Mantan Mufti Pahang Terima PhD Pengajian Islam

KUANTAN, 9 September 2024 –  ”Patik merasakan diri ini terlalu kerdil untuk menerima anugerah ini.” Itu kata bekas Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman yang menjadi penerima Istiadat Konvokesyen ke-21 Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) hari ini.

Penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Islam itu antara 442 graduan berkonvokesyen di hadapan Pro-Canselor II UniPSAS, Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibni Al-Sultan Abdullah.

”Namun patik percaya, anugerah ini merupakan satu pengiktirafan kepada ketinggian martabat ilmu dan merupakan hadiah kepada seluruh komuniti ilmuwan yang sentiasa istiqamah dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dan memberi bimbingan kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada istiadat itu.

Abdul Rahman diberi penghormatan berucap konsep ’Ilmu, Akhlak dan Dakwah’ di hadapan lebih 2,000 tetamu di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Jelasnya, ilmu bukan dicari untuk diri sendiri atau untuk perhiasan dan bermegah di depan orang lain tetapi medium untuk berbuat baik dan bertakwa serta untuk tujuan penyebaran dakwah.

Dengan demikian katanya seorang muslim layak mendapat kehormatan di sisi Allah serta kebahagiaan yang abadi dan berkongsi kisah  seorang ulama sufi terkenal, Sa’ id al-Thawril.

“Sesungguhnya, ilmu itu dipelajari agar kita dapat bertakwa kepada Allah. Hiasilah ilmu dan jangan menghias diri dengan ilmu.

”Sahabat Nabi SAW, Ubaid Ka’ab berkata, pelajarlah ilmu dan amalkanlah dan jangan pelajarinya untuk bermegah, sesungguhnya ia akan menjadi hiasan seperti mana seorang lelaki menghias dirinya dengan pakaiannya,” katanya,

Anak jati kelahiran Temerloh itu berkata, orang yang bertafaqquh, iaitu orang yang mendapat ilmu yang mendalam adalah pemimpin terbaik yang memimpin ke arah kebaikan.

Abdul Rahman dilahirkan pada 2 Mac 1953 di Jalan Merdeka, Bandar Temerloh semasa ayahanda beliau, Osman Hashim menjawat jawatan sebagai Kadi Daerah Temerloh. Sejak kecil, beliau telah mempelajari al-Quran dengan ayah dan ibunya, Aminah Busu.

Beliau telah melangsungkan perkahwinan dengan Datin Seri Nahayah Ismail pada tahun 1982 dan dikurniakan empat orang cahaya mata.

Penglibatan beliau dalam bidang kefatwaan bermula apabila dilantik sebagai Timbalan Mufti Negeri Pahang dari tahun 2000 hingga 2008.

Kemudiaannya, beliau dilantik sebagai Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Mustain Billah sehingga 31 Januari 2024 selama 24 tahun di Jabatan Mufti negeri Pahang.

Kredit : MalaysiaGazette
Oleh Syahira Yahya

Pemuda Autismi Terima Anugerah Khas Di Istiadat Konvokesyen UnIPSAS

KUANTAN, 9 September 2024 (Bernama) – Didiagnosis menghidap autsime tidak menjadi penghalang kepada Muhammad Naquib Ajmal Mohd Jamal Nasir untuk melakar kejayaan menerima Anugerah Khas pada Istiadat Konvokesyen ke-21 Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) di sini hari ini.

Menyifatkan penganugerahan tersebut sebagai penyuntik semangat dan motivasi untuk terus berusaha dalam bidang pengajian Al-Quran, pemuda berusia 26 tahun itu menzahirkan penghargaan kepada ibu dan bapa serta warga pendidik yang menjadi tulang belakang kejayaannya.

Tanpa sokongan dan bantuan daripada mereka tak mungkin saya dapat bergelar graduan dan menerima anugerah hari ini, saya sangat bersyukur dan berterima kasih,” kata tenaga pengajar di Akademi Syahadah Tahfiz Al-Faizin di Kuala Selangor, Selangor itu ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Al-Quran dan Sunnah itu mengakui agak sukar membahagikan masa untuk berlatih tilawah, tajwid termasuk mengulang bacaan al-Quran 30 juzuk yang telah dihafalnya sejak usia belasan tahun.

“Saya berusaha dan belajar macam orang lain, tetapi masa menjadi kekangan utama untuk belajar kerana pada masa sama saya juga menyertai pertandingan hafazan. Saya cuba mengatur dan mengimbanginya dengan baik…hasrat saya selepas ini untuk menyertai pertandingan tilawah pula,” kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Muhammad Naquib Ajmal berkata anugerah itu lebih manis apabila disampaikan sendiri oleh Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah yang berangkat menyempurnakan Istiadat Konvokesyen itu.

Sementara itu, ibu dan bapa Muhammad Naquib Ajmal, Mohd Jamal Nasir Ismail, 55, dan Anita Elias, 55, ketika ditemui berkata anak mereka diagnosis autisme ketika berusia tujuh tahun dan menganggap kebolehan dimilikinya sebagai anugerah daripada Allah SWT.

“Dia dahulu tiada eye contact dan lambat dalam pertuturan, anak saya hanya boleh cakap bahasa Malaysia ketika berusia sembilan tahun itu pun tidak lancar namun perkataan dalam bahasa Inggeris dan Arab lebih banyak yang dia tahu.

“Semasa kecil doktor sudah maklumkan kepada kami Naquib mempunyai memori yang sangat bagus, Alhamdulillah dia kini boleh menghafal al-Quran,” kata Anita yang juga guru Pendidikan Islam.

Pada istiadat itu, bekas Mufti Pahang Datuk Dr Abdul Rahman Osman dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Islam selain 443 graduan menerima ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma masing-masing.

Sementara itu, Naib Cancelor UnIPSAS Profesor Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin ketika berucap berkata pihaknya bakal menubuhkan Fakulti Al-Quran dan Sunnah pada Jan 2025.

Beliau berkata usaha itu seiring dengan titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu kajian teliti dijalankan bagi mewujudkan Universiti Al-Quran di Pahang.

Kredit : BERNAMA
( Foto : Anis Nabilla Md Wazilah )

Anak Kedua Lima Beradik Terima Anugerah Sultan Ahmad Shah

KUANTAN, 09 September 2024 – Anak kedua daripada lima beradik tidak menyangka akan menerima Anugerah Sultan Ahmad Shah pada Istiadat Konvokesyen Ke-21 Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS) yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, pada Isnin.

Muhammad Khalil Zuhairi Mohd Zaidi, 26, berkata, tujuan utama hanya untuk menimba ilmu dan bukannya untuk meraih sebarang anugerah.

Menurutnya, namun bersyukur kerana terpilih mendapat pengiktirafan itu di hadapan semua graduan UNIPSAS.

“Saya tidak sangka, tapi anugerah ini adalah satu rezeki buat saya,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.

Kredit : Sinar Harian ( OlehNORAWAZNI YUSOF )

en_GBEnglish