Pernah dua kali gagal, Siti Nur Khalidah tak sangka raih Anugerah Sultan Ahmad Shah

Date: 17/11/2025

KUANTAN, 17 November 2025 – Kegagalan pada masa lalu menjadi dorongan kepada gadis berusia 23 tahun ini untuk berjaya sehingga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sultan Ahmad Shah pada Istiadat Konvokesyen Ke-22 Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini pada Isnin.

Siti Nur Khalidah Rosli mengakui terkejut apabila menerima pengiktirafan tertinggi itu memandangkan ramai rakan lain turut memiliki pencapaian cemerlang. “Saya memang tidak sangka terpilih untuk menerima anugerah ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas istiadat tersebut.

Istiadat konvokesyen itu disempurnakan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Nazri Abu Bakar.
Lebih 583 penuntut telah diraikan dalam istiadat konvensyen terbabit, yang turut dihadiri Naib Canselor UnIPSAS, Profesor Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal, para pensyarah dan ibu bapa.

Beliau yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris dengan Kepimpinan Pengajaran Kepujian memberitahu, perjalanan menjadi guru Bahasa Inggeris bukanlah mudah kerana pernah dua kali gagal temu duga untuk menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Jelasnya, pengalaman itu mendorong dirinya untuk menumpukan usaha sepenuhnya dalam akademik dan kepimpinan sepanjang pengajian di universiti.

“Dalam ucapan tadi, saya kata, saya di sini bukan sebab cemerlang, tetapi kerana pernah melalui kegagalan sebelum ini.

“Itu yang membuatkan saya lebih kuat untuk mencapai impian menjadi guru Bahasa Inggeris,” katanya yang kini menjalani praktikum di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tanjong, Batu Pahat.

Siti Nur Khalidah yang kini melanjutkan pengajian Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah di Open University Malaysia berkata, sepanjang pengajian di UnIPSAS dia mencatat rekod akademik cemerlang termasuk Anugerah Dekan bagi setiap semester dan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.92.

Anak kedua daripada tiga beradik itu turut memperoleh Purata Nilai Gred Semester (PNGS) 4.00 untuk empat semester berturut-turut.

Dalam bidang kepimpinan, beliau pernah dilantik sebagai Exco Insaniah Fakulti Pengajian Bahasa dan Asasi (FOLAFS) selama dua sesi berturut-turut dan merupakan ahli aktif Kelab Aspirasi Suara (VAC).

Beliau juga terlibat dalam pelbagai program termasuk English Week, Lawatan Akademik ke Amani Vanilla, Product Proposal & Cultural Exhibition, serta membantu menguruskan FOLAFSSA Day, pertandingan syarahan, program kebajikan dan teater universiti.

Kredit : Norawazni Yusof (Sinar Harian)

crosschevron-down
en_GBEnglish
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram tiktok