Penilaian Penarafan Setara 2022

4 OGOS 2022 (KUALA TERENGGANU) – UnIPSAS telah menjalani Sesi Audit Penilaian Penarafan SETARA 2022 yang dilaksanakan secara berpusat bagi Zon Timur bertempat di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

UnIPSAS diwakili 9 orang pegawai dengan diketuai oleh Pendaftar, YBrs. Dr. Muhammad Hafiz bin Dato’ Haji Yaakub. Kehadiran Naib Canselor, YH. Prof Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin pada sesi Pembukaan Audit dan sesi pengauditan memperlihatkan sokongan dan komitmen pengurusan tertinggi UnIPSAS terhadap usaha meningkatkan kualiti akademik dan perkhidmatan universiti melalui penilaian penarafan SETARA.

Penilaian yang berlangsung selama 2 hari itu memberikan pelbagai input dan pengetahuan baharu yang dapat dimanfaatkan sebagai penambahbaikan persediaan penarafan akan datang.

Penilaian dilakukan oleh barisan fasilitator yang terdiri daripada Puan Norisnini binti Sidek (Monash University), Prof. Madya Dr. Nurlida binti Basir (USIM) dan Puan Salmie binti Jemon (UMS) dan diselaraskan oleh Sekretariat SETARA Jabatan Pendidikan Tinggi.

Pemeteraian MoU bersama Applied Science University (ASU) Amman, Jordan

04 OGOS 2022 (ON-LINE) – Applied Science University (ASU) adalah peneraju dalam bidang pendidikan tinggi dan kualiti dan salah satu ipt terbaik di Jordan.

Universiti ini memulakan misi pendidikannya pada 19 Oktober 1991, selepas mendapat lesen pada 10 Julai 1989. Ia merupakan universiti swasta terbesar di Jordan.

ASU mempunyai 9 fakulti : Fakulti Farmasi, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi, Fakulti Teknologi Maklumat, Fakulti Sastera dan Sains, Fakulti Perniagaan, Fakulti Seni dan Reka Bentuk, Fakulti Undang-undang, dan Fakulti Syariah dan Pengajian Islam.

Antara tujuan mou ditandatangani ialah ;
i. Pertukaran jangka pendek tenaga akademik bagi tujuan pendidikan dan pembelajaran.
ii. Penempatan(attachment) kakitangan dan tenaga akademik.
iii. Pertukaran pelajar
iv. Saling bekerjasama dalam mengadakan persidangan, simposium, seminar, bengkel atau latihan untuk kepentingan masyarakat islam.

International Science And Social Science Innovation Competition i-SIC IV 2022

Date: 28 Julai 2022 – Organizer : Academic International Dialogue Academy & Universitas Gunadarma

Title: Modul Relaksasi Tafakur Untuk Kesejahteraan Emosi “Bio Tafakur”.

Participants:

Nur Yani binti Che Hussin
Muhammad Nubli bin Abdul Wahab
Norizan binti Yusof
Faiqah binti Ahmad Radzuan
Raja Nurul Hafizah binti Raja Ismail

Kunjungan Hormat DRB Hicom University

27 JULAI 2022 (KUANTAN) – UnIPSAS hari ini menerima Kunjungan Hormat delegasi dari DRB HICOM University Of Automotive Malaysia. Delegasi diketuai oleh Prof. Madya Ts. Safiza Simon selaku Pendaftar dan disertai oleh dua orang pegawai.

Pertemuan bertujuan untuk bertukar-tukar maklumat dan perbincangan mengenai pengurusan data peribadi dan pematuhan kedua-dua pihak kepada Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA 2010).

Delegasi DRB Hicom University disambut oleh Pendaftar UnIPSAS, YBrs. Dr. Muhammad Hafiz bin Yaakob dan turut disertai oleh Penasihat Undang-Undang, Puan Yusliha bt. Mohd Yunus, Pegawai Teknologi Maklumat dan Penolong-Penolong Pendaftar.

Pemasyhuran UnIPSAS Jadikannya Institusi Pengajian Tinggi Islam Terunggul

25 JULAI 2022 (KUANTAN) – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar UnIPSAS terus tersohor di seluruh negara sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam yang terunggul.

Keistimewaan UnIPSAS adalah pada nama Islam yang menjadi teras utama pengajiannya. UnIPSAS sebagai Institusi Pengajian Tinggi Islam merupakan benteng dalam menjaga akhlak dan moral dalam meniti arus pemodenan dunia yang mencabar.

Selain itu, UnIPSAS perlu meneroka bidang-bidang pengajian baharu serta menjalin hubungan strategik dengan universiti Islam luar negara. UnIPSAS juga hendaklah menjadi contoh dan tauladan sebagai sebuah universiti Islam yang ditadbir urus secara cekap, telus dan berintegriti.

Baginda bertitah demikian dalam Titah Diraja sempena Majlis Pemasyhuran UnIPSAS yang diadakan di Auditorium Tuanku Canselor pada hari ini.

Turut berangkat, KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Majlis Pemasyhuran itu turut menyaksikan pelantikan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sebagai Canselor UnIPSAS oleh Kerajaan Pahang. Turut dilantik, Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail sebagai Pro-Canselor I dan YAM Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Pro-Canselor II.

FB LIVE VIDEO PENUH PEMASYHURAN : https://www.facebook.com/UNIPSASofficial/videos/485455730055721

Pelajar UnIPSAS Terima Sumbangan Dari MUIP

25 JULAI 2022, Kuantan – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sudah mengagihkan sebanyak RM1.1 juta bantuan awal penuntut pengajian tinggi (IPT) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, YBrs. Dr. Asmadi Abdul Rahman, berkata bantuan itu membabitkan pelbagai peringkat pengajian iaitu daripada Sijil sepenuh masa hingga ke Doktor Falsafah (PhD).

Katanya, peringkat sijil layak menerima RM500 diikuti Diploma RM700, Ijazah Sarjana Muda sepenuh masa RM1.200 dan masing-masing RM1,500 untuk ijazah muda pengajian jarak jauh (PJJ) serta ijazah sarjana.

“ Pelajar PhD bukan pengajian Islam dan bidang Islam pula masing-masing layak menerima RM3,000 dan RM5,000. Pendek kata, mahasiswa dalam apa jua bidang layak menerima bantuan awal pelajar IPT MUIP.

“Bantuan ini bertujuan bagi meringankan beban golongan pelajar yang berjaya melangkah ke menara gading dan boleh dipohon secara online,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Awal Pelajar IPT kepada pelajar Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS). Turut hadir sama mengiringi beliau bagi menyampaikan bantuan berkenaan ialah Timbalan Naib Canselor Jabatan HEPA, YBrs. Dr. Haji Ahmad Effat bin Mokhtar dan Penolong Pendaftar Jabatan HEPA, YBhg. Encik Abi Sofian bin Abdul Aziz. Majlis diakhiri dengan mengambil foto kenangan dan jamuan makan tengah hari.

Guru Puji Keterampilan Pelajar UnIPSAS Mengendalikan Program Motivasi

16 JULAI 2022, (BERA) – Sempena Ujian Penilaian Kelas Kafa (IPKK) 2022 yang akan menjelang tidak lama lagi, pelbagai progam ilmiah telah diaturkan oleh sekolah-sekolah untuk meningkatkan semangat murid-murid bagi menghadapi peperiksaan itu. Tidak ketinggalan juga di Sekolah Kebangsaan Kerayong Jaya, Bera yang telah mengatur program bersama Majlis Perwakilan Pelajar UnIPSAS (MPPUnIPSAS) bagi menjalankan sebuah program motivasi yang telah dibincangkan pada bulan Jun yang lalu.

Program yang bermula seawal jam 7.30 pagi itu telah melibatkan 111 orang murid yang bertempat di Dewan SK Kerayong Jaya. Pelbagai pengisian yang telah diberikan oleh 10 orang fasilitator. Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberikan semangat kepada calon yang akan mengambil peperiksaan UPKK 2022 supaya dapat mempersiapkan diri serta mental dalam keadaan yang lebih bersedia. Selain itu matlamat utama adalah dapat melahirkan calon yang kuat dari segi rohani dan jasmani selari dengan tuntutan akidah agama Islam. Ibarat pepatah Melayu “ Melentur buluh, biarlah dari rebungnya”.

Ucapan kata aluan penutup program telah disampaikan oleh Ketua Guru Kafa SK Kerayong Jaya, YBhg. Puan Norazean binti Abdul Latif sementara ucapan dari wakil rasmi Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni UniPSAS, Encik Khairul Rijal bin Dato’ Haji Abdu Rahman yang juga selaku pengiring fasilitator.

Selamat Datang Pelajar Baharu

16 JULAI 2022 (KUANTAN) – UnIPSAS hari ini menerima kemasukan pelajar baharu ke asrama selepas Pendaftaran Pelajar Baharu Secara Dalam Talian dibuka sejak 27 Jun 2022 yang lalu. Mereka terdiri daripada pelajar-pelajar yang mendaftar masuk ke program Asasi, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

Pelajar baharu yang datang dari segenap pelusuk negara ini merupakan pelajar-pelajar Lepasan SPM dan STAM 2021. Asrama UnIPSAS dibuka semula kepada pelajar selepas ditutup selama dua tahun disebabkan pandemik Covid-19.

Permohonan kemasukan ke UnIPSAS boleh melayari laman sesawang , www.unipsas.edu.my atau boleh terus menghubungi Jabatan Perhubungan Korporat & Promosi, 019 989 9153 / 09 553 5555.

Bengkel Pembinaan Modul Subjek Ijazah Doktor Falsafah (PhD) UnIPSAS

15 JULAI 2022 (KUANTAN) – Program anjuran bersama Fakulti Pengajian Islam (FPI) dan Pusat Pengurusan Siswazah (PPS) UnIPSAS telah selesai mengadakan Bengkel Pembinaan Modul bagi subjek Ijazah Doktor Falsafah (PhD) bermula 15 Jun 2022 hingga 15 Julai 2022 yang dikelolakan oleh pihak Jabatan Quran dan Sunnah.

Pembinaan modul ini melibatkan sumbangan khidmat daripada pensyarah bagi subjek-subjek yang telah ditetapkan seperti modul kursus Epistemologi Islam, kursus pengajian Syariah, kursus pengajian Usuluddin dan Tasawwur Islam. Perkara ini sangat penting bagi memastikan hasil pembelajaran bagi setiap subjek adalah yang terbaik dan menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak Malaysian Qualification Agency (MQA).

Majlis perasmian dan penyerahan surat pelantikan panel modul kepada 27 orang yang dilantik bagi pembinaan modul telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Ahmad Effat Bin Mokhtar, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, UnIPSAS. Diharapkan dengan jayanya pembinaan modul ini dijadikan sebagai panduan kepada para pelajar PhD serta meningkatkan prestij UnIPSAS sebagai universiti berteraskan Islam di Pantai Timur, Malaysia.

Ibadah Korban UnIPSAS Berjalan Lancar

13 JULAI 2022 (KUANTAN) – Program Ibadah Korban UnIPSAS 2022 sempena Hari Raya Aidiladha 1443H berjaya dilaksanakan dengan lancar. Program diadakan selama dua hari bertempat di Perkarangan Masjid UnIPSAS.

Sebanyak 14 ekor binatang dikorbankan terdiri daripada 5 ekor kerbau dan 9 ekor lembu. Peserta korban terdiri daripada kalangan Anggota Kerja UnIPSAS, ahli kariah Masjid UnIPSAS dan orang perseorangan.

Semoga amal ibadah korban pada tahun ini akan meningkatkan ketakwaan di sisi Allah SWT.

en_GBEnglish