KUIPSAS Pelopor Sumbangan Wakaf Berpusat

21 Januari 2021 (KUANTAN) – KUIPSAS diiktiraf sebagai pelopor sumbangan wakaf secara berpusat kerana menggalakkan kakitangannya membuat potongan gaji untuk disumbangkan kepada Wakaf Pahang setiap bulan. Demikian menurut YH. Dato’ Haji Halidan bin Md Daud, Pengurus Besar Kanan Zakat Dan Wakaf Pahang dalam Majlis Penyerahan Dana Wakaf Pahang Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang di Masjid KUIPSAS hari ini.
Menurutnya lagi, persepsi terhadap wakaf telah banyak berubah dan menunjukkan perkembangan yang hebat daripada hanya pembangunan tanah kepada wakaf tunai serendah RM5 pada masa kini. Perkara ini lebih memudahkan umat Islam untuk berwakaf kerana tidak terikat dengan jumlah dan masa tertentu supaya sumber kedua kekuatan ekonomi umat Islam ini dapat dikembangkan.
Dalam majlis tersebut, Masjid KUIPSAS menerima penyerahan Dana Wakaf Pahang Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang sebanyak RM100,000 bagi melaksanakan projek naik taraf kemudahan-kemudahan untuk keselesaan umat Islam yang hadir menunaikan ibadah.
Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Masjid KUIPSAS telah menerima sumbangan tersebut daripada Dato’ Hj. Halidan.
Terdahulu, dalam ucapannya, Rektor KUIPSAS menyatakan bahawa KUIPSAS sentiasa menyokong penuh usaha Pusat Zakat Dan Wakaf Pahang dengan menyerahkan Borang Sumbangan Wakaf oleh kakitangan KUIPSAS untuk pembangunan wakaf di negeri Pahang.

Misi Bantuan Ke-11 Di SMK Mengkarak

21 Januari 2021 (BERA) – Sukarelawan KUIPSAS meneruskan Misi Bantuan Pasca Banjir 2021 dengan menyertai Sukarelawan Pahang melakukan kerja-kerja pembersihan SMK Mengkarak, Bera. Seramai 26 orang sukarelawan menyertai misi bantuan ini bagi membantu memulihkan SMK Mengkarak selepas ditenggelami banjir baru-baru ini.
Misi bantuan kali ini menjadi lebih bermakna kerana turut dihadiri oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Hj. Wan Rosdy bin Wan Ismail serta diiringi oleh Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang.

Misi Ke-10 Bantuan Pasca Banjir Di Chenor

20 Januari 2021 (CHENOR) – Sukarelawan KUIPSAS meneruskan Misi Bantuan Pasca Banjir ke-10 dengan membersihkan rumah Bilal Masjid KUIPSAS di Kampung Sekara, Chenor. Seramai 21 orang sukarelawan digerakkan ke lokasi yang terletak berdekatan dengan tebing Sungai Pahang.
Misi ke-10 ini agak mencabar kerana lokasi diselaputi lumpur tebal disebabkan air Sungai Pahang yang melimpah masuk ke kawasan rumah. Namun, berkat kerjasama semua sukarelawan, misi bantuan dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya.
Sukarelawan KUIPSAS turut mendapat perhatian YB. Ustaz Mujibur Rahman bin Ishak, ADUN Chenor yang sedang menziarahi penduduk-penduduk terjejas banjir di Kampung Sekara, Chenor.

Misi Ke-9 Bantuan Banjir Di Pekan

19 Januari 2021 (PEKAN) – Sukarelawan KUIPSAS meneruskan Misi Bantuan Pasca Banjir Ke-9 hari ini di daerah Pekan dengan membuat kerja-kerja pembersihan rumah keluarga kakitangan KUIPSAS yang terjejas banjir di Kampung Pulau Manis dan Kampung Tanjung Pulai.
Seramai 25 orang sukarelawan diketuai Rektor menyertai misi kali ini. Selain membersih rumah, Rektor KUIPSAS turut menyerahkan barangan sumbangan kepada keluarga kakitangan KUIPSAS tersebut.

KUIPSAS Sertai Sukarelawan Agensi Islam Negeri Pahang Laksana Misi Ke-8

18 Januari 2021 (CHENOR) – Misi Bantuan Pasca Banjir Ke-8 diteruskan dengan menyertai Sukarelawan Agensi Islam Negeri Pahang melaksanakan tugasan di kawasan Chenor Maran. Penyelarasan oleh Pejabat Agama Islam Chenor ini memberikan tumpuan kepada kerja-kerja pembersihan bangunan SAR KAFA di kawasan tersebut.
Selain sukarelawan KUIPSAS, misi bantuan turut disertai oleh sukarelawan dari MUIP, JAIP, Jabatan Mufti, MTNP, PAID dan PKZ.

Misi Ke-7 Serahan Bantuan Di Kampung Sungai Siam

17 Januari 2021 (JERANTUT) – Misi Bantuan Pasca Banjir KUIPSAS diteruskan di Kampung Sungai Siam, Jerantut hari ini dengan penyerahan barang-barang keperluan kepada penduduk terjejas bencana banjir.
Barang-barang keperluan adalah hasil sumbangan Anggota Kerja KUIPSAS semasa Program Tazkirah Duha KUIPSAS pada hari Jumaat sebelumnya. Barang-barang keperluan juga disumbangkan oleh ahli kariah Masjid Taman Guru dan Masjid Sungai Isap.

Misi Ke-6 Diteruskan, KUIPSAS Sertai Sukarelawan Pahang

15 Januari 2021 (TEMERLOH) – Pasukan Sukarelawan KUIPSAS Misi Bantuan Pasca Banjir 2021 hari ini menyertai Sukarelawan Pahang yang diselaraskan oleh Kerajaan Negeri Pahang bagi membantu penduduk negeri Pahang yang terjejas kerana bencana banjir.
Flagship Program Sukarelawan Pahang diadakan di Kampung Pengkalan Jaya, Lebak, Temerloh dirasmikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’Sri Wan Rosdy Bin Wan Ismail dan disertai oleh sukarelawan daripada jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Pahang.
Sukarelawan Pahang KUIPSAS seramai 15 orang diketuai Rektor berada di Taman Sri Lebak dan mencuci rumah Hj. Raja Ibrahim yang dinaiki air banjir. YAB. Menteri Besar Pahang turut berada di lokasi dan memberikan ucapan penghargaan kepada Sukarelawan Pahang KUIPSAS.

Misi Ke-5 Di Kampung Teluk Mahang

14 Januari 2020 (KUANTAN) – Kawasan berdekatan kampus KUIPSAS turut terjejas dengan banjir yang melanda daerah Kuantan. Pasukan Sukarelawan Misi Bantuan Pasca Banjir KUIPSAS menggerakkan misi ke-5 ke Kampung Teluk Mahang, Kuantan. Seramai 15 orang sukarelawan telah membantu membersihkan rumah warga emas di kampung ini.

 

 

Misi Ke-4 Sukarelawan Pasca Banjir KUIPSAS Di SK Pulau Pasir Mandi

13 Januari 2021 (TEMERLOH) – Pasukan Sukarelawan KUIPSAS hari ini meneruskan Misi Bantuan Pasca Banjir kali ke-4 bertempat di Sekolah Kebangsaan Pulau Pasir Mandi, Kerdau dalam daerah Temerloh. Banjir yang melanda kawasan Kerdau turut menyebabkan bangunan tingkat bawah dan kawasan persekitaran sekolah ini dipenuhi lumpur.
Seramai 30 orang sukarelawan KUIPSAS yang diketuai oleh Rektor, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin telah pergi ke lokasi dan melakukan kerja-kerja membersihkan sekolah. Turut sama dalam kerja mencuci di sekolah ini ialah sukarelawan daripada Majlis Belia Negeri Pahang, Bomba Sukarela dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Bengkel Pembinaan Dan Pemurnian Dasar Penyelidikan & Inovasi

12 Januari 2021 (KUANTAN) – Bahagian Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi (HEPI) KUIPSAS mengadakan Bengkel Pembinaan Dan Pemurniaan Dasar Penyelidikan dan Inovasi selama dua hari berakhir hari ini di Dewan Barakah KUIPSAS.
Bengkel ini didadakan bertujuan untuk merangka dan membina dasar-dasar dan garis panduan bagi hal ehwal penyelidikan dan inovasi supaya sesuai dengan visi dan misi KUIPSAS serta mendapatkan sudut pandangan pakar dalam pembinaan dasar penyelidikan.
Dasar dan garis panduan dilihat penting bagi memastikan Bahagian HEPI berada pada landasan yang betul dan terpandu dengan menyediakan rujukan tata urus dan tata kerja yang jelas dan bersistem supaya aktiviti pembangunan penyelidikan dan inovasi yang dilaksanakan oleh HEPI dapat ditadbir urus secara efektif.
Bengkel disertai 24 orang pegawai HEPI dan dikendalikan oleh YBrs. Dr. Muhamad bin Mat Noor dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) selaku Penilai Luaran dan dibantu oleh 2 orang Penilai Dalaman.
en_GBEnglish