Terap Peradaban Islam Dalam Media Sosial

KUANTAN, 3 OKTOBER 2024 : Golongan anak muda terutamanya para pelajar diminta menerapkan peradaban Islam ke dalam penggunaan media sosial supaya seiring dengan teknologi dan perkembangan semasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, YB. Dato’ Sri Shafik Fauzan Sharif berkata, hal ini penting kerana kebanyakan pengguna teknologi khususnya media sosial adalah terdiri daripada golongan muda.

Jelasnya, situasi terkini yang semakin tular di kalangan masyarakat adalah sikap yang jauh tersimpang dari peradaban Islam.

“Jika kita lihat apa yang berlaku di media sosial seolah-olah terdapat segelintirnya tidak ada peradaban, tidak ada adab, maki, hamun, bahasa, mengeji, cerca berleluasa. Adakah layak kita menggelarkan diri kita beradab?,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Seminar Peradaban Islam dan Ketamadunan Malaysia (SPIKEM) bertemakan Transformasi Keyakinan Masyarakat Ke Arah Maslahah Ummah di Auditorium Tuanku Canselor, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) di Kuantan, hari ini.

SPIKEM disertai 450 pelajar tingkatan enam dan siswa siswi dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sekitar Kuantan yang dianjur kerjasama UnIPSAS dan YADIM. -PAHANGMEDIA

Kredit : -PAHANGMEDIA
Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang

Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institusi Pendidikan Pahang bersama Mohamed Bin Zayed University (MBZUH)

ABU DHABI (UAE), 03 OKTOBER 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah mengilhamkan kerjasama pendidikan antara Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan Mohamad Bin Zayed University for Humanities (MBZUH).

Kolaborasi pendidikan ini dimeterai di MBZUH, Abu Dhabi, yang disaksikan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selaku Penaung Pro Canselor UMPSA dan Canselor UnIPSAS.

Memorandum Persefahaman (MoU) antara UnIPSAS dan UMPSA bersama MBZUH ini membuka peluang yang amat signifikan dalam pelbagai bidang akademik dan penyelidikan, termasuklah Program Dual Ijazah; Muádalah (Pengiktirafan Ijazah); Mobiliti Bukan Akademik; Pertukaran Pensyarah dan Pelajar; serta Kolaborasi Penyelidikan.

Kredit : Pahang Media.

en_GBEnglish