INJAH 2025 Angkat Tulisan Jawi Dan Warisan Melayu Ke Persada Dunia

Date: 19/08/2025

Kuantan, 19 Ogos 2025 – Konvensyen Antarabangsa Jawi dan Warisan Melayu atau International Convention on Jawi and Malay Heritage (INJAH 2025) telah berlangsung dengan jayanya pada 18 dan 19 Ogos 2025. Konvensyen yang bertempat di Dewan Astana dan Dewan Perdana Hotel Grand DarulMakmur itu menghimpunkan seramai 200 orang peserta terdiri daripada ahli-ahli akademik, pengkaji, guru-guru, penggiat tulisan Jawi dan para Munsyi Dewan (Jawi) Dewan Bahasa dan Pustaka.

Menariknya, konvensyen ini menampilkan 12 orang pembentang hebat dalam bidang Jawi dan warisan Melayu termasulah 4 orang pembentang antarabangsa yang membicarakan tajuk-tajuk berkaitan Jawi dan Warisan Melayu. Mereka ialah Dr. Hiroki Nomoto dari Jepun, Dr. Hirman Mohamed Khamis dari Singapura serta dua orang pembentang dari Brunei iaitu Dr. Haji Mohd Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk dan Ustaz Abdul Rahman Bin Haji Ajak.

Konvensyen antarabangsa ini turut dimeriahkan oleh acara pertandingan Deklamasi Puisi bertemakan warisan Melayu, pertandingan Ejaan Jawi Tepat dan pertandingan Khat. Di samping itu pelbagai persembahan kebudayaan Melayu Pahang turut menjadi selingan setiap acara. Para pengunjung dan peserta juga berpeluang melawat reruai-reruai pameran dari pelbagai agensi seperti MUIP, DBP, Perpustakaan Negara Malaysia, Arkib Negara Malaysia, Khazanah Fathaniyah, demonstrasi tanjak, khat dan lain-lain lagi.

Majlis Perasmian penutupan disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah. Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah turut berkenan berangkat mengiringi KDPB Sultan. Dalam titahnya, KDPB Sultan Pahang menzahirkan rasa bangga melihat premis perniagaan dan papan iklan di negeri ini mempamerkan tulsain Jawi. Baginda juga menzahirkan rasa terharu dan bangga melihat anak-anak muda berbusana Melayu tradisional dan mempersembahkan silat. Baginda turut berkenan merasmikan Institut Jawi UnIPSAS, melancarkan buku ‘Mahir Jawi’ yang ditulis oleh para Munsyi Dewan (Jawi) DBP dari UnIPSAS dan mengurniakan sijil penghargaan kepada para Munsyi Dewan (Jawi) Pahang atas khidmat bakti dalam memperkasakan tulisan Jawi di negeri ini.

Rata-rata peserta menzahirkan respon yang amat positif dengan penganjuran konvensyen ini dan berharap agar ia dapat diadakan lagi pada tahun-tahun akan datang.

crosschevron-down
en_GBEnglish
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram tiktok