UnIPSAS Tuan Rumah Hari Jawi Pahang

24 September 2022 – Sebanyak 24 buah sekolah dengan 120 orang peserta telah mengambil bahagian dalam 3 pertandingan yang diadakan sempena Hari Jawi Pahang yang julung kalinya diadakan. Program anjuran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dengan kerjasama Institut Jawi UnIPSAS, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kuliyyah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar ini berlangsung penuh meriah di Auditorium Tuanku Canselor UnIPSAS.

Program bermula seawal jam 8.00 pagi dengan ceramah disampaikan oleh Ustazah Seriayuna binti Sa’adon Zubir yang juga Munsyi Dewan (Jawi) Dewan Bahasa dan Pustaka. Ceramah menyentuh tentang beberapa kaedah asas dalam ejaan Jawi sebagai ulang kaji kepada para peserta sebelum bertanding. Tiga pertandingan yang diadakan adalah Pertandingan Eja Tepat Jawi, Pertandingan Roda Impian Jawi dan Pertandingan Kahoot Jawi. Semua pertandingan dikendalikan oleh Institut Jawi UnIPSAS melibatkan penggubalan peraturan, soalan dan proses penilaian.

Sdri. Zaimah Zakiah Mohd Zakimi dari SMA Guai muncul juara pertandingan Eja Tepat Jawi, Sdr. Imtisyar binti Jamirul dari SMA al-Khairiah pula muncul juara acara Roda Impian Jawi manakala Sdra. Abdul Azim Abdul Razak dari SMA Darul Naim muncul juara acara Kahoot Jawi.

Majlis Penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, YBrs. Dr. Asmadi bin Abdul Rahman yang juga merupakan Ketua Jawi Negeri Pahang. Antara lain Dr. Asmadi mengharapkan agar acara pertandingan berkaitan Jawi seperti ini dapat dijadikan antara acara ilmiah dalam MASISUPA akan datang.

en_GBEnglish