22 September 2020 (KUANTAN) – Jabatan Dakwah, Fakulti Pengajian Islam (FPI) KUIPSAS hari ini menganjurkan Bengkel Penulisan Buku bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 5.00 petang di Perpustakaan KUIPSAS. Bengkel disertai oleh semua pensyarah jabatan.
Dalam Ucapan Aluan Timbalan Rektor Penyelidikan dan Inovasi KUIPSAS, YBrs. Dr. Ahmad Effat bin Mokhtar, beliau menggalakkan dan memberi sokongan penuh terhadap usaha jabatan untuk menghasilkan buku-buku berbentuk akademik.
Bengkel diadakan bertujuan untuk menjadi langkah pertama ke arah mewujudkan Pusat Kajian Dakwah di bawah Jabatan Dakwah KUIPSAS.
Bengkel dikendalikan oleh Puan Juwairiah binti Hassan, pensyarah jabatan ini yang mempunyai pengalaman luas dalam penulisan dan penerbitan buku. Dalam slot pertama bengkel, penceramah telah menekankan Asas Penerbitan Buku dan Asas Penulisan Buku.
Slot ini juga ditambah dengan perkongsian daripada YH. Dato’ Dr. Hj. Ahmad Munawar bin Hj. Jalil yang telah banyak menerbitkan buku akademik sepanjang beliau berkhidmat di KUIPSAS.
Slot kedua bengkel ini adalah perbincangan di dalam kumpulan. Pensyarah dipecahkan mengikut kepakaran masing-masing dan membina cadangan tajuk dan isi kandungan buku yang bakal ditulis dan dibentangkan dapatan tersebut untuk dinilai.
Hasil daripada perbincangan tersebut terdapat lima buah buku yang bakal ditulis oleh para pensyarah. Antara tajuk-tajuk buku yang telah dipersetujui adalah Dakwah Masyarakat Orang Asli di Pahang, Psikologi Dakwah Menurut Al-Quran dan Hadith, Pengantar Media Dakwah, Asuhan dan Didikan Kanak-kanak dan Pengenalan Kaunseling Dalam Islam.
Ketua Jabatan Dakwah, Pn. Norfadelah bt. Nordin dalam Ucapan Penutupnya meletakkan harapan agar buku-buku yang telah dicadangkan dapat disiapkan dan diterbitkan pada waktu yang terdekat.
#bengkel #tulisbuku #terbitbuku #buku #dakwah #kuipsas #kuipsasbumibarakah #kuipsasjubliperak #kuipsas25tahun