

20 Februari 2019 (KUANTAN) – Pelajar KUIPSAS turut hadir memeriahkan Majlis Tilawah Al-Quran kali ke-62 Peringkat Negeri Pahang bagi tahun 1440H / 2019 M. Majlis yang diadakan selama 3 malam berturut-turut itu bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Jalan Teluk Sisek, Kuantan. Lebih bermakna apabila pelajar-pelajar KUIPSAS berkesempatan untuk beramah mesra bersama KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong serta KDYMM Raja Permaisuri Agong yang berkenan mencemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup dan mengurniakan hadiah kepada pemenang.

KUIPSAS Bantu Mantapkan Solat Pelajar Sekolah

20 Februari 2019 (KUANTAN) – Seramai 195 orang pelajar Tingkatan 1 SMK Mat Kilau, Kuantan telah menyertai program Kem Pemantapan Solat Siri-2 bertempat di Surau Saidina Umar Al-Kattab. Program yang dijayakan oleh pelajar-pelajar Jabatan Dakwah KUIPSAS ini bertujuan untuk memberikan pemahaman konsep dan makna solat yang sebenar supaya pelajar-pelajar SMK Mat Kilau dapat melaksanakan ibadah khsusnya solat dengan lebih sempurna.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang program ini berlangsung. Di antaranya ialah Praktikal Amali Solat, Sesi Latihan Dalam Kumpulan dan Kuiz Spontan. Dalam ucapan Perasmian Penutupan program yang disampaikan oleh Haji Ahmad Jeffry bin Haji Ismail, Guru Penolong Kanan (Pentadbiran) beliau mengucapkan syukur kerana dapat melaksanakan program sebegini kerana ianya amat penting dalam rutin kehidupan seharian setiap umat Islam. Beliau juga menyarankan pelajar supaya memastikan amalan solat dapat ditunaikan dengan dengan sempurna sebagaimana yang telah didedahkan dalam program ini.

SMK Mat Kilau Jabatan Dakwah Kuipsas

English Language Festival (ELFest)

16 Februari 2019, Sabtu (KUANTAN) – Para pelajar tahun akhir Diploma Bahasa Inggeris KUIPSAS telah menganjurkan program English Language Festival di Dewan Utama KUIPSAS sebagai memenuhi keperluan wajib kursus. Program ini telah disertai oleh 40 orang pelajar Tingkatan 1 hingga 3 yang terdiri daripada SMK Sg Soi dan SMK Gudang Rasau. Program ini telah menganjurkan dua aktiviti utama iaitu sesi perkongsian mengenai “Kepentingan Kemahiran Bertutur dalam Bahasa Inggeris oleh penceramah jemputan luar dan juga sesi “English Language Explorace” bersama para pelajar Diploma Bahasa Inggeris KUIPSAS.

Program yang mementingkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam komunikasi seharian ini dilihat berjaya memupuk minat para peserta dalam penggunaan Bahasa Inggeris untuk berkomunikasi melalui permainan dan aktiviti dalam “English Language Explorace” terutamanya dalam komponen seperti “Vocabulary, Spelling, Listening, Speaking & Basic Grammar”. Program ini juga telah berjaya membina kerjasama dan hubungan yang baik antara pelajar KUIPSAS dan masyarakat luar.

JALAN-JALAN CARI ILMU SINGGAH DI SMA AL-ATTAS

12 Februari 2019 (PEKAN) – Progam Jalan-Jalan Cari Ilmu (JJCI) 3.0 telah berlangsung di SMA Al-Attas, Pekan pada hari ini dan melibatkan seramai 100 orang pelajar Tingkatan 5. Program ini dimulakan dengan Slot motivasi (L.I.F.E) yang dipimpin oleh Puan Siti Fatimah binti Sudarmin, Ketua Jabatan Kewangan & Puan Nurulhuda binti Othman, Ketua Jabatan Perniagaan. Seterusnya, Sesi LDK 1 (Selling Yourself) & LDK 2 (Banker’s Game) dipimpin oleh Dr. Mohd Zulfakhairi bin Mokthar, Pensyarah Jabatan Perniagaan dengan dibantu oleh fasilitator terlatih yang terdiri daripada siswa-siswi Fakulti Pengajian Pengurusan KUIPSAS.

Program ini adalah kali ketiga diadakan selepas kejayaan program yang sama di SMK Paya Besar dan SMK Pelabuhan pada tahun lepas. Puan Hanum binti Jabar, GPK Kurikulum SMA Al-Attas yang mewakili Pengetua dalam ucapannya memberikan maklum balas yang positif di atas penganjuran program ini dan berharap agar hubungan baik di antara KUIPSAS dan SMA Al-Attas akan terus berkekalan.

Semoga pelajar-pelajar yang terlibat dalam JJCI 3.0 ini beroleh keputusan yang cemerlang dalam SPM tahun ini. McDonald’s Pekan juga telah menaja minum pagi kepada semua peserta dan fasilitator yang terlibat.

SMA Al-Attas Fakulti Pengajian Pengurusan Kuipsas

en_GBEnglish